Kuantan, 28 Februari 2012 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai usaha melahirkan genrasi belia berwibawa dan berdaya saing.
Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, skop kerjasama ini yang telah dirundingkan meliputi keempat-empat Bidang Keberhasilan Utama (KRA) di bawah Pelan Strategik tersebut iaitu peningkatan kualiti akademik, kelestarian kewangan, pembangunan sosioekonomi dan penjenamaan untuk penjajaran strategik.
Menurutnya, dalam mengupayakan kemajuan masyaraka UMP dan MBM mengenal pasti tiga teras utama yang terlibat iaitu akademik, penyelidikan dan perundingan modal insan.
“Inisiatif yang digerakkan ini akan melibatkan program pembangunan belia melalui latihan, kepimpinan dan keusahawanan, serantau dan antarabangsa serta penyelidikan, pembangunan dan reka cipta.
“Selain itu, masyarakat terutamanya di sekitar kawasan Pekan yang berhampiran dengan kampus UMP Pekan bakal menerima manafaat daripada inisiatif ini yang rata-ratanya mempunyai latar sosioekonomi dan pendidikan sederhana,” katanyaketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Menandatangani (MoU) di UMP hari ini.
Seterusnya, beliau menjelaskan kesediaan pihak MBM untuk bekerjasama dengan UMP bagi merealisasikan hasrat murni itu.
Daing berkata, pihaknya berbesar hati menerima MBM sebagai rakan kongsi dalam konteks kerjasama ini berdasarkan reputasi dan pengiktirafan yang dimiliki organisasi terbesar yang mewakili golongan belia di negara ini.
Hadir sama, Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Persatuan Wanita UMP (Matahari), Prof. Madya Dr Mimi Sakinah, Exco MBM, Ahmad Daniar Ismail dan Khairul Annuar Mansur serta tokoh Belia Negara 2011, Rizan Hasan.