KUALA LUMPUR 29 Mei – Dalam usaha membangunkan pelbagai program berteraskan belia, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan dalam program bual bicara ‘Inspirasiku: TN50 dan Masa Depan Generasi Muda Malaysia’ yang berlangsung di Dewan Besar Utusan Melayu (M) Berhad hari ini.
Universiti itu diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim manakala MBM diwakili Presidennya, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali menyaksikan MoU tersebut.
Memorandum itu bertujuan menganjurkan pelbagai hubungan kerjasama terutama dalam bidang penyelidikan dan program kepemimpinan melibatkan belia di seluruh negara.
Usaha tersebut juga adalah selaras dengan aspirasi kerajaan menerusi program Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Dalam kenyataan akhbar sempena majlis itu, UUM menjelaskan pihaknya telah mengenal pasti MBM sebagai pertubuhan bukan kerajaan terbesar yang mewakili belia dan pelajar.
Sehubungan itu UUM berharap, kerjasama berkenaan dapat mencetuskan idea-idea tentang masa depan negara selain membentuk generasi belia berpaksikan TN50.
© Utusan Melayu (M) Bhd