KUANTAN 3 Jun – Pertubuhan Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM) bakal menubuhkan sebuah yayasan bagi menjaga kebajikan bekas aktivis belia yang banyak berjasa kepada golongan muda di negara ini.
![]() |
Datuk Shamsul Anuar Nasarah
|
Presidennya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, proses penubuhan yayasan tersebut kini berada pada peringkat akhir.
“Dianggarkan terdapat sekitar lima juta bekas aktivis belia di seluruh negara dan ada antara mereka yang kini terlantar sakit akibat faktor usia.
“Seperti mana golongan atlet dan artis memiliki yayasan sendiri yang menjaga kebajikan ahli mereka, bekas-bekas aktivis belia juga berhak menerima perlindungan dan penjagaan kebajikan atas jasa mereka selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Bekas Aktivis Belia sempena Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.
Seramai 10 bekas aktivis pelbagai persatuan belia di negeri ini menerima sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disampaikan Shamsul Anuar.
Program Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat itu dilancarkan Najib, Khamis lalu membabitkan konvoi 35 kenderaan pacuan empat roda bersama 150 peserta dari Skuad Sayang Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri serta Sukarelawan Briged Bantuan Bencana Biro Kebajikan UMNO.
Konvoi itu akan mengunjungi 22 lokasi di seluruh negara.-UTUSAN ONLINE
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/yayasan-alumni-belia-malaysia-bakal-ditubuhkan-1.338127#sthash.jS6INccy.dpuf