MAJLIS BELIA MALAYSIA

UTAMAKAN KEBAJIKAN ELAUN KHAS PETUGAS BARISAN HADAPAN COVID-19

Menjelang musim perayaan yang bakal tiba, Malaysia bukan sahaja akan meraikan perayaan secara norma baharu untuk rutin tahunan perayaan Aidilfitri. Walaupun tidak dibenarkan untuk berziarah dan saling kunjung mengunjung, masyarakat masih boleh duduk di rumah sambil meraikan bersama insan tersayang.

Namun demikian, berbeza dengan realiti petugas barisan hadapan yang rata-ratanya masih perlu bertugas ketika musim perayaan. Hal ini lebih memeritkan tatkala isu pembayaran semula elaun khas petugas barisan hadapan yang diumumkan dalam Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu dihujani seribu satu birokrasi. Rata-rata mereka adalah dalam kumpulan belia dan diarahkan bertugas sejak awal pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Umum mengetahui, elaun khas kepada kakitangan perubatan adalah pada kadar RM400 hingga RM600 sebulan dan itu pun tidak meliputi keseluruhan petugas kesihatan. Adakah pegawai farmasi, pembantu makmal, pegawai administratif, petugas kebersihan dan pegawai keselamatan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19 ini dikategorikan dalam senarai penerima? Jika tidak, adalah wajar supaya kumpulan ini disertakan sebagai dipertimbangkan menerima elaun khas kerana kerja keras mereka yang turut mengorbankan masa dan tenaga.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan PKP, akan menerima elaun khas RM200 sebulan. Diharapkan agar kerajaan mempertimbangkan semula amaun yang akan diterima yakni RM200 sebulan memandangkan tugasan mereka yang berat dan telahpun meragut nyawa salah seorang anggota polis bertugas dalam insiden baru-baru ini.

Jika seorang pesakit Covid-19 boleh dikurniakan Wang Ihsan daripada Tabung Covid-19 oleh kerajaan sebanyak RM100 sehari, mengapa tidak mempertimbangkan tambahan elaun khas kepada petugas barisan hadapan? Proses pembayaran yang rumit juga harus dikaji semula dan mengambil inisiatif seperti KWSP dan BPN yang memaksimakan sistem permohonan dan pembayaran dalam talian.

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru agar lebih banyak manfaat yang mampu diratakan kepada pasukan yang telahpun memerah keringat dan jasa dalam memastikan negara kekal selamat ketika musim pandemik ini. Lihat sahaja bagaimana Singapura meluluskan bonus 1 bulan gaji kepada para petugas kesihatan dan klinik-klinik yang terbabit dalam membanteras Covid-19.

Hanya dengan memayungi kebajikan petugas barisan hadapanlah, kita mampu menzahirkan apresiasi dan penghargaan tak berbelah bahagi kepada pengorbanan mereka.

‘ATIQAH SYAIRAH SHAHARUDDIN
PENOLONG SETIAUSAHA AGUNG
MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 19 Mei 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »