DALAM TALIAN 16 Sep – Sempena Hari Malaysia Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara mengadakan Webinar Kopitiam Belia dengan tajuk “Belia dan Kemerdekaan Negara” membicarakan sumbangan anak muda kepada negara.
Webinar ini menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ikon Belia Negeri Johor, Shahrol Shiro. Sesi ini dihoskan oleh Sdr. Amsyar Effendy, Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Webinar ini merupakan program kedua selepas Santai Kopitiam Belia yang disertai Menteri Perpaduan Negara pada sebelah petang.
Datuk Onn Hafiz yang juga merupakan Cucu Tun Hussien Onn berharap anak muda tidak leka dengan kemajuan dan kesenangan yang dikecapi hari ini hingga lupa tanggungjawab yang lebih besar iaitu menimba ilmu seterusnya mengecapi masa hadapan negara yang lebih cemerlang.
Shahrol juga turut mengulas bahawa golongan selebriti memainkan peranan dalam mengajak masyarakat ke arah kebaikan khususnya semangat perpaduan dan patriotisme melalui seni.
Turut sama Timbalan Presiden MBM, Sdr. Muhammad Fadzli Hasan yang menyampaikan ucapan aluan dan Sdri. Jessy Ng, Exco MBM.