MAJLIS BELIA MALAYSIA

PRESIDEN MBM SEMPURNAKAN PERBARISAN TAMAT LATIHAN WIRA MUDA NEGARA SIRI 4/2026 PLKN 3.0

KUALA KRAI, 16 NOVEMBER 2026 – Majlis Belia Malaysia (MBM) terus memperkukuh komitmen dalam menyokong agenda pembangunan generasi muda negara menerusi kehadiran Presiden MBM, YBrs. Sdr. Mohd Izzat Afifi bin Hj Abdul Hamid, yang juga Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) bagi menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 506, Kem Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan.

Majlis yang berlangsung di Padang Kawad Rejimen 506 Askar Wataniah itu turut menyaksikan penyampaian Sijil Penyertaan dan Anugerah Wira Muda Ulung kepada pelatih yang telah menunjukkan pencapaian dan komitmen sepanjang menjalani latihan.

Dalam ucapannya, Presiden MBM menegaskan bahawa kejayaan menamatkan latihan bukan sekadar diukur melalui kesempurnaan kawad dan disiplin sepanjang berada di kem, sebaliknya lebih penting ialah pembentukan sikap, ketahanan diri serta kematangan pemikiran yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau turut mengingatkan para pelatih bahawa semangat patriotisme tidak seharusnya terhenti pada semangat dan kata-kata, tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan, termasuk menghormati undang-undang, memelihara perpaduan serta membudayakan kesukarelawanan dalam kehidupan seharian.

Selari dengan hasrat Kerajaan MADANI, pelaksanaan PLKN 3.0 merupakan antara platform penting dalam membentuk generasi muda yang berjati diri, berintegriti, berdisiplin dan mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi. Pengalaman serta nilai yang diperoleh sepanjang latihan diharap menjadi asas kepada pembentukan belia yang mampu memimpin diri, menunaikan amanah dan menyumbang kepada pembangunan negara.

MBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), barisan komandan, jurulatih, pegawai dan seluruh warga kerja CLKN 506 atas komitmen serta dedikasi dalam menjayakan latihan ini.

Tahniah kepada seluruh Wira Muda Negara Siri 4/2026. Tamat latihan bukan noktah perjuangan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar terhadap diri, masyarakat dan tanah air.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »