KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang memintas, menahan dan memperlakukan aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 secara tidak berperikemanusiaan ketika mereka membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Penerangan MBM, Syafiq Ridzwan Jamaluddin berkata, misi yang membawa makanan, ubat-ubatan dan solidariti kepada rakyat Palestin tidak wajar dilayan sebagai jenayah, apatah lagi disambut dengan kekerasan, penghinaan dan penafian hak asas tahanan.
Ujarnya, tindakan itu memperlihatkan corak keganasan dan kedegilan Israel yang berulang mencabul hak asasi rakyat Palestin, menghalang bantuan kemanusiaan, menormalisasikan kekerasan terhadap orang awam dan bertindak seolah-olah berada di luar jangkauan undang-undang antarabangsa.
“MBM menegaskan bahawa alasan keselamatan tidak boleh dijadikan lesen untuk mencabul undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Sekiranya tindakan terhadap aktivis awam ini berlaku di perairan antarabangsa dan disertai layanan tidak bermaruah, ia merupakan pencabulan serius yang mesti disiasat secara bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, MBM mendesak supaya semua aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 dibebaskan segera tanpa sebarang bentuk kekerasan, ugutan atau tekanan.
Selain itu, katanya, mereka mesti diberikan akses penuh kepada wakil konsular, peguam, pemeriksaan perubatan bebas dan perlindungan keselamatan sepanjang tempoh tahanan.
Dalam masa sama, ujar beliau, MBM turut mendesak Malaysia bersama negara-negara sependirian supaya mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas dan tersusun, termasuk membawa isu ini ke Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agung PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Jelasnya, ia termasuk memulakan proses menggantung hak dan keistimewaan keahlian Israel di bawah kerangka Piagam PBB sekiranya Israel terus mengingkari undang-undang antarabangsa, mencabul hak rakyat Palestin dan menghalang bantuan kemanusiaan.
“Dunia tidak boleh terus membiarkan sebuah negara anggota PBB bertindak seolah-olah berada di atas undang-undang,” katanya.
Tambah beliau, MBM juga menyeru masyarakat antarabangsa supaya bergerak melangkaui kecaman simbolik dengan menggerakkan tindakan strategik yang lebih tegas.
Antaranya, kata beliau, mengguna pakai prinsip “no recognition, no aid, no assistance” terhadap sebarang tindakan Israel yang mengekalkan pendudukan haram, penindasan dan pencabulan hak rakyat Palestin.
Selain itu, ujarnya, wewujudkan mekanisme pampasan dan reparasi antarabangsa bagi rakyat Palestin, termasuk tuntutan terhadap kemusnahan nyawa, rumah, hospital, sekolah, infrastruktur awam, ekonomi dan masa depan generasi muda Palestin.
Dalam masa sama, tambahnya, membina mekanisme penguatkuasaan koridor kemanusiaan antarabangsa yang bebas, selamat dan dilindungi bagi memastikan bantuan makanan, ubat-ubatan, rawatan kesihatan dan misi kemanusiaan tidak lagi disekat atau diserang.
Ujarnya, MBM menegaskan selagi Israel dilayan sebagai pengecualian kepada undang-undang antarabangsa, selagi itulah undang-undang antarabangsa akan dilihat sebagai alat kuasa, bukan alat keadilan.
“Kecaman semata-mata tidak lagi memadai. Selagi tiada kos undang-undang, diplomatik, ekonomi dan reputasi dikenakan terhadap Israel, selagi itulah pencabulan terhadap rakyat Palestin akan terus dinormalisasikan.
“Keadilan untuk Palestin menuntut lebih daripada simpati. Ia menuntut keberanian dunia untuk menghentikan keangkuhan dan kedegilan rejim Isreal yang sekian lama “dilindungi” daripada undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel penuh :
https://malaysiagazette.com/2026/05/21/ganas-degil-cabul-hak-asasi-pbb-wajar-gantung-keahlian-israel