Disebalik kebebasan bersuara, ada terselit tanggungjawab yang besar. Benar, kebebasan bersuara adalah satu hak mutlak setiap insan. Hak kebebasan bersuara diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR). ICCPR mengiktiraf hak kebebasan bersuara sebagai “hak mendapatkan pendapat tanpa gangguan. Kesemua manusia akan mempunyai hak untuk menyatakan pendapat”.
Majlis Belia Malaysia (MBM) mengikut rapat pekembangan mengenai gerakan pelajar University of Malaya Association of New Youth (UMANY) berkaitan kenyataan mereka mempersoal kuasa dan keabsahan titah Yang Di-pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan politik negara. Tidak dapat dinafikan, hujah yang dibentangkan oleh pihak UMANY sangat padat dan melambangkan tahap kecerdikan minda ahli-ahlinya ‘bukan biasa-biasa’. MBM yakin, ahli-ahli UMANY terdiri dari golongan yang dikatakan ‘first class mentality’.
Dalam konteks UMANY, MBM melihat UMANY menggunakan sepenuhnya hak mereka dalam kebebasan bersuara. Sebagai contoh, kenyataan mereka dalam mempersoal urusan (YDPA) dalam pentadbiran negara, Mengkritik pihak Universiti Malaya sekiranya mengambil tindakan keatas mereka yang mana dilihat sebagai salah satu bentuk yang menghakis hak kebebasan bersuara. Diselitkan juga beberapa propaganda, seperti hak pelajar dalam pendidikan, korupsi didalam tadbir urus universiti, malah salah seorang pemimpin UMANY pernah melakukan protes yang dikatakan provokasi yang mencemarkan Majlis Konvokesyen Universiti Malaya tahun lalu.
Benar, kebebasan bersuara adalah hak kita. Tetapi adakah kita sedar keupayaannya dalam mempengaruhi seseorang pembaca? Rentetan daripada laporan-laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak khususnya Badan Bukan Kerajaan (NGO), ianya memperlihatkan kenyataan yang dibuat UMANY telah berjaya mencetuskan provokasi dan dianggap biadap oleh sesetengah pihak. Malah, ada pihak yang mendesak agar UMANY diharamkan status penubuhannya.
Ciri-ciri penduduk Malaysia yang pelbagai kaum telah menyebabkan sukarnya kebebasan bersuara diamalkan kerana adanya kecenderungan berlaku perselisihan antara kaum itu sekiranya hak kebebasan telah disalahgunakan dengan mengugut atau menghina kaum-kaum yang lain secara terbuka.
Secara luarannya, Malaysia masih mengamalkan struktur perlembagaan demokrasi dan pemerintahan yang bercorak demokrasi berparlimen. Namun beberapa proses terpenting demokrasi seperti pemerintahan berasaskan undang-undang, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, dan keadilan sosial telah dibatasi oleh pihak pemerintah demi menjaga kestabilan politik Malaysia. Namun begitu, hak-hak yang disebut haruslah ada kawalan kerana di Malaysia terdapatnya masyarakat majmuk yang sensitif pada beberapa perkara.
Kalau dibiarkan isu-isu agama, hak istimewa orang Melayu institusi diraja dan sebagainya dibicarakan dalam perhimpunan ramai secara terbuka seperti dalam kempen pilihan raya, maka hak ini mungkin akan mengancam keselamatan negara. Dalam hal ini memperlihatkan had atau batasan kebebasan bersuara perlu dikawal bagi mengelakkan masalah yang lebih teruk sehingga boleh merosakkan kestabilan negara dan menjurus kepada masalah pergaduhan antara kaum. Jadi perlu ada kawalan pada pihak kerajaan dalam mengehadkan kebebasan bersuara demi kepentingan umum supaya tidak disalahgunakan.
Tan Sri Lee Lam Thye pernah menyebut, “harmoni boleh dicapai bila rakyat fahami dan laksanakan tanggungjawab masing – masing, serta menjauhkan diri daripada menyentuh isu isu sensitif.”
MBM yakin ada ruang perbincangan yang boleh dibuka oleh pihak UMANY bagi kita sama-sama mengenalpasti masalah dan mencari titik persamaan. Semua orang mempunyai cara hidup masing-masing. Hasil dari kepercayaan masing-masing. Dan, perbezaan ini harus kita raikan dan hidup bersama dengan aman. Kita boleh untuk tidak setuju dengan seseorang tetapi kita harus sedar bahawa orang lain juga mempunyai hak untuk hidup dalam kepercayaan mereka sendiri. Tidak mengapa jika kita berbeza pendapat dan kepercayaan, asalkan jangan kita menghasut orang lain dengan menanam sifat kebencian. Kerana kebencian boleh mencetuskan kemelut yang lebih besar seperti penindasan, pergaduhan dan peperangan.
Sehubungan itu, Majlis Belia Malaysia membuka pintu dan ruang kepada pihak UMANY untuk berdialog di bawah Jawatankuasa Pendidikan MBM demi mendapatkan solusi bersama.
Nota: Pandangan ini adalah pandangan peribadi penulis
Muhammad Jurais Bin Abdullah
Koodinator Sekretariat Mahasiswa
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 11 November 2020