PUTRAJAYA 13 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menggerakkan sukarelawan pemantau harga barang di 124 daerah seluruh negara. 1,240 orang sukarelawan KBS-MBM ini terdiri daripada Badan-badan gabungan MBM, Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta Pejabat Belia dan Sukan daerah.
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan walkabout pemantauan harga barang di Pasaraya Aeon Big Alamanda yang turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dan Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Jana Santhiran Muniayan.
KBS menerusi Bahagian Pembangunan Rakan Muda bersama MBM dipertanggungjawabkan untuk memobilisasikan sukarelawan ke peringkat akar umbi yang berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ bagi membantu memantau dan melaporkan isu kenaikan harga barang kepada KPDNHEP.
Menteri KPDNHEP mengucapkan terima kasih kepada KBS dan MBM yang turut sama memainkan peranan melalui inisiatif ini bersama Kementerian seterusnya komited untuk membantu dalam menangani masalah kenaikan harga barang pada ketika ini.
“Bukan mudah, apatah lagi demi menjamin kebajikan lebih 32 juta pengguna dapat dijaga”, ujar beliau.
Hadir sama Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Tuan Mohd Azhari Mohammad, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan pegawai-pegawai dari KBS dan KPDNHEP.
Belia prihatin, jadilah pengguna bijak!