Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik Belanjawan MADANI 2027 yang mencerminkan komitmen kerajaan menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan dan memperkukuh kesejahteraan generasi muda.
MBM menghargai peningkatan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan daripada RM1.183 bilion kepada RM1.213 bilion, termasuk tambahan Dana Rakan Muda daripada RM30 juta kepada RM35 juta.
Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027, pengenalan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelepasan cukai individu kepada RM12,000 merupakan langkah positif meringankan kos sara hidup.
MBM turut menyokong keutamaan kerajaan terhadap pendidikan, termasuk peningkatan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200 dan pengenalan elaun sara hidup Tingkatan Enam berjumlah RM2,500 yang membantu meringankan beban keluarga serta menyokong kelangsungan pendidikan anak muda.
Penambahbaikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500, bayaran minimum RM50 bagi pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 serta diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan turut dialu-alukan.
Namun, MBM berharap kerajaan menilai semula pengurangan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sebanyak RM150 juta, daripada RM650 juta kepada RM500 juta. Ketika peruntukan keseluruhan TVET mencecah RM8 bilion, pembiayaan langsung kepada pelatih sewajarnya diperkukuh, bukannya dikurangkan.
MBM turut berharap inisiatif Sejati MADANI Belia diteruskan di samping menyambut baik tambahan 100,000 langganan kecerdasan buatan (AI) percuma dan mencadangkan kelayakannya diperluas secara jelas kepada belia sehingga usia 35 tahun bagi memperkukuh kemahiran digital serta kebolehpasaran.
Bagi kesejahteraan keluarga muda, MBM mencadangkan saringan kesihatan fizikal dan mental percuma pada usia 30 tahun serta cuti tanpa rekod sehari kepada penjawat awam yang menghantar anak memasuki Tahun Satu, dengan kemudahan setara diperluas kepada pekerja swasta.
MBM mengalu-alukan dan menyokong penuh inisiatif BUDI BELIA serta menggesa agar MBM bersama seluruh badan gabungannya di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan akar umbi dilibatkan sebagai rakan pelaksana, termasuk kepimpinan dan ahli berumur bawah 35 tahun.
Sebagai badan induk pertubuhan belia negara, MBM bersedia menjadi rakan peneraju utama (anchor organisation) bersama Kementerian Belia dan Sukan bagi menyelaras pelaksanaan BUDI BELIA, memperluas penyertaan sukarelawan dan memperkukuh budaya kesukarelawanan sebagai asas pembangunan kepimpinan belia negara.
MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 9 Oktober 2026