PUTRAJAYA 24 Nov – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV Penggal ke-35 bagi sesi 2025/2026 selesai bersidang di Putrajaya Marriott Hotel, di sini, dengan 142 perwakilan belia membahaskan tiga usul utama berkaitan pembangunan belia dan masa depan negara.
Persidangan tersebut dipengerusikan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, yang menghimpunkan barisan kepimpinan pertubuhan belia di peringkat negeri dan kebangsaan bersama wakil kementerian serta agensi Persekutuan bagi membincangkan isu, mengemukakan pandangan dan memperjuangkan aspirasi belia
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dalam ucapan dasarnya menegaskan kepentingan MPBN sebagai platform penting dalam demokrasi perundingan dan bukan sekadar mesyuarat pentadbiran, sambil merakamkan penghargaan kepada KBS kerana memastikan persidangan itu diadakan dua kali tahun ini. Beliau menyambut baik Belanjawan 2027 yang memperuntukan sebanyak RM8 bilion dalam memperkasa sektor TVET serta sasaran 30,000 pekerjaan baharu melalui Bakat MADANI, namun menggesa kerajaan mempertimbangkan meningkatkan semula peruntukan PTPK daripada RM650 juta seperti mana pada tahun 2026.
Selain itu, MBM juga memohon program Sejati Madani untuk diteruskan dan melunaskan geran kepada pertubuhan belia yang telah diluluskan untuk tahun 2026. MBM turut memohon dilibatkan sebagai rakan pelaksana strategik inisiatif BUDI Belia, menyeru kerajaan negeri menyediakan peruntukan berterusan kepada Majlis Belia Negeri selain daripada menawarkan diri sebagai rakan penggerak dan kerjasama kepada pihak agensi dan kementerian untuk segala libat urus dan perancangan strategik berkaitan belia.
Tiga usul utama yang dibahaskan meliputi isu ancaman digital, rumah dan fasiliti pembangunan belia serta penjagaan anak sebagai infrastruktur ekonomi keluarga muda menjadi intipati perbahasan utama dalam MPBN kali ini
Turut hadir YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha KBS; Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah JBSN; Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden MBM; serta Sdr. Mohamad Naim Al-Amin, Pengerusi Tetap MBM.
MPBN yang diperuntukkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668] terus menjadi platform penting dalam memperkukuh dialog dua hala antara kerajaan dengan golongan belia, sekali gus memastikan suara dan pandangan generasi muda diambil kira dalam pembentukan dasar serta agenda pembangunan negara dan diterjemah dengan tindakan tuntas demi kesejahteraan orang muda.

































