MAJLIS BELIA MALAYSIA

Usul turun umur kelayakan senator ke 25 tahun akan dibawa ke Jemaah Menteri

KUALA LUMPUR:

 Usul menurunkan umur kelayakan senator kepada 25 tahun antara perkara yang akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat, menurut Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari.

Taufiq memberitahu pemberita bahawa usul itu antara perkara yang dibangkitkan pada sidang Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, hari ini.

“Terdapat tiga usul yang telah pun diusulkan dan dibahaskan iaitu yang pertama adalah agar pihak kerajaan meneliti keperluan meminda Perlembagaan bagi menurunkan umur kelayakan senator kepada 25 tahun bagi memperkukuh representasi belia dalam Dewan Negara,” katanya pada sidang media.

MPBN ialah platform libat urus tertinggi kerajaan bagi belia untuk menyuarakan pandangan, aspirasi dan cadangan berkaitan pembangunan mereka. Sidang kali ini dianggotai 142 wakil belia dari seluruh negara.

Dua usul lain yang akan dibawa ke Jemaah Menteri ialah memperkenalkan had penggal berturut-turut Ahli Parlimen bagi memperkukuh pembaharuan politik, akauntabiliti dan peremajaan kepimpinan negara; dan memperkasa penglibatan belia dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan nuklear.

“Kita telah pun mendapatkan maklum balas daripada agensi-agensi yang terlibat, kementerian-kementerian yang terlibat dan satu nota Jemaah Menteri akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

“Dalam masa terdekat ini saya sendiri akan membentangkan kepada anggota Jemaah Menteri tidak hanya semata-mata berkaitan tiga usul yang dibawa tetapi juga isu-isu yang dibangkitkan sepanjang persidangan kali ini.”

Taufiq berkata beliau menyokong usaha meremajakan kepimpinan negara, dan memastikan representasi anak muda, wanita dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang lebih seimbang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Itu yang sedang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq berkata KBS akan memberi tumpuan kepada usaha menyediakan lebih ramai pemimpin muda yang kompeten sebelum sebarang perubahan berkaitan representasi belia dilaksanakan.

“Pendekatan saya adalah ‘nurture the future leaders’. Menyediakan kepimpinan yang ramai, menyediakan pemimpin-pemimpin yang baik supaya ketika ada proses pindaan-pindaan yang mungkin berlaku supaya had umur diturunkan dan sebagainya, anak muda kita dalam keadaan bersedia,” katanya.

KBS juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Dewan Negara bagi meneliti kaedah terbaik untuk merealisasikan usul berkenaan, katanya.

Artikel penuh :

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2026/08/18/usul-turun-umur-kelayakan-senator-ke-25-tahun-akan-dibawa-ke-jemaah-menteri?fbclid=IwY2xjawTyCHxwZG9mAWV4dG4DYWVtAjExAHNydGMGYXBwX2lkEDIyMjAzOTE3ODgyMDA4OTIAAR5muowiCxMXzZD6nnGV-QuTTzibbCV27doYah-4ydhH3dpIRb6dSK747cYpGQ_aem_uqkmn2waTxhjWMyBHA1lHQ

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »