MAJLIS BELIA MALAYSIA

She Lead: Membina Keyakinan, Mengangkat Potensi Beliawanis

PUTRAJAYA 15 Nov – Membentuk wanita muda yang berkeyakinan, berdaya tahan dan berani meneroka potensi diri menjadi fokus utama penganjuran Rakan Ekspresi: Perkhemahan She Lead anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara serta Rakan Muda bertempat di Glow Glamping @ Wetlands Putrajaya.

Program yang menghimpunkan seramai 35 orang beliawanis, dengan peserta termuda berusia 19 tahun, ini menjadi platform pembangunan diri yang menggabungkan aktiviti luar, kesedaran kesihatan wanita, pemerkasaan kendiri serta pembinaan hala tuju kehidupan dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan santai.

Berbeza daripada pendekatan latihan kepimpinan konvensional, She Lead memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi cabaran Explore-Race dan pelbagai aktiviti di Adventure Park termasuk flying fox, abseiling, wall climbing serta leap of faith.

Rangkaian aktiviti ini memberi peluang kepada peserta keluar daripada zon selesa, menguji keberanian, meningkatkan keyakinan diri, mengurus cabaran serta memperkukuh semangat kerjasama dan kerja berpasukan.

Program turut diserikan dengan kehadiran Presiden MBM yang menyampaikan amanat dan suntikan semangat kepada para peserta agar terus membina keyakinan, mengenali potensi diri serta berani merebut peluang untuk tampil sebagai pemimpin masa hadapan.

Selain pembangunan fizikal dan kepimpinan, aspek kesejahteraan wanita turut diberi perhatian melalui sesi Let’s Talk: Women’s Health yang membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental wanita muda.

Pendekatan ini membawa mesej bahawa kepimpinan yang berkesan bukan sekadar keupayaan memimpin orang lain, sebaliknya turut bermula dengan kesedaran memahami, menghargai dan menjaga kesejahteraan diri.

Suasana perkhemahan turut dimanfaatkan menerusi aktiviti Bond Fire – Circle Time yang menjadi ruang perkongsian pengalaman, membina hubungan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta.

Sementara itu, sesi Self-Healing dan bengkel Vision Board menerusi pengisian Self Actualization membantu peserta meneroka kekuatan diri, mengenal pasti potensi, menetapkan matlamat serta merancang aspirasi peribadi dan kerjaya dengan lebih jelas.

Elemen kelestarian alam sekitar turut disepadukan menerusi pendekatan Rakan Bumi bagi meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan pemuliharaan hutan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Gabungan pengisian ini menjadikan She Lead bukan sekadar platform pembangunan kepimpinan, malah turut membentuk wanita muda yang seimbang dari aspek keyakinan diri, kesejahteraan, hubungan sosial dan keprihatinan terhadap masyarakat serta alam sekitar.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Naib Presiden MBM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak, Sdri. Jessy Ng.

Secara keseluruhannya, She Lead membuktikan bahawa pembinaan kepimpinan tidak hanya berlaku melalui teori dan latihan formal, tetapi turut terbentuk melalui pengalaman, cabaran, refleksi diri serta interaksi bersama orang lain.

MBM berharap pengalaman dan nilai yang diperoleh sepanjang program ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai wanita muda yang berani mengambil peluang, yakin membuat keputusan, cakna terhadap kesejahteraan diri dan bersedia memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat serta negara.

Wanita muda bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi pemimpin perubahan yang sedang dibentuk hari ini.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »