KUALA LUMPUR 7 Ogos – Webinar siri kelapan ‘Bicara Generasi’ kali ini menampilkan ‘Iron Lady Majlis Belia Malaysia (MBM)’ Sdri. Rohani Abu Hassan, Mantan Pengerusi Tetap MBM dan Sdri. Noor Lina Mohd Yusuf, Mantan Naib Presiden MBM.
Rohani atau mesra disapa Kak Ani merupakan pemimpin belia yang lahir dari belia akar umbi. Melibatkan diri dengan pergerakan belia di kampung melalui Gerakan Belia 4B seterusnya melebarkan sayap kepimpinan di peringkat negeri melalui dorongan dan sokongan pemimpin terdahulu. Ketokohan kepimpinan beliau Berjaya menyatupadukan semula gabungan persatuan belia di bawah Majlis Belia Kelantan yang ketika itu bergolak. Diangkat sebagai Pengerusi Tetap MBM yang merupakan ‘wanita pertama’ di dalam MBM menjawat jawatan tertinggi itu secara bidan terjun akibat kemelut pemilihan yang berlaku masa itu.
Pesan beliau kepada bakal pemimpin belia ialah menjadi pemimpin perlu bersedia mental dan fizikal, jangan takut kepada cabaran kerana ia mematangkan. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang dapat melahirkan pelapis kepimpinan masa hadapan.
Sdri. Noor Lina pula datang dari gerakan belia beruniform (Pandu Puteri) setelah mendapat sokongan dari kepimpinan tertinggi Pandu Puteri untuk bertanding sebagai Exco MBM. Beliau belajar membawa diri dalam MBM dan tidak memerlukan masa yang lama untuk aktif melalui program-program wanita dan mewakili MBM ke persidangan antarabangsa selain menyertai misi kemanusiaan.
“Banyak pengalaman, sahabat dan ilmu yang saya perolehi sepanjang berada di dalam MBM dan merupakan kenangan manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila”.
“Pengalaman di dalam ‘sekolah belia’ ini juga banyak membantu dalam kerjaya kami sekarang sebagai guru untuk lebih matang dalam membuat keputusan”, tambah beliau.
Program bual bicara secara langsung di facebook MBM ini dihoskan oleh Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Ketua Penerangan MBM.