Siem Reap, 14 April 2015 – Angkor Sankranta, merupakan sambutan Tahun Baru bagi orang-orang Khmer telah disambut secara besar-besaran bermula dari 13 hingga 17 April 2015 di Angkor Wat, Siem Reap. Acara sambutan ini telah memasuki tahun ketiga dianjurkan di Angkor Wat oleh Union of Youth Federations of Cambodia (UYFC), pertubuhan belia nasional di Cambodia.
Bagi meraikan hubungan dua hala antara UYFC dan Majlis Belia Malaysia (MBM), UYFC telah menjemput MBM untuk turut sama ke sambutan yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Kemboja, H.E. Samdech Akka Moha Sena Padei Techo HUN SEN pada 14 April 2015. Sdr. Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin, Presiden MBM yang mengetuai delegasi MBM ke sambutan tersebut turut diiringi oleh Sdr. Mohd Zaidi Aziz, Timbalan Presiden MBM serta Sdr Arunkumar , Bendahari MBM dan Sdr Hasnul Haniff, Exco MBM.
Delegasi ini juga turut diraikan di Majlis Makan Malam Perasmian International Youth Culture Festival (IYCF) bersama H.E Dr. Hang Chuon Naron, Menteri Pendidikan, Belia Dan Sukan Kemboja dan H.E. Hun Many. Program ini disertai oleh 16 negara termasuk Malaysia dan MBM turut menghantar 10 belia dari pelbagai latar belakang bagi wakili Malaysia dalam Program IYCF.
H.E. Hun Many, Presiden UYFC dalam ucapan di Majlis Perasmian Angkor Sankranta turut menyampaikan laporan bagi keseluruhan acara Angkor Sankranta 2015 dan menyatakan hampir 10,000 orang terlibat dalam persiapan sambutan ini. Dif-dif kehormat telah dibawa melawat ke My Village “Phum Kh’ngom”, pelbagai bentuk mini rumah tradisi Kemboja telah pamerkan untuk tatapan umum sambil pelbagai persembahan tradisi di tontonkan di setiap tapak rumah mini tersebut. Pelbagai jenis makan tradisi Kemboja turut dihidangkan dan dipamerkan di My Village.
Permainan, tarian dan seni mempertahankan diri tradisional turut dipamerkan, Pameran Makanan dari pelbagai IKS Kemboja juga merupakan antara tarikan kepada pengunjung Festival ini. Giant Ansorm sejenis makanan tradisi Kemboja dibuat dalam skala besar menggukan 200kg beras pulut dan menjadi tatapan umum dalam mengadakan persiapan Ansorm yang terbesar di Kemboja.
Presiden MBM juga sempat mengadakan lawatan ke sebuah Kampung Air atau Kampung terapung termasuk sekolah anak-anak yatim berdekatan dengan tasik Tonle Sap dan menyampaikan sumbangan beras ke sebuah sekolah anak-anak yatim di sana.