MAJLIS BELIA MALAYSIA

Undi18 Hak Orang Muda: SPR Perlu Mencari Mekanisma Yang Baik Untuk Selesaikan Isu Pengundi Muda

Bagi menjamin perlembagaan serta proses demokrasi dalam sistem pentadbiran negara berjalan secara progresif, hak untuk mengundi dalam pilihan raya perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan dan badan yang mengendalikan pilihan raya dalam sebuah demokrasi berperwakilan .

Di Malaysia, 21 tahun merupakan kelayakan yang ditetapkan kepada seseorang warganegara untuk mengundi dan umur itu dilihat sangat sesuai dan relevan bagi pengundi yang mahu melunaskan tanggungjawab mereka tersebut, akan tetapi kini, ada pihak yang mencadangkan agar umur itu dikurangkan daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Wajarkah cadangan umur itu dikurangkan bagi memberi peluang kepada golongan belia untuk turut serta dalam memilih siapa yang akan mentadbir kerajaan demi menjamin masa depan mereka yang cerah pada suatu hari nanti?

Menurunkan umur layak mengundi bermakna mewujudkan lebih banyak kebebasan, tetapi mungkin menyebabkan jumlah keluar mengundi lebih rendah. Ada yang berpendapat, adalah penting untuk mendedahkan golongan muda untuk terlibat lebih awal dalam politik.

Ada jua pendapat mengatakan umur 18 tahun terlalu awal untuk mendedahkan mereka kepada politik kepada pada usia itu, mereka seharusnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi penglibatan lebih ramai orang termasuk golongan muda akan melahirkan sudut pandangan yang lebih segar mengenai senario politik dalam negara.

Keburukannya ialah ia akan memberi ‘harapan palsu’ kepada golongan muda, undi dan mereka mungkin mendapat maklumat salah mengenai situasi sosial, politik dan ekonomi negara.

Mereka akan mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan jika mereka salah membuat keputusan, ia boleh memberi kesan buruk kepada negara. Bagaimanapun di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Jepun, umur layak mengundi ialah 18 tahun begitu juga di India, Perancis, Itali dan Argentina.

APA LAGI BELIA MAHU?

Menurut Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 21), rakyat Malaysia telah dianggap sebagai dewasa pada usia 18 tahun di sisi undang-undang. Ini bermaksud, orang muda berusia 18 tahun telah boleh menandatangani kontrak dan dihakimi sebagai orang dewasa di mahkamah. Jika orang muda berusia 18 tahun sudah boleh memikul risiko dan tanggungjawab sebegini, adakah patut kita menolak hak mereka untuk mengundi atas alasan, “18 tahun kecil lagi”? Pada usia 18 tahun, orang muda boleh membuat perkara-perkara “dewasa” seperti berikut: Berkahwin. Usia minimum perkahwinan bagi lelaki beragama Islam adalah 18 tahun (Enakmen Keluarga Islam dan Akta 164). Memandu. Minimum umur 17 tahun bagi seseorang memperolehi lesen memandu kelas D (kereta). Mempertahankan masyarakat dan negara. Had umur minimum 18 tahun bagi warganegara menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Orang muda menerima kesan daripada dasar-dasar dan undang-undang negara, tetapi tidak boleh mempengaruhi kedua-duanya secara kukuh, contohnya melalui proses mengundi. Bayangkan kalau kita tak setuju dengan dasar dan pelaksanaan pendidikan tinggi (PTPTN, contohnya), dan kita tidak diberi hak untuk menjadi sebahagian daripada suara yang mempengaruhi keputusan. Bayangkan kalau kita tidak setuju dengan pelbagai isu lain, contohnya sosio ekonomi, perbelanjaan wang negara dan sebagainya, mana hak orang muda berusia 18 – 20 tahun untuk bersuara?

