MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sambutan Hari Belia Negara 2026 Melabuhkan Tirai dengan Penuh Gah dan Semangat Anak Muda

SENDAYAN 17 Mei — Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Kebangsaan melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan, warna-warni dan semangat luar biasa anak muda Malaysia selepas berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mei 2026 di X’Park dan d’Tempat Sendayan, Negeri Sembilan.

Dengan tema “Menggerak Belia Madani”, HBN26 berjaya menghimpunkan ribuan belia dari seluruh negara menerusi pelbagai pengisian berimpak tinggi yang mengetengahkan kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan, keusahawanan, seni budaya, sukan serta gaya hidup sihat selari aspirasi pembangunan belia masa kini.

Kehadiran YAB Perdana Menteri yang turut meluangkan masa menyantuni anak muda serta menyertai pelbagai aktiviti sepanjang sambutan menambahkan lagi kemeriahan dan menjadi simbol sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan generasi belia negara.

Sepanjang tiga hari penganjuran, kawasan festival di Sendayan dipenuhi suasana meriah dengan pelbagai aktiviti interaktif, pameran agensi kerajaan dan swasta, pertandingan seni dan budaya, persembahan buskers, sukan ekstrem, peluang kerjaya, program komuniti serta ruang jaringan strategik yang memberi manfaat kepada golongan belia.

HBN26 bukan sahaja menjadi platform meraikan anak muda, malah berjaya memperlihatkan potensi besar belia Malaysia sebagai pemacu perubahan, agen perpaduan dan pencorak masa depan negara. Semangat kebersamaan yang ditonjolkan sepanjang sambutan turut membuktikan bahawa belia hari ini terus progresif, kreatif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.

Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan pelbagai kementerian, agensi, pertubuhan belia, rakan strategik, sukarelawan serta warga kerja yang bertungkus-lumus memastikan setiap pengisian program berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Majlis Belia Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengunjung, peserta, sukarelawan, agensi kerajaan, rakan penaja, media serta seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Belia Negara 2026.

“Terima kasih Sendayan. Anda semua adalah sebahagian daripada sejarah dan kejayaan Hari Belia Negara 2026.”

Semangat dan momentum yang tercipta sepanjang HBN26 diharapkan akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan belia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Jumpa lagi pada Sambutan Hari Belia Negara tahun hadapan dengan lebih gempak, lebih padu dan lebih luar biasa!

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »