MAJLIS BELIA MALAYSIA

UCAPAN DASAR SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MESYUARAT PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN
KALI KE-63
MAJLIS BELIA MALAYSIA
♦ ♦ ♦ ♦ ♦ ♦
UCAPAN DASAR
SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
Tarikh
16 Januari 2015 (Jumaat)
Masa
9.00 malam
Tempat
Dewan Mahkota II
Hotel Istana, Kuala Lumpur

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat Rasullullah pemimpin agung pembawa kebenaran dan contoh ikutan.

Salam sejahtera buat para pendukung dan pembangun bangsa Malaysia. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat serta maghfirah buat sekalian leluhur pejuang belia Malaysia yang telah awal dijemput Ilahi. Dipanjatkan doa agar Allah mengurniai kesihatan dan kesejahteraan yang berterusan kepada sekalian ahli dan pimpinan belia Malaysia dengan semangat kewarganegaraan yang kental serta persaudaraan yang sentiasa segar.

Salam Perpaduan ditujukan khas kepada keluarga besar Majlis Belia Malaysia. Hari ini sekali lagi kita berkumpul di bawah organisasi hebat yang berusia 67 tahun yang memiliki segala panca warna dan nyalarasa.
pipih dilayang sauh di dasar

sireh dimayang pauh dicicah

gigih berjuang berjiwa besar

berkasih sayang jangan berpecah

gigih berjuang berjiwa besar

berkasih sayang jangan berpecah

biar dihalang tidak tersasar

letih bergelanggang redha mencecah

Para perwakilan dan pemerhati yang dihormati.

Saya memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah subhanahuwataala kerana dengan limpah perkenan dan izinNya kita berkesempatan untuk menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia yang ke 63 ini. Sesungguhnya ini merupakan saat yang paling bermakna kerana MPAT merupakan satu arena penting yang menggambarkan kebersamaan dan kesepaduan keseluruhan ahli pertubuhan belia serta badan gabungan di bawah MBM. Sebagai sebuah badan induk pertubuhan belia yang kedudukannya terjamin di bawah Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 atau Akta 668, MBM merupakan organisasi yang sangat signifikan dalam membicarakan persoalan belia dan pembangunan belia di negara ini.

IDEALISME PERJUANGAN
MBM bukan dilahirkan hanya atas keinginan memenuhi hobi masa lapang, juga bukan dibentuk atas perasaan ingin menghimpun kekayaan serta pangkat dan darjat. MBM sebenarnya dibina atas rasa ingin melihat masyarakat dan negara ini hidup dalam suasana harmoni, rukun damai dan sayang menyayangi.
Kita seharusnya bersyukur kerana MBM dipelopori sejak awal lagi oleh golongan muda yang bukan sahaja bersemangat waja namun amat berpandangan jauh. Sejak awal penubuhan MBM pada tahun 1948, MBM telah membuktikan bahawa ia adalah sebuah rumah yang menemukan semua golongan muda tidak kira dalam kalangan anak-anak raja, aristokrat, birokrat, korporat atau proletariat. Nama-nama seperti Tengku Ahmad Shah, YM Tuanku Abdullah, Aminuddin Baki, Abdul Razak Husin, Sardon Zubir, Fred Arulanandom dan ramai lagi merupakan watak pembangun utama MBM yang pada masa itu bersinergi atas semangat cintakan watan tanpa mengira latar belakang, pangkat atau darjat.
Rasa cinta dan sanggup berkorban untuk watan mesti dibuktikan dengan kesanggupan berkorban tenaga, masa serta kehidupan untuk memastikan masa depan masyarakatnya terjaga. Kita meneladani sikap mengambil tanggungjawab para pimpinan MBM yang lalu yang berkhidmat bukan untuk dikenang namun masih mampu dilihat kesan kebaikannya. Sikap sebegini akan memastikan MBM sentiasa terkehadapan dalam segala hal dan persoalan. Mengambil kisah kepimpinan Almarhum Tun Abdul Razak Hussin, Perdana Menteri Malaysia yang kedua dalam konteks advokasi belia; beliau sanggup bekerja di belakang tabir sehingga mampu mendapatkan pengiktirafan Perhimpunan Belia Sedunia – World Assembly of Youth (WAY) di Brussel yang mana ia membawa kepada penubuhan MBM pada 1948. Almarhum Tun Abdul Razak Hussin seorang yang terpelajar dan datang daripada keluarga aristokrat pada masa itu boleh memilih dua jalan hidup berbeza iaitu samada terlibat dalam MBM pada peringkat awal dan terus mengambil jawatan Pengerusi kerana kemampuannya untuk mengawal golongan kerabat dan proletariat, atau juga terus tidak perlu melibatkan diri dalam kerja-kerja awal penubuhan organisasi yang pastinya banyak menuntut pengorbanan masa, tenaga dan juga wang. Namun Almarhum Tun Abdul Razak memilih jalan yang ketiga iaitu bersungguh-sungguh membina MBM tetapi menyerahkan jawatan Pengerusi kepada seorang professional berlainan kaum iaitu Mendiang Hakim Fred Arulanandom (Azam Ismail Bakri, Suziyana Natasha Abdullah (2013) halaman 420).

KEPIMPINAN BERORGANISASI
Peristiwa ini menunjukkan betapa pimpinan yang terdahulu membuktikan bahawa dalam usaha membangunkan masyarakat secara berorganisasi perlu digerakkan secara bersama, berstrategi dan berpandangan jauh tanpa memikirkan kepentingan peribadi.
Sebagai mantan Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang 2008-2012, saya sentiasa mengingati kata-kata Encik Khoo Yeoh Gan Hong, Pengerusi Settlement Youth Council bagi penggal 1956-1957, dalam ucapan sulung beliau selepas dipilih selaku Pengerusi pada 5 Mei 1957;-
“Within a few months we shall welcome a new era in the history of this country. We must be prepared to face and accept greater challenges and responsibilities. To this end let us pray for a strong back rather than for a light burden. As youth leaders and workers of all races, classes and creeds, may we be given the strength to spread the spirit of the brotherhood, goodwill and tolerance and may our personal examples be worthy of emulation” (Misni Surif, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee & Ishak Saat (2008) 60 Tahun Perjalanan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, 1948-2008.)

MENITI ERA TRANSISI
Menyedari hakikat MBM adalah sebuah warisan yang mesti dipertahankan, maka kesedaran itulah yang menjadi motivasi dalam memimpin dan mentadbir MBM semampu yang mungkin. Sebahagian besar rakan pimpinan MBM pasti mengetahui liku-liku serta suka duka kepimpinan MBM pasca-era Akta 668. Barisan pimpinan yang dianggap muda dan mentah pada usia bawah 40 tahun yang punyai limitasi sumber daya dan sumber material. Jumlah hutang melebihi RM2.8 juta adalah hakikat pahit yang kami harus kunyah dan telan. Tempoh enam bulan pertama kami merelakan diri untuk bersahabat dengan para pemiutang dan penghutang yang rata-ratanya amat sinis dan pesimis terhadap MBM.

Sebagai manusia biasa, kadang-kadang timbul rasa jengkel dan resah yang bersilih ganti. Pernah suatu masa, di awal pagi saya dan Saudara Mohd. Zaidi Aziz, Setiausaha Agung MBM sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah program di Hulu Selangor, dalam keletihan dan rasa mengantuk kami mendapat panggilan telefon dari pihak pemiutang lampau yang menuntut bayaran segera atau MBM akan berdepan tindakan undang-undang. Ia membuatkan kami terpana seketika dan seolah-olah tidak menyedari bahawa kami sedang memandu di tengah-tengah lebuhraya.

Namun hidup perlu diteruskan! Memimpin MBM adalah satu pilihan, bukan nasib atau kebetulan. Maka kami cuba hadapi setiap cabaran dan rintangan. Mengetuk pintu pejabat Pak Menteri dengan masa menunggu berjam-jam adalah rutin permulaan usia kepimpinan kami. Usahkan mengharap ihsan syarikat korporat untuk memberi tajaan, bahkan hendak membuat tempahan hotel di sekitar bandaraya Kuala Lumpur ini pun mengundang rasa sangsi dan tidak percaya.

Firman Allah Taala dalam Surah Al Insyirah ayat 5-6 :
“ Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”

CABARAN TRANSFORMASI
Menghadapi realiti ini, kejayaan mantan Perdana Menteri Republik Singapura Lee Kuan Yew yang berjaya mengubah negara kecil itu daripada sebuah negara dunia ketiga kepada negara maju sebagai inspirasi. Beliau mengakui pada awal pentadbiran setelah berpisah dengan Malaysia pada 1963, beliau berasa agak tersisih dan bersendiri. Sebagai sebuah negara kecil dengan ekonomi kelas dunia ketiga iaitu Pendapatan Dalam Negara Kasar USD 400 pada 1959 telah meningkat kepada USD12,200 pada tahun 1990 dan sewaktu beliau melepaskan jawatan ia terus meningkat kepada USD22,000 pada tahun 1999. Lee Kuan Yew memimpin negaranya dalam situasi “Going It Alone” tetapi berjaya memenangi hati rakyatnya untuk terus kuat dan tabah berusaha melalui usaha menyediakan keperluan-keperluan asasi rakyatnya (From Third World To First. The Singapore Story 1965-2000. Memoirs of Lee Kuan Yew. 2008).

MENGENAL HAKIKAT DIRI
Suatu hakikat yang harus diakui ialah kekuatan yang terbentuk dalam MBM melalui kebergantungan dan jaringan yang kukuh di antara badan-badan gabungan MBM. Saya sentiasa menyedari dan menginsafi bahawa para pemimpin dan barisan ahli jawatankuasa kerja seluruh badan gabungan MBM merupakan pemegang taruh atau stakeholder yang mesti dihormati dan diutamakan. Dalam kebimbangan dan keresahan sebaik sahaja memikul tanggungjawab sebagai Presiden, saya telah mendapat panggilan telefon dari Profesor Zainal Arifin Mohd Ishak, yang merupakan mantan Penggawa Desasiswa Fajar Damai, Universiti Sains Malaysia (USM) di mana saya pernah dilatih dan dibimbing sewaktu dalam zaman pengajian di Universiti. Suatu pesanan ikhlas beliau “jadilah seperti diri sendiri dan sentiasalah berkhidmat mengikut landasan yang betul”. Beliau menyarankan agar saya mengambil contoh kepimpinan dan sahsiah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang terbukti memiliki empat sifat yang terpuji iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah.

AMANAH KEPIMPINAN
Dengan moto “Belia Bertindak untuk Kebenaran dan Keadilan” pimpinan MBM menggarap semangat idelisme ini seutuhnya dalam meraikan segala perbezaan. Ternyata jatuh bangun dan kecemerlangan MBM bukan cuma bersandarkan kepada kehebatan individu atau satu kumpulan semata-mata. Keunggulan ini adalah berdasarkan kepada kekuatan kolektif dan kepimpinan menyeluruh (collective leadership).
MBM adalah wadah untuk kita berkongsi kekuatan dan iltizam. Peribahasa “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” dan “bulat air kerana pembentung, bulat rakyat kerana muafakat” adalah sangat tepat untuk menggambarkan kekuatan MBM yang diasaskan oleh solidariti serta kebersamaan dalam organisasi ini.

Ia bersesuaian dengan pendapat penulis Paul Arden, 2003 dalam buku beliau yang bertajuk “It‟s not how GOOD you are, it‟s how GOOD you want to be”. Menurut beliau, visi tentang ke mana atau siapa yang anda ingin capai merupakan aset paling hebat yang anda miliki. Tanpa memiliki matlamat pasti sukar mencapai kejayaan. Tambah beliau lagi, untuk mencapai kejayaan, ia perlu digerakkan oleh tenaga iaitu melebihi 75% daripada keseluruhan usaha tersebut. Seterusnya untuk berjaya anda tidak harus mencari pujian semata-mata, sebaliknya harus mampu mencari dan menerima kritikan”

PERUBAHAN GENERASI
Umum memaklumi bahawa golongan muda yang kita sedang depani pada waktu ini adalah jauh berbeza dengan kelompok pada masa lalu. Justeru jika kita menganggap hari-hari esok sentiasa sama dan tidak berusaha untuk menghadapi perubahan maka sebenarnya kita perlu sedar bahawa perubahan itulah yang akan mengubahnya! Bercakap tentang masa depan dan realiti sebuah perubahan, Majalah Forbes 2014 ada menyatakan bahawa “Change will happen much, much faster” Perubahan akan berlaku dengan banyak, ia berlaku sangat pantas!

Ambil sahaja aspek teknologi sebagai perbandingan dalam tempoh sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Pastinya kita akan mendapati perbezaan yang sangat ketara kerana kajian menunjukkan Teknologi masa kini adalah SERIBU kali lebih berkuasa berbanding pada tahun 2004 dan SEJUTA kali berkuasa berbanding tahun 1994. Bahkan sekiranya anda fikir masa lalu adalah sangat sukar, sebenarnya masa depan adalah jauh lebih sukar (Majalah Forbes, 2014). Kerana itulah MBM mesti mempersiapkan diri untuk menghadapi perubahan masa depan dengan tanpa rasa ragu dan was-was.

DASAR BELIA MALAYSIA
Pemurnian semula Dasar Pembangunan Belia Negara 1997 sebagaimana yang dibentangkan di dalam MPBN dan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri adalah sangat komprehensif. Bermatlamatkan memperkukuh dan menyerlahkan potensi modal insan belia, ia disesuaikan dengan metod semasa, melalui penumpuan kepada lapan kelompok sasar dengan sembilan bidang keutamaan belia dan tiga teras utama. Tumpuan paling utama adalah strategi pelaksanaan merentas generasi dan pelaksana.

Aspek utama perubahannya ialah pentakrifan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun menjelang tahun 2018. Perubahan ini mengundang pelbagai polemik antara memenuhi kehendak piawaian tertentu dan realiti semasa. Pada asasnya MBM bersetuju agar penumpuan lebih fokus kepada pengisian dan program pembangunan belia dalam kelompok sasar tersebut.

Adalah lebih murni dan lebih utama kepimpinan belia di dalam organisasi dan pergerakan belia terus dilatih secara berterusan agar menjadi pelapis yang punya kompetensi memikul amanah kepimpinan yang lebih tinggi. Kepimpinan perlu terus dilatih, dilibatkan dan diupaya semampunya justeru aspek kepimpinan dan pengurusan dalam organisasi kebeliaan perlu dititikberatkan. Maka kerajaan dalam tempoh kurang tiga tahun ini membantu MBM memugar dan membentuk kepimpinan belia pada peringkat akar umbi dengan penuh serius dan mendalam. Dengan usaha ini kemudiannya kita dapat melihat kebolehcapaian pelaksanaannya secara meluas pada masa tersebut.

Saya amat yakin Kementerian Belia dan Sukan Malaysia juga telah bersedia untuk menangani keperluan ini. Sebagai bukti, MBM sendiri telah dilibatkan pada peringkat awal untuk sama-sama menyediakan modul latihan bagi tujuan tersebut.

PERPADUAN DAN PENYATUPADUAN
Kita bersyukur bahawa Malaysia terus mengekalkan keharmonian dalam negara dengan kepelbagaian dan kerencaman budaya, bahasa dan agama. Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai sebuah negara yang aman dan stabil malah menjadi contoh kepada sebahagian daripada negara-negara lain. Namun kita sedari bahawa mempertahankan dan mengekalkan perpaduan bukan perkara mudah justeru agenda penyatupaduan pelbagai kerencaman ini perlu didokong khususnya oleh generasi muda agar Malaysia akan lebih dihormati lagi.

Menurut YBhg. Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Formula B&N iaitu “Formula of Bargaining & Negotiation” atau prinsip dan ikhtiar „runding dan tolak ansur‟ inilah yang mendasari proses PENYATUPADUAN (reconciliation) di Malaysia yang merupakan usaha berterusan sejak dari sebelum merdeka lagi hingga ke saat ini.

Beliau seterusnya mengungkapkan “Dalam tahap ini, banyak perkara yang mesti diselesaikan kerana terdapat pelbagai kontradiksi yang terkandung dalam KESEPADUAN itu. Usaha-usaha inilah yang bergerak sebagai proses PENYATUPADUAN. Proses ini tidak akan berhenti, kerana selagi ada kepelbagaian, selagi itu usaha PENYATUPADUAN mesti diteruskan.”

MBM juga mengakui bahawa perpaduan bukanlah suatu yang boleh dipaksakan melainkan ia terbit daripada rasa saling memahami, bertolak ansur dan menghormati hak dan kedudukan masing-masing. Masyarakat akan lebih akrab sekiranya sikap memahami lebih utama daripada terus mempersoalkan.

Mengisafi peringkat kesepaduan ini adalah prasyarat utama kepada perpaduan, MBM terlibat secara aktif dalam mengerakkan agenda ini bersama pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Daripada program sekecil „unity corner‟ sempena Festival Belia Putrajaya yang lalu sehinggalah kepada program Sembang Santai Belia di kawasan pedalaman kampung orang asli bagi mendapat pandangan yang tuntas dari kelompok belia pelbagai lapisan.

Sementara itu, 2 siri perbincangan meja bulat (round table discussion) iaitu Belia dan Hak Asasi Manusia (April 2014) Realiti Pendidikan dan Cabaran Perpaduan (Jun 2014) bersama wakil-wakil dari Global Moderates Movement Foundation, Institut Kajian Etnik (KITA) UKM , Institut Kemajuan Islam Malasyia (IKIM) , Women‟s   Aid Organisation, Kementerian Pendidikan dan individu-individu yang pakar dalam bidang tertentu bagi menjayakan program tersebut.

Segala input-input ini dikongsikan dalam siri perbincangan bersama pihak atasan yang kebetulan saya juga merupakan Pengerusi kepada Jawatankuasa Belia dan Perpaduan di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrassi Nasional, dalam Jawatankuasa besar Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Samsudin Osman.

BELIA DAN ISU ANTARABANGSA
Dunia pada saat ini berhadapan dengan situasi tidak menentu. Kebencian, keganasan dan penindasan terus berlaku di segenap pelusuk dunia. Dunia dikejutkan dengan kejadian pembunuhan lima kartunis majalah satira Charlie Hebdo minggu lepas kesan daripada tidak sensitif, provokasi dan kebencian. Sesuatu keganasan tidak akan berlaku jika