MAJLIS BELIA MALAYSIA

Usah gadai keperluan pendidikan negara

hmetro_presidenOleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

LAMAN sosial facebook menemukan penulis dengan rakan lama, Lim Siu Yun yang terpisah sejak bergraduan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1998. Sebelum itu kami sama -sama menuntut di tingkatan enam di Sekolah Munshi Sulaiman Batu Pahat, Johor.

Amat malang nasib Siu Yun kerana hanya sempat setahun bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Senai kerana pada 1999 beliau parah akibat diserang peragut ketika menziarahi saudaranya di Singapura. Siu Yun mengalami pendarahan di kepala akibat dipukul dengan kuat oleh peragut durjana. Hanya selepas 14 tahun penulis berjaya menjejaki beliau yang kini banyak menghabiskan masa dengan membaca dan bermain komputer. Pergerakan serta pertuturan Siu Yun amat terbatas. Syukurlah beliau masih memiliki ketajaman fikiran dan hati yang kuat.
Penulis dan seorang lagi bekas rakan sekelas, Cikgu Sallehuddin Abu Hasan hampir menitiskan air mata melihat penderitaan yang Siu Yun alami. Masih terbayang keletah dan sikap mesra Siu Yun sewaktu di sekolah dulu.

Penulis amat takjub dengan ketabahan hati Siu Yun melalui episod sedih dalam hidupnya kini. Sewaktu penulis menyatakan rasa marah terhadap tindakan peragut kejam itu, Siu Yun dengan suara yang tersekat-sekat menyatakan dirinya kini berasa lega kerana apa yang berlaku mungkin adalah balasan perbuatan salah beliau dalam kehidupan masa lampau.
Kini Siu Yun tidak lagi rasa berhutang terhadap sesiapa. Begitulah tabahnya seorang rakan baik penulis yang sama-sama belajar sejak zaman persekolahan. Namun hakikat yang mesti kita terima ialah betapa besarnya fungsi sesi persekolahan kepada perkembangan sosial masyarakat kita. Jujur saya katakan bahawa jika kami bertiga tidak ditemukan dalam sesi persekolahan dulu, sudah pasti penulis dan rakan tadi tidak akan memandu dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat semata-mata untuk bertemu rakan lama yang sedang sakit.

Bagi penulis, persekitaran sekolah dan kehidupan diadun di dalamnya faktor penting bagi pembentukan pandangan alam serta ekosistem seseorang individu.

Proses sosialisasi di sekolah akan menentukan sikap dan pemikiran sebenar seseorang murid apabila dewasa nanti. Sekolah mesti menjadi mesin inkubator yang melahirkan warga matang, patriotik, serta mampu hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia. Kini selepas hampir 55 tahun merdeka, masyarakat kita masih kuat ditandai dengan perbezaan kaum, idealogi politik, kepercayaan agama dan latar belakang kenegerian.
Penulis dapat rasakan tindakan penulis dan Cikgu Sallehuddin memimpin tangan Siu Yun untuk memasuki kereta menjadi tontonan umum hanya kerana watak kami dilakonkan individu Melayu-Cina-Melayu. Ia seolah-olah perkara aneh dalam masyarakat kita.

Pada masa sama, masih banyak kejadian serta peristiwa konflik individu dengan individu tiba-tiba dilayan dan diperbesarkan menjadi konflik antara kaum. Kemalangan kecil yang membabitkan Ali dan Chandran di Jalan Perak Pulau Pinang sebagai contoh, boleh merebak menjadi pertelingkahan Melayu dengan India.

Persoalan oleh penulis ialah di manakah silapnya dan apakah punca semua ini terjadi? Jawapannya ialah kerana kelemahan sistem pendidikan kita yang masih menggalak berlakunya perpecahan serta perbezaan dalam masyarakat kita. Anak kita dipisahkan seawal zaman persekolahan. Dididik dengan sistem pendidikan yang tidak selaras.

Kita pisahkan mereka seawal umur kanak-kanak dan berharap mereka matang dan dewasa untuk hidup harmoni secara bersama-sama. Sudah pasti ia kini kelihatan mustahil. Lebih buruk lagi, hal berkaitan pendidikan menjadi begitu sensitif serta tabu untuk dibincangkan.
Banyak idea serta perancangan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara menemui jalan buntu berikutan keengganan banyak pihak bersifat rasional dan toleransi.

Sebagai badan induk belia di negara berbilang kaum ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) tetap tegas dan konsisten mahukan agar semua pihak bersifat jujur, matang dan berpandangan jauh dalam merangka suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Gunakanlah peluang sesi Dialog Pendidikan Nasional yang digerakkan Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan seberapa banyak input untuk menambahbaik sistem pendidikan negara.

Bagi MBM, gagasan dan iltizam ke arah sistem persekolahan satu aliran perlu didukung dengan sebaiknya. Ia bukan sekadar pandangan peribadi penulis sebagai Presiden MBM, malah resolusi sama pernah dinyatakan dalam sesi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan yang terbaru turut dinyatakan dalam laporan Makmal Transformasi Pembangunan Belia pada 2010.
Panggil semua pakar serta pihak berkepentingan. Pilih dan analisis semua input keperluan semua kaum, agama dan latar belakang masyarakat asalkan bertepatan dengan tiang seri Perlembagaan Persekutuan.

Tambahkanlah tempoh masa persekolahan dari pagi hingga ke petang (atau malam) serta tambahkanlah jumlah guru yang akan mengajar, asalkan anak ini hidup sebagai murid secara bersama, dalam persekitaran yang sama dan berperasaan yang sama. Rayuan penulis kepada semua pemimpin masyarakat dan politik; lihatlah masa depan negara kita secara bersama. Anak kita adalah penentu masa depan Malaysia. Memperbesar-besarkan perbezaan hanya akan meruntuhkan negara ini. Sekiranya sebelum ini sifat curiga dan rasa tidak puas hati hanya akan terpendam di dalam hati, namun kini orang muda semakin vokal dan berani. Medium yang digunakan pula amat luas dan mampu digerakkan pada hujung jari dari sudut bilik tidur yang terpencil. Anak yang dibesarkan secara terpisah-pisah sewaktu di sekolah ini akan kurang rasa empati, simpati dan toleransi. Cauvinis dan bias akan menjadi mainan idealisme. Hak akan menjadi perjuangan yang mesti dipertahankan atas nama kaum, bukan lagi pencarian makna ke atas hubungan persaudaraan serta persefahaman dalam masyarakat yang saling memerlukan. Dalam menambahbaikkan sistem pendidikan negara ini, semua pihak mesti memainkan peranan mengikut keupayaan masing-masing. MBM sudah mengambil langkah awal untuk mendapatkan input berkaitan harapan serta perspektif rakyat, khasnya orang muda terhadap sistem pendidikan pada masa hadapan.

Satu hasil kajian yang dijalankan dengan kerjasama Introspektif Asia sudah dimajukan kepada pihak Menteri Pelajaran untuk dinilai dan dijadikan rujukan dalam setiap perancangan masa hadapan.

Jangan diperjudikan nasib bangsa Malaysia dengan menggadaikan keperluan sebenar pendidikan negara. Jika pihak berkepentingan masih gagal menemui kesepakatan dalam mencorak satu aliran pendidikan, mungkin tiba masanya kita bersikap lebih radikal dengan mengetepikan sejenak pertelingkahan itu.
Sebaliknya, lakukan saja referendum dalam kalangan 28 juta rakyat Malaysia untuk mengetahui apakah hasrat sebenar mereka mengenai aliran pendidikan di negara ini.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »