MAJLIS BELIA MALAYSIA

Keganasan dan Kedegilan Israel Mencabul Hak Asasi Manusia: PBB Wajar Gantung Keahlian Israel

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang memintas, menahan dan memperlakukan aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 secara tidak berperikemanusiaan ketika mereka membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Misi yang membawa makanan, ubat-ubatan dan solidariti kepada rakyat Palestin tidak wajar dilayan sebagai jenayah, apatah lagi disambut dengan kekerasan, penghinaan dan penafian hak asas tahanan.

Tindakan ini memperlihatkan corak keganasan dan kedegilan Israel yang berulang mencabul hak asasi rakyat Palestin, menghalang bantuan kemanusiaan, menormalisasikan kekerasan terhadap orang awam dan bertindak seolah-olah berada di luar jangkauan undang-undang antarabangsa.

MBM menegaskan bahawa alasan keselamatan tidak boleh dijadikan lesen untuk mencabul undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan sejagat. Sekiranya tindakan terhadap aktivis awam ini berlaku di perairan antarabangsa dan disertai layanan tidak bermaruah, ia merupakan pencabulan serius yang mesti disiasat secara bebas.

Sehubungan itu, MBM mendesak supaya semua aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 dibebaskan segera tanpa sebarang bentuk kekerasan, ugutan atau tekanan. Mereka mesti diberikan akses penuh kepada wakil konsular, peguam, pemeriksaan perubatan bebas dan perlindungan keselamatan sepanjang tempoh tahanan.

MBM turut mendesak Kerajaan Malaysia bersama negara-negara sependirian supaya mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas dan tersusun, termasuk membawa isu ini ke Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agung PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa termasuk memulakan proses menggantung hak dan keistimewaan keahlian Israel di bawah kerangka Piagam PBB sekiranya Israel terus mengingkari undang-undang antarabangsa, mencabul hak rakyat Palestin dan menghalang bantuan kemanusiaan. Dunia tidak boleh terus membiarkan sebuah negara anggota PBB bertindak seolah-olah berada di atas undang-undang.

MBM juga menyeru masyarakat antarabangsa supaya bergerak melangkaui kecaman simbolik dengan menggerakkan tindakan strategik yang lebih tegas, antaranya:

1. Mengguna pakai prinsip “no recognition, no aid, no assistance” terhadap sebarang tindakan Israel yang mengekalkan pendudukan haram, penindasan dan pencabulan hak rakyat Palestin.

2. Mewujudkan mekanisme pampasan dan reparasi antarabangsa bagi rakyat Palestin, termasuk tuntutan terhadap kemusnahan nyawa, rumah, hospital, sekolah, infrastruktur awam, ekonomi dan masa depan generasi muda Palestin.

3. Membina mekanisme penguatkuasaan koridor kemanusiaan antarabangsa yang bebas, selamat dan dilindungi bagi memastikan bantuan makanan, ubat-ubatan, rawatan kesihatan dan misi kemanusiaan tidak lagi disekat atau diserang.

4. Menubuhkan International Apartheid Accountability Framework bagi memantau, menilai dan mengambil tindakan terhadap dasar diskriminasi, pemisahan, pendudukan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

5. Memperhebat usaha mengiktiraf Palestin sebagai negara anggota penuh PBB, sebagai langkah penting memperkukuh hak penentuan nasib sendiri, perlindungan undangundang dan kedudukan politik Palestin.

6. Mencabar dan menilai semula sebarang bentuk normalisasi diplomatik dengan Israel, khususnya dalam bidang ketenteraan, teknologi keselamatan, perdagangan strategik dan risikan.

7. Menubuhkan tribunal khas atau mekanisme bukti antarabangsa bagi mengumpul, menyimpan dan menganalisis bukti jenayah perang, penderaan tahanan, sekatan bantuan, serangan terhadap orang awam serta tindakan terhadap aktivis kemanusiaan.

MBM menegaskan selagi Israel dilayan sebagai pengecualian kepada undang-undang antarabangsa, selagi itulah undang-undang antarabangsa akan dilihat sebagai alat kuasa, bukan alat keadilan.

Kecaman semata-mata tidak lagi memadai. Selagi tiada kos undang-undang, diplomatik, ekonomi dan reputasi dikenakan terhadap Israel, selagi itulah pencabulan terhadap rakyat Palestin akan terus dinormalisasikan.

Keadilan untuk Palestin menuntut lebih daripada simpati. Ia menuntut keberanian dunia untuk menghentikan keangkuhan dan kedegilan rejim Isreal yang sekian lama “dilindungi” daripada undang-undang.

SYAFIQ RIDZWAN JAMALUDDIN

KETUA PENERANGAN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tarikh : 21 Mei 2026

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »