MAJLIS BELIA MALAYSIA

UCAPAN TAHUN 2011

KENYATAAN AKHBAR

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM SERU RAKYAT BERI SOKONGAN PADU KEPADA KERAJAAN LAKSANAKAN TRANSFORMASI NEGARA SEMPENA

SAMBUTAN TAHUN BARU 2011 

 

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2011 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan belia.

Sebagai badan induk pergerakan belia negara ini, MBM berhasrat meneruskan tradisinya menjadi juru bicara rakyat yang signifikan memperjuangkan mengenai isu-isu belia dan masyarakat.

Fokus MBM akan seiring dengan hasrat kerajaan khususnya gagasan 1 Malaysia berlandaskan kepada teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Tranformasi Kerajaan (GTP).

Sebagai mewakili suara anak muda yang mempunyai rangkaian cawangan yang besar, MBM secara konsisten akan terus menjadi agen menyampaikan hasrat dan suara rakyat.

 

MBM meletakkan kedudukannya sebagai ”makmal” yang bersifat progresif dan dinamik demi memastikan kerajaan memahami dan menerima maklum balas yang menyeluruh daripada segenap lapisan rakyat. Dalam masa sama, rakyat pula diberi penjelasan tentang polisi serta tujuan sesuatu dasar itu dilaksanakan.

 

Sehubungan itu, MBM berharap akan terus diberikan kepercayaan dan diterima oleh kepimpinan negara serta masyarakat untuk menjadi rakan kongsi pembangunan negara yang berwibawa.

Bagi Tahun 2011, MBM akan menumpukan segala usaha dalam mempertingkatkan keupayaan dari segi penyertaan serta perhubungan dengan semua pihak seterusnya menyerlahkan peranan dan suara belia di negara ini. Proses ini akan berlaku di semua peringkat cawangan, daerah, kawasan, negeri dan kebangsaan.

Justeru, tahun ini juga merupakan tahun penting MBM bagi melaksanakan lebih banyak program-program berbentuk pemupukan kepimpinan, latihan, intervensi dan kesukarelaan. Ia adalah usaha berterusan MBM untuk memastikan negara tidak ketandusan golongan pelapis kepimpinan muda bagi persediaan masa hadapan.

Kemuncak kepada tujuan tersebut, MBM akan menggerakkan seluruh penggiat belia termasuk badan-badan gabungan MBM bagi menjayakan sambutan Hari Belia Negara 2011 yang mensasarkan lebih 1 juta belia pada bulan Mei 2011 di Putrajaya.

Di samping itu, MBM mensasarkan untuk membina lebih banyak jaringan kerjasama melibatkan agensi-agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain demi memastikan usaha pembangunan dan perubahan masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan bersepadu.

MBM juga akan mengambil tanggungjawab dalam menjaga imej negara supaya terus cemerlang dan dihormati pada peringkat antarabangsa. Untuk itu, MBM akan menggunakan jaringan antarabangsanya seperti Pertubuhan Belia Sedunia (WAY), Majlis Kerjasama Belia ASEAN (CAYC), Majlis Belia Asia (AYC) dan pertubuhan-pertubuhan belia dari negara-negara Komanwel untuk bersama-sama menangani isu-isu yang bersifat sejagat.

Akhirnya, MBM dan seluruh badan gabungan menyeru sekalian rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap usaha-usaha pembangunan dan transformasi masyarakat yang dilaksanakan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di bawah gagasan 1 Malaysia.

MBM berharap semua pihak dapat hidup dalam suasana harmoni dan saling hormat-menghormati serta tidak lagi cuba melahirkan isu-isu yang boleh mengganggu gugat keharmonian kaum yang dinikmati selama ini. MBM sebagai badan induk pergerakan belia negara ini mengulangi pendiriannya tidak akan teragak-agak untuk menghalang sebarang tindakan yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu sehingga mengganggu sensitiviti antara kaum.

Sekian. Terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden, Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »