MAJLIS BELIA MALAYSIA

KBK2026: Memacu Bakat, Diplomasi dan Inovasi Belia

SENDAYAN 16 Mei – Konvensyen Belia Kebangsaan (KBK) 2026 tampil sebagai platform penting dalam memperkasa generasi muda apabila menghimpunkan belia dari pelbagai latar belakang untuk mengetengahkan bakat, idea dan kepimpinan menerusi pelbagai pengisian interaktif di d’Tempat Country Club, Sendayan.

Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Eksekutif Polity yang dalam ucapannya menekankan kepentingan belia membina daya tahan diri serta bersedia menghadapi cabaran dunia masa kini yang semakin kompleks.

Beliau berkata, golongan muda perlu mempunyai kekuatan jati diri, mempertahankan maruah dan mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran masa depan termasuk perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik serta tekanan media sosial.

“Generasi muda perlu mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dengan keadaan semasa kerana dunia kini sedang berdepan perubahan yang semakin kompleks dan tidak menentu,” ujar beliau.

Sepanjang berlangsungnya KBK2026, para peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi seperti sesi Model United Nations (MUN), mini townhall, perbincangan resolusi belia, forum kepimpinan, aktiviti inovasi digital serta bengkel pembangunan kapasiti belia.

Program ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat dan kreativiti anak muda, malah membuka ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan, memperluaskan jaringan strategik dan meningkatkan kefahaman terhadap isu-isu semasa di peringkat nasional serta global.

Antara cadangan perancangan strategik yang diketengahkan sepanjang konvensyen termasuk penerbitan Dokumen Resolusi Belia Keamanan Dunia, pelaksanaan siri dialog susulan bersama rakan strategik seperti United Nations Association of Malaysia, Malaysia Youth Ambassador Development Programme, Junior Chamber International Malaysia dan PERMATA Pintar Negara.

Selain itu, pembangunan modul latihan MUN dan diplomasi belia yang boleh diperluaskan ke sekolah serta institusi pengajian tinggi turut dicadangkan bagi melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing, kritis dan berfikiran global.

KBK2026 juga memberi penekanan kepada elemen kepimpinan, semangat kesukarelawanan, keusahawanan sosial serta penglibatan komuniti sebagai asas penting dalam membentuk belia yang progresif dan berdaya tahan.

Program ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara peserta, fasilitator, sukarelawan dan pelbagai agensi yang terlibat, sekali gus menjadikan KBK2026 sebagai satu pengalaman pembelajaran yang bermakna, inklusif dan penuh inspirasi kepada generasi muda Malaysia.

Konvensyen ini turut membuktikan bahawa belia bukan sekadar pewaris masa depan negara, malah merupakan penggerak utama perubahan dan pembangunan masyarakat yang lebih mampan, progresif dan sejahtera.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »