SHAH ALAM 14 Mac – Wacana Sinar Bersama MBM Siri 95 dengan tajuk PTPTN : Bayar Ke Tak? yang menampilkan panelis Timbalan Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS, Exco Pemuda UMNO, Farhan Khairudin, Ketua Penerangan BERSATU, Ulya Aqamah Husamudin dan, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhamad Nur Iman Abdul Khudus manakala moderator oleh Nazri Kahar dari Astro Awani. Program ini telah dilaksanakan di Kompleks Media Karangkraf Shah Alam.
PTPTN merupakan satu subjek panas yang tidak pernah habis dan sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan hangat terutama kepada anak muda dari kalangan mahasiswa sama ada yang telah habis belajar dan yang masih belajar.
Menurut Sdr. Farhan Khairudin, kebanyakan mereka mahu membayar cuma perlunya ‘rukhsah’ atau kemudahan kepada mereka untuk membayar dan beliau mohon agar kerajaan kini dapat meneruskan kemudahan pemotongan 20 % dan 10% bagi mereka yang membayar langsai dan mereka yang konsisten pembayaran bulanan.
Menurut Ulya Aqamah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan faham isi hati rakyat. Beliau mewakili ARMADA melihat ia menjadi satu tanggungjawab kepada kerajaan kepada rakyat terutama kepada anak muda dan beliau menyatakan di dalam bulan April nanti akan ada satu pengumuman yang akan dibuat oleh pihak PTPTN.
Bagi Sdri. Bawani KS pula, beliau berpendapat bahawa pendidikan percuma boleh dilaksanakan dan menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk menyediakannya. Beliau turut menyatakan agar Sektor Pendidikan tidak diniagakan yang mana membawa keuntungan kepada golongan tertentu.
Bagi Sdr. Iman pula, melalui kaji selidik yang beliau lakukan bahawa kebanyakan peminjam PTPTN mahu melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai peminjam. Beliau berharap sistem Ujrah yang diperkenalkan oleh PTPTN dapat dihapuskan kerana ia menjadi beban kepada peminjam PTPTN.