Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menggunakan naratif tidak tepat serta bahasa yang tidak wajar terhadap para sahabat Rasulullah SAW.
MBM menegaskan bahawa tokoh-tokoh Khulafa al-Rasyidin dan para sahabat Rasulullah SAW wajib dibicarakan dengan penuh adab, ketepatan ilmu dan tanggungjawab. Ahli politik yang berlatarbelakangkan agama sewajarnya lebih berhati-hati dalam tutur kata awam kerana kenyataan mereka memberi pengaruh besar kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
MBM turut senada dengan teguran pelbagai pihak termasuk pimpinan PAS sendiri yang menggesa agar kenyataan tersebut diperbetulkan secara terbuka demi memelihara kemuliaan Islam serta keharmonian masyarakat.
MBM juga mencadangkan agar kerajaan meneliti keperluan mewujudkan garis panduan atau kerangka undang-undang berkaitan penyebaran hujah agama yang mengelirukan, bersifat sensasi atau boleh menimbulkan salah faham terhadap agama Islam.
BELIA BERTINDAK DEMI KEBENARAN DAN KEADILAN
AHMAD FARHAN ROSLI
SETIAUSAHA AGUNG
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Tarikh : 13 Mei 2026