Suara orang muda harus cukup besar untuk mempengaruhi keputusan kerajaan. Kerajaan, ahli parlimen, parti politik dan pelbagai aras kepimpinan yang lain harus hormat dan mementingkan suara orang muda, dan hal ini hanya akan terjadi jika suara pengundi muda lebih kuat.

Dengan memberi hak mengundi seawal usia 18 tahun, orang muda akan terdedah dengan proses demokrasi dari awal. Oleh kerana mereka akan membuat keputusan politik, orang muda akan ambil kisah dan lebih melibatkan diri dengan lebih rancak di dalam hal berkaitan masyarakat dan pemerintahan negara.

Penurunan usia minima pengundi boleh meningkatkan kualiti kehidupan orang muda. Penglibatan kita dalam proses tadbir urus negara akan meningkatkan pemahaman kita terhadap isu di sekeliling kita, contohnya isu pinjaman pendidikan, isu kos sara hidup, sosioekonomi belia dan sebagainya. Lebih baik pemahaman kita terhadap isu-isu semasa, lebih baik pilihan yang dibuat demi masa hadapan negara.


Malaysia agak ketinggalan dari segi usia mula mengundi. Dalam kalangan negara-negara ASEAN, hanya Malaysia dan Singapura yang masih menetapkan had umur mengundi kepada 21 tahun ke atas. Di Eropah, majoriti sudahpun menurunkan umur minima pengundi kepada 18 tahun sejak dari era 60-an Di Asia, kebanyakan negara yang mempunyai demokrasi yang aktif dan progresif seperti Bangladesh, Hong Kong, India, Iran, Iraq, Jepun, Korea dan Pakistan mula mengundi seawal usia 18 hingga 19 tahun.

Selain daripada Malaysia dan Singapura, negara lain yang mempunyai had umur pengundi 21 tahun seperti Malaysia adalah negara seperti Cameroon, Kuwait, Oman, Samoa, Tokelau dan Tonga.

Malaysia haruslah mencontohi demokrasi negara maju dan negara membangun. Perkembangan ini menunjukkan bahawa umur merupakan penanda aras yang tidak tepat untuk menentukan kefahaman dan pengetahuan politik.

Hak mengundi bukan diberi kerana kematangan atau pengetahuan. Hak mengundi wajib diberi kepada orang yang berfungsi sebagai ahli masyarakat dan sebagai rakyat negara sepenuhnya.

Hak mengundi wajib diberikan mulai usia 18 tahun kerana mereka menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat, memikul tanggungjawab kerakyatan, sudah boleh tertakluk di bawah kontrak, dibolehkan membayar cukai dan diberikan hak untuk berkahwin, bekerja, dan mempunyai tanggungjawab penuh kepada diri sendiri.

Tahap kematangan dan pengetahuan seseorang adalah didapati melalui pendapat peribadi. Undi adalah pilihan peribadi. Tiada undi yang salah, tetapi hak itu harus diberi kepada orang yang berhak – sekurang-kurangnya bila seseorang telah mencapai usia dewasa 18 tahun. Saya saran kerajaan agar kerajaan mempercepatkan proses Undi 18 tanpa sebarang alasan yang munasabah. Isu kematangan adalah subjektif kerana tidak ada kayu pengukur jelas yang mana ia dikatakan matang dan tidak matang. Kematangan dan faktor usia bukan mekanisma  untuk menentukan kelayakan mengundi berdasarkan kematangan seseorang adalah sukar dilaksanakan kerana mereka yang berusia pun belum tentu matang dalam membuat keputusan. Hakikat yang perlu kita lihat, kita tidak menidakkan peranan golongan muda, tapi sebagai mana saya konsisten sebut, perlu ada proses pendidikan dan tarbiah supaya anak muda mempunyai pengetahuan yang lengkap dan tidak hanya bersandarkan kenyataan populis serta propaganda.

Oleh: Sdr. Sivanesan Tamil Selvam

Felo Penyelidik

Majlis Belia Malaysia

Tarikh: 6 April 2021

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »