KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan ‘Tingkap Belia’ dalam usaha memastikan golongan muda dapat dibantu memiliki kediaman sendiri.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berkata pendekatan itu akan membolehkan kerajaan memastikan syarat pembelian dan pemilikan rumah oleh golongan muda termasuk aspek pembiayaan dapat dipermudahkan.
Katanya, Tingkap Belia perlu diperluaskan ke kementerian lain bagi memberi keistimewaan kepada belia di negara ini mendapatkan pelbagai kemudahan ditawarkan kerajaan.
“Kerajaan boleh berunding dengan institusi perbankan dan agensi berkaitan perumahan bagi mewujudkan Tingkap Belia, membabitkan syarat pemberian rumah dipermudahkan bagi golongan sasar.
“Dalam masa sama, konsep Pusat Kewangan Sosial seperti ditawarkan di Bank Islam contohnya, wajar diperluaskan bukan hanya membabitkan pinjaman tanpa faedah bagi memulakan perniagaan tetapi juga kepada pinjaman perumahan belia.
“Pusat Kewangan Sosial ini banyak membantu belia berstatus unbankable (tidak diterima bank) menjadi bankable (diterima oleh bank),” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas laporan BH hari ini mengenai cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan model pembiayaan perumahan.
Ia khusus membantu golongan muda yang bermasalah mendapatkan pinjaman atau tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi membeli rumah mampu milik.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata satu jawatankuasa pakar dianggotai peserta industri perumahan dan perbankan akan dibentuk bagi mengenal pasti kaedah dan strategi terbaik sebelum model pembiayaan itu diumumkan.
Antara cadangan diperhalusi dalam model pembiayaan perumahan itu yang menjadi sebahagian agenda dalam kempen “Miliki Rumah Di Usia Muda” akan diperkenalkan KPKT, termasuk kemungkinan pemberian pinjaman 100 peratus atau memanjangkan tempoh pembiayaan melebihi 35 tahun.
Isnin lalu, Presiden Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon, mendedahkan hampir separuh bakal pembeli rumah yang majoritinya golongan muda membatalkan tempahan apabila pembiayaan pinjaman ditolak institusi kewangan.
Jufitri menyifatkan cadangan melanjutkan tempoh pembiayaan melalui modul itu melebihi 35 tahun sebagai baik kerana mampu mengurangkan bebanan bayaran bulanan, namun ia akan menyebabkan kadar faedah lebih tinggi dan perlu ditangani sebaiknya.
“KPKT juga perlu memastikan pemimpin belia dan belia dibabitkan bagi mendapatkan idea serta model terbaik bagi memastikan model pembiayaan perumahan itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Ini termasuk melaksanakan libat urus bersama belia dalam Jawatankuasa Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) ke arah penubuhan Perbadanan Perumahan Negara (NHC),” katanya.
Dalam masa sama, Jufitri meminta kerajaan melaksanakan semula skim perumahan MyHome yang berakhir tahun lalu selepas dilancarkan pada 2015 bagi membantu golongan belia membeli rumah.
Katanya, konsep MyHome yang menyaksikan kerajaan menyediakan wang pendahuluan 10 peratus atau maksimum RM30,000 amat membantu golongan belia memiliki kediaman.