KUALA LUMPUR 17 Okt – Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah mengadakan Bengkel Panel Pakar untuk Pembangunan Model Domain Potensi Diri berdasarkan Indeks Belia Malaysia. Bengkel yang pada awalnya dirancang untuk diadakan secara fizikal terpaksa dipindahkan ke alam maya melalui applikasi Zoom disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di kawasan Lembah Klang.
Bengkel ini disertai oleh ahli-ahli akademik, wakil-wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Institut Pendidikan Guru Malaysia serta wakil-wakil NGO belia. Seramai 11 orang pakar rujuk dan 2 orang penyelidik telah menyertai bengkel tersebut. MBM telah menghantar Sdr. Eow Shiang Yen, Setiausaha Jawatankuasa Khas Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan serta Sdr. Thai Ming Yeow, Felo Penyelidik Pejabat Presiden MBM sebagai pakar rujuk.Penyelidikan mengenai pembangunan model potensi diri belia sedang dijalankan oleh Sdr. Ahmad Umair Zulkefli, pelajar Master Falsafah Sains Social di bawah penyeliaan Dr, Muhammad Ridhuan Tony Lim Abdullah di UTP.
Tujuan bengkel tersebut diadakan adalah untuk mengkaji persandaran di antara indikator-indikator yang terdapat di dalam Domain Potensi Diri Indeks Belia Malaysia, menentukan indikator dan sub-indikator tambahan yang relevan kepada pembangunan potensi belia berdasar pandangan pakar, pemilihan dan penentuan keutamaan indicator melalui kaedah saintifik dan seterusnya merangka sebuah model pembangunan potensi diri belia Malaysia untuk cadangan penambahbaikan DBM yang sedia ada.
Bengkel selama sehari ini bermula dengan penerangan kaedah kajian dan definisi indikator dan sub-indikator. Beberapa indikator dan sub-indikator telah diubahsuai dan ditambahkan hasil daripada perbincangan dan persetujuan para pakar.Seterusnya, pemilihan dan penentuan keutamaan indikator telah dilaksanakan melalui soal selidik skala Likert dan kemudian datanya diproses secara saintifik menggunakan Fuzzy Delphi Techique (FDT). Output pemprosesan data menyusun atur semua sub-indikator mengikut kedudukan keutamaan dan menunjukkan bahawa semua 25 sub-indikator yang telah dipersetujui adalah penting dan perlu diambil kira.
Akhirnya, kajian diteruskan dengan penentuan saling persandaran di antara setiap sub-indikator melalui undian semua pakar dan hasil daripada undian tersebut dijadikan input untuk menjana Model Pembangunan Potensi Diri Belia melalui Intepretative Structural Model (ISM). Salah satu dapatan yang menarik daripada model yang dijana tersebut ialah pembangunan potensi diri belia perlu dimulakan dengan corak pemikiran keusahawanan. Model ini akan dapat membantu pembuatdasar dan pelaksana dalam pembangunan model atau modul pembangunan potensi belia yang lebih komprehensif dan strategik di samping mencadangkan penambahbaikan Dasar Belia Malaysia pada masa hadapan.