MAJLIS BELIA MALAYSIA

USAHAWAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGARA

Sudah tiba masanya, belia di negara ini perlu menyedari bahawa makan gaji bukanlah segala-galanya. Inilah masanya untuk belia sedar bahawa perubahan teknologi yang semakin pantas, pelbagai info kini boleh diperolehi melalui media sosial dan sejauh mana belia sekarang yang cakna perkembangan terkini namun bukan semua belia tahu menggunakan platform media sosial ini tetapi masih lagi ada belia yang tidak mengguna platform tersebut.

Dalam perkara ini Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil inisiatif melalui Biro Usahawan menganjurkan banyak Sidang Meja Bulat berkongsi idea dan pendapat, mendekati mahasiswa-mahasiswi, belia didesa dan bandar bagi menerangkan peluang dan tawaran sedia ada untuk belia serta menyampaikan suara belia dengan resolusi (outcome) kepada kerajaan dan kementerian berkenaan supaya pihak atasan mengetahui kehendak belia di peringkat akar umbi.

Tidak kurang ada belia yang masih bergelar seorang pelajar namun mampu membeli rumah pertama dan berjaya dalam perniagaan.

Belia Malaysia hari ini semakin didedahkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Dalam Belanjawan 2020, banyak insentif diberikan kepada usahawan muda negara. MBM meminta agar semua belia di negara ini tidak melepaskan peluang ini dan jadikan peluang ini sebagai pendorong dan pemangkin untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Belia kini perlu berusaha menginovasikan idea, kemahiran dan sikap proaktif dalam memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan dikenali dan mendapat permintaan. Sifat keusahawanan seseorang belia yang telah mula disemai sejak usia muda mampu melahirkan belia yang lebih berdaya saing untuk menambah nilai kepada sektor keusahawanan negara. Mulai saat inilah akan terbukti bahawa Usahawan Pemangkin Pembangunan Negara.

Ekonomi Masa Depan Negara Ditangan Usahawan Muda

MBM melalui Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan akan terus merancang dan mengelola inisiatif program keusahawanan dalam pelbagai skop pendekatan yang berbeza serta sentiasa mendekati golongan usahawan muda ; OKU, asnaf, luar bandar dan bandar malah kawasan terpencil. 

Ini jelas terbukti, apabila golongan usahawan muda didekati dan melihat bagaimana mereka menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang yang disediakan oleh kerajaan mahupun swasta sama ada di peringkat sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi dalam usaha untuk memulakan perniagaan dari minat mereka sendiri. 

Generasi muda yang berdaya saing perlu rajin membaca dan mendapatkan informasi melalui kemudahan yang telah tersedia luas melalui agensi-agensi keusahawanan sebagai rujukan, meneroka pasaran dengan idea yang lebih kreatif, menggunakan teknologi dan medium digital malah memanfaatkan ruang atau lokasi perniagaan yang disediakan dengan tuntas. Paling utama, mereka perlu rajin menaik taraf ilmu keusahawanan mereka mengikut trend terkini.

Sikap disiplin yang terdapat dalam diri seseorang usahawan muda itu akan memangkin diri mereka untuk terus memajukan diri. Bidang keusahawanan sememangnya diiktiraf sebagai antara bidang yang mampu memberikan pulangan yang lumayan namun ia masih lagi di peringkat permulaan di negara ini dengan penglibatan golongan belia yang masih memerlukan perhatian dari pelbagai pihak.

Usaha dan sokongan kerajaan amatlah penting bagi menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan bagi meningkatkan keupayaan teknologi dan persekitaran ekonomi serantau. Sokongan dan inisiatif berterusan bagi tujuan pemulaan dan perkembangan perniagaan wajar ditambahbaik bagi menyokong usahawan muda melonjakkan perniagaan mereka dan melahirkan modal insan harapan negara.

BELIA JANGAN LEPASKAN PELUANG!!!

SYED OSMAN BIN MOHAMED

PENGERUSI BIRO PERINDUSTRIAN, EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN

MERANGKAP;

EXCO MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh: 18 Oktober 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »