MAJLIS BELIA MALAYSIA

Undi 18 matangkan fikiran golongan muda – MBM

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) yakin pelaksanaan kelayakan mengundi bagi individu berusia 18 tahun (Undi 18) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), akan menjurus kepada kematangan fikiran golongan muda.

Presiden MBM, Jufitri Joha, berkata pelaksanaan Undi 18 juga akan memastikan anak muda atau belia lebih cakna dengan perkembangan semasa, apatah lagi kebanyakan mereka sudah mula berfikir dan bersuara mengenai hal negara.

Selain itu, katanya, MBM yakin pelaksanaan Undi 18 juga berpotensi memastikan lebih ramai muka baharu dalam dunia aktivis politik yang bersifat lebih kritis dan vokal.

“Ia juga boleh disifatkan sebagai satu isyarat kepada parti politik negara supaya memberikan penumpuan yang lebih kepada rintihan dan kehendak belia daripada segenap demografi.

“Parti politik perlu menjadi juara dalam menyuarakan hasrat golongan belia. Baik dalam isu pekerjaan, pendidikan, kesihatan mental dan sebagainya, semua parti politik perlu merangka strategi dalam menjadi juara dimata anak muda.

“MBM berharap hak anak muda dalam membentuk sistem demokrasi negara dapat dibela dengan sewajarnya, dan sifat merendah-rendahkan pandangan anak muda oleh ‘orang lama’ dalam parti politik perlu dihentikan kerana mereka juga warganegara yang mempunyai kuasa dalam mengangkat atau menjatuhkan anda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan kerajaan akan mengusahakan pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat.

Ia adalah ketetapan baharu kerajaan susulan kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada 25 Mac lalu, yang memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 yang sepatutnya dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini, dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, MBM sudah menggerakkan beberapa program sejajar dengan hasrat Undi 18, antaranya Program Sekolah Politik 2.0 yang bertujuan membincangkan agenda politik anak muda dan menangkapi sosialisasi politik dalam Indeks Belia Malaysia.

Katanya, Program itu juga sebahagian daripada usaha MBM menggerakkan kempen #NotTooYoungToRun bagi memastikan lebih ramai golongan muda diangkat menjadi calon pilihan raya, sekali gus menjamin kedudukan mereka dalam Parlimen.

“Harapan MBM adalah Undi 18 bukanlah semata-mata tertumpu kepada had umur mengundi, malah keseluruhan kandungan yang diperjuangkan dalam gerakan ini perlu di ambil perhatian seperti pembabitan golongan muda dalam proses pembuatan dasar negara serta jurang antara ahli politik dan golongan belia dirapatkan,” katanya.

Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/812607/bhplus?fbclid=IwAR18S8AncqZkZlzVWXTMEK8RXTRaAQBOBKKChtW3WP5oxDxWNYgc-8O1TP0

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »