PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B (GB4B) Negeri Johor muncul juara keseluruhan Pertandingan Debat Piala Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) 2026 selepas menewaskan pasukan Gerakan Belia 4B Johor Ulu Pulai (B) pada peringkat akhir, di Auditorium Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, 18 Oktober lalu.
Kemenangan itu membolehkan GB4B Negeri Johor membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi iringan dan piala pusingan selepas berjaya meyakinkan barisan tujuh hakim menerusi perbahasan usul berkaitan penggunaan aset rasuah yang dirampas untuk membangunkan kepimpinan belia melalui gerakan antirasuah.
Abdullah Nuddin daripada GB4B Negeri Johor turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Peringkat Akhir, manakala Muhammad Idham Hafizie Zainuddin daripada Sekretariat Rakan Muda (SRM) Kelantan meraih gelaran Pendebat Terbaik Liga.
Pertandingan anjuran MBM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi inisiatif Rakan Muda serta SPRM itu menghimpunkan 32 pasukan membabitkan 128 peserta daripada pelbagai persatuan belia, institusi pengajian tinggi, Parlimen Belia Malaysia dan Kelab Rakan Muda seluruh negara.
Pertandingan julung kali diadakan itu berlangsung dalam tiga peringkat, bermula dengan saringan dalam talian pada 10 Oktober, sebelum lapan pasukan terbaik mara ke suku akhir dan separuh akhir secara fizikal pada 17 Oktober.
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata penyertaan menggalakkan itu membuktikan golongan muda, khususnya pemimpin belia, memiliki bakat, keyakinan dan pemikiran kritis untuk bersaing dengan cemerlang.
Beliau berkata, MBM akan memastikan pertandingan berkenaan dimasukkan dalam takwim tahunan bagi mengasah kebolehan anak muda mengutarakan idea bernas demi pembangunan belia dan negara.
Penganjuran itu turut mencerminkan kerjasama strategik MBM dan SPRM dalam membudayakan integriti serta menyemai sikap tegas menolak rasuah dalam kalangan generasi muda, selain membuka ruang kepada belia memainkan peranan aktif menyokong agenda antirasuah di peringkat masyarakat.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato’ Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, serta Pengerusi Tetap MBM, Muhamad Naim Al Amin.
Artikel penuh :