Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengadakan Majlis Pelepasan Delegasi Malaysia ke International Festival of Youth (IFY) 2026 di Lobi Menara KBS, Putrajaya.
Majlis disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Menteri Belia dan Sukan, yang menyerahkan Jalur Gemilang kepada Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid, Presiden MBM merangkap Ketua Kontinjen Malaysia. Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Naiyl M. Latypov, Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia; YBhg. Dato’ Rahimi bin Ismail, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
IFY 2026 akan berlangsung dari 11 hingga 17 September 2026 di Ekaterinburg, Wilayah Sverdlovsk, Persekutuan Rusia. Festival ini menghimpunkan 10,000 peserta dari 191 negara, terdiri daripada 5,000 peserta Rusia dan 5,000 peserta antarabangsa. Lebih 113,000 permohonan diterima di peringkat global.
Sebanyak 135 permohonan diterima daripada Malaysia. Selepas penilaian dan pemilihan oleh pihak penganjur, 50 peserta disahkan bagi program utama. Bersama dua wakil yang menyertai Guardians of Memory 2026, jumlah keseluruhan kontinjen Malaysia ialah 52 orang.
Daripada 50 peserta IFY 2026, seramai 40 orang berusia 18 hingga 35 tahun, manakala 10 orang lagi ialah remaja berusia 14 hingga 17 tahun. Kontinjen ini menghimpunkan pemimpin belia, pelajar, profesional muda, usahawan, penggerak komuniti dan pencipta kandungan daripada pelbagai latar belakang.
Program festival merangkumi lapan bidang utama, iaitu sains dan pendidikan, sukan, keusahawanan, media, pendigitalan dan teknologi maklumat, industri kreatif, pentadbiran awam serta penglibatan sivik. Lebih 150 penceramah dari Rusia dan luar negara dijadualkan terlibat menerusi kuliah, dialog terbuka, bengkel dan sesi strategik.
Delegasi Malaysia membawa empat matlamat iaitu mengetengahkan kepelbagaian budaya negara, memperluas jaringan antarabangsa, menimba amalan terbaik dalam pembangunan belia dan membentuk kerjasama susulan.
Menerusi Malaysia Cultural Passport, pengunjung akan diperkenalkan kepada makanan dan minuman Malaysia, batik dan kraftangan, permainan tradisional, pakaian masyarakat berbilang kaum, produk kreatif serta tarikan pelancongan negara.
Penyertaan 10 remaja Malaysia memperkukuh dimensi diplomasi kanak-kanak dan remaja melalui pengisian pendidikan, sains, kreativiti, media, sukan, keusahawanan dan pembangunan projek bersama. Penglibatan ini selari dengan usaha MBM memperluas pendedahan kepimpinan antarabangsa kepada generasi lebih muda.
Selepas program utama, wakil Malaysia yang terpilih akan menyertai Program Serantau IFY 2026 dari 17 hingga 21 September 2026. Program itu melibatkan kira-kira 1,000 peserta antarabangsa menerusi 33 laluan di 35 wilayah Rusia, Wilayah Persekutuan Sirius dan destinasi terpilih lain. Tahun 2026 menandakan tahun ketiga penglibatan berterusan MBM dalam rangkaian World Youth Festival sejak 2024. World Youth Festival 2024 di Sirius menghimpunkan 20,000 pemimpin muda dari 190 negara, manakala World Youth Festival Assembly 2025 di Nizhny Novgorod melibatkan 2,000 peserta dari 120 negara.
MBM merakamkan penghargaan kepada KBS, World Youth Festival Directorate, Kedutaan Persekutuan Rusia di Malaysia, Russian House in Kuala Lumpur, ibu bapa, institusi pendidikan, pertubuhan belia dan semua rakan strategik yang membantu persiapan serta penyelarasan kontinjen negara.
Delegasi Malaysia diharap dapat membawa pulang ilmu, jaringan dan peluang kerjasama yang boleh diterjemahkan kepada inisiatif bermanfaat untuk belia serta memperkukuh hubungan Malaysia dengan masyarakat antarabangsa berasaskan saling menghormati, keterbukaan dan keamanan.
Menggerak Belia!
Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 9 September 2026