JAKARTA 7 Ogos – Hubungan dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia yang berakar daripada peradaban Nusantara terus diperkukuh menerusi lawatan kerja Majlis Belia Malaysia (MBM) ke Jakarta pada baru-baru ini.
Berteraskan semangat “merajut warisan” dan “merancang masa depan”, lawatan ini menzahirkan komitmen MBM dalam memperkukuh jaringan strategik serta merancakkan kerjasama pembangunan belia antara kedua-dua negara.
Delegasi MBM diketuai oleh Presidennya, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid, bersama Pengerusi Tetap MBM, Sdr. Muhammad Naim Al Amin serta barisan kepimpinan Exco dan Dewan Tertinggi MBM.
Memperkasa Jaringan Serantau
Lawatan dimulakan dengan pertemuan tidak rasmi bersama Ketua DPD KNPI Sumatera Barat, Bapak Nanda Satria. Pertemuan ini membuka ruang perbincangan awal ke arah memperkukuh jaringan serta merancang program kolaborasi belia pada masa hadapan.
Seterusnya, MBM mengadakan sesi dialog bersama Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia (KEMENPORA) yang diwakili oleh Bapak Dr. Ir. Hendro Wicaksono, Plh. Deputi Bidang Pelayanan Kepemudaan. Sesi ini memberi fokus kepada usaha menghidupkan semula Dialog Malindo serta memperkasa program pertukaran belia yang sebelum ini tertangguh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik.
Agenda Strategik Kuala Lumpur–Jakarta
Dalam usaha memperluas kerjasama dua hala, MBM turut mengadakan pertemuan silaturahmi dan dialog bilateral bersama Angkatan Muda Pembaharuan Indonesia (AMPI). Pertemuan ini menjadi platform penting dalam merangka agenda Kuala Lumpur–Jakarta Nusantara Youth Nexus (KLJ NEXUS) 2026 yang bertemakan “One Region, One Generation & One Future”.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluncuran “10 Malaysia–Indonesia Youth Initiatives Towards Malaysia & Indonesia Golden Generation” sebagai langkah konkrit memperkasa generasi muda serantau.
Pertemuan ini turut disertai oleh Ketua Umum DPP AMPI, Dr. Jerry Sambuaga dan Sekretaris Jeneral DPP AMPI, Dr. M. Arief Rosyid Hasan bersama delegasi MBM seramai 15 orang.
Penglibatan Dalam Wacana Nasional Indonesia
Delegasi MBM juga berkesempatan menghadiri Majlis Peluncuran dan Bedah Buku oleh Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Bapak Bahlil Lahadalia, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jaringan kepimpinan dan memahami landskap pembangunan negara jiran.
Memacu Aktivisme Digital Belia
Lawatan ini turut disemarakkan dengan penganjuran Forum Pemuda bertajuk “Nusantara Terkoneksi: Merancang Digital Activism Berdampak” yang berlangsung di Universiti Paramadina, Cipayung.
Forum hasil kolaborasi MBM, Serikat Mahasiswa Universiti Paramadina dan Indonesia Paripurna ini memberi penekanan kepada peranan aktivisme digital dalam memperkasa suara belia.
Program tersebut menampilkan barisan panelis muda termasuk Adib Irfan, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), bersama kepimpinan mahasiswa dari pelbagai universiti di Indonesia.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, lawatan kerja ini bukan sekadar kunjungan rasmi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan strategik, pembinaan jaringan serta penghasilan inisiatif bersama yang mampu memacu masa depan belia Malaysia dan Indonesia ke arah yang lebih progresif dan berdaya saing di peringkat serantau.









































































































































