KUALA LUMPUR 16 Feb – Majlis Belia Malaysia (MBM) mengelolakan sesi sumbang saran Model Pembangunan Belia Baharu seperti dihasratkan YB Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dalam Majlis Dialog Menteri – Ahli Dewan Tertinggi MBM pada 4 Februari 2021.
Sesi ini telah bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi membina kerangka berkenaan dengan input tambahan sesuai persekitaran semasa, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 17) dan tentunya untuk menghadapi generasi pandemials Covid-19.
Menghadapi generasi ‘youth disillusionment’, keciciran pendidikan, pengangguran, norma baharu yang tidak menentu, masa depan keliru memerlukan sistem sokongan dan dasar komprehensif supaya pihak kerajaan sebagai regulator dapat menjadikan ia sebagai manual rujukan yang relevan dengan cabaran semasa.
Sesi ini dipengerusikan oleh Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha serta dihadiri oleh kepimpinan MBM, pimpinan badan gabungan, individu belia berpengalaman, Felo Penyelidik MBM. Sdr Mohd Izzat Afifi, Naib Presiden MBM dan Sdr. Muhamad Syafiq Jamaludin telah dinamakan untuk mengetuai Jawatankuasa Khas ini.