Thursday, 15 July 2010
PUTRAJAYA 12 Julai – Sistem daftar pemilih secara dalam talian (online) perlu dibangunkan dengan kadar segera bagi memudahkan rakyat negara ini terutama golongan muda menunaikan kewajipan sebagai pengundi negara ini.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, ketika ini kemudahan seperti itu dilihat satu mekanisme penting untuk menarik kira-kira 4.3 juta rakyat yang layak mengundi berbuat demikian demi kepentingan negara.
“Pada saya sudah sampai masanya langkah itu dipergiatkan kerana tahap literasi rakyat negara ini terhadap penggunaan komputer adalah tinggi terutama golongan muda yang lebih gemar melayari internet sekalipun untuk membeli-belah.
“Ini merupakan satu pelaburan yang baik memandangkan kita berada dalam era teknologi yang menuntut penggunaan internet di mana saja berada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan berhubung 4.3 juta rakyat mencapai usia 21 tahun dan lebih tetapi masih belum mendaftar sejak Pilihan Raya Umum 2008.
Daripada jumlah itu, 1.9 juta atau 43 peratus adalah orang Melayu dan kumpulan terbesar ialah mereka yang berumur 35 tahun ke bawah dan majoritinya pekerja dari sektor swasta termasuk yang bekerja sendiri. – Utusan