MERU 12 Julai – Program Youthfluencer MADANI (Rakan Digital: Bengkel Pempengaruh Media) melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama 3 hari 2 malam di Pusat Latihan Kenegaraan Meru.
Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta Kementerian Belia dan Sukan melalui inisiatif Rakan Muda ini memberi pendedahan kepada peserta dalam penghasilan kandungan digital yang kreatif, berimpak dan beretika.
Sepanjang program, peserta mengikuti sesi bersama Zaidi Aziz mengenai penciptaan kandungan, Nisskala dalam suntingan kreatif serta John Bear yang berkongsi teknik storytelling berkesan bagi menghasilkan kandungan yang dekat dengan masyarakat.
Menurut Ketua Penerangan MBM, Syafiq Ridzwan Jamaluddin, program ini bukan sekadar melahirkan pencipta kandungan atau mengejar populariti, sebaliknya membentuk pempengaruh digital yang bertanggungjawab, berintegriti dan mampu menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan maklumat yang sahih, membina pemikiran positif serta menjadi contoh yang baik kepada khalayak umum, khususnya golongan belia.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Encik Sulhairil Hafiz Sulaiman, Ketua Seksyen Pengamal Media, Akademi Kenegaraan Malaysia, dan turut dihadiri Penolong Ketua Penerangan MBM, Sdr. Kishore Kumar.
Youthfluencer MADANI bukan sekadar mencipta kandungan, tetapi membina pengaruh yang membawa inspirasi, menyebarkan nilai positif dan mencorakkan ekosistem digital yang lebih bertanggungjawab.



















































