SHAH ALAM, 27 Mac 2019 – Buat julung kalinya telah berlangsung Wacana Sinar MBM atas usahasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Sinar Harian yang mengangkat tajuk “Janji Semenyih”.
Wacana berbentuk forum ini menampilkan barisan ahli panel daripada dua calon yang akan bertanding di PRK Dun Semenyih nanti iaitu calon Bebas, Sdr. Kwan Chee Heng atau lebih popular dengan gelaran “Uncle Kentang”, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sdr. Nik Aziz Afiq Abdul. Turut serta bersama barisan panelis adalah Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani. Manakala Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar bertindak sebagai moderator.
Wacana ini dilihat sebagai satu wadah yang menggambarkan satu suasana politik matang yang ditampilkan oleh kedua-dua calon bagi memenangi hati masyarakat terutama anak muda.
Ia digambarkan sendiri oleh Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun yang menyatakan pengundi muda yang mewakili 40% pengundi adalah penentu kemenangan di PRK Semenyih.
Ianya disokong oleh calon dari PSM yang menyatakan negara kekurangan calon muda yang berkaliber.
“Kita sebenarnya kekurangan orang muda. Kebiasannya (yang menjadi calon adalah mereka yang mempunyai kabel yang kuat dan kroni. Tetapi PSM melihat perlunya untuk menghargai suara orang muda.”
Uncle Kentang dalam kenyatannya bertegas kerja-kerja sosial yang dilakukannya tetap akan diteruskan walaupun tidak beroleh kemenangan. Beliau menegaskan, kita tidak perlu untuk menunggu bantuan kerajaan untuk membantu orang. Kenyataannya itu disusuli tepukan gemuruh oleh para hadirin yang hadir.
Hadir sama dalam wacana ini adalah Dato’ (Dr.) Hussamuddin Hj. Yaacub, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hj. Hamzah, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Ketua Penerangan MBM dan Sdr. Mohamad Nazri Abd Latif, Exco MBM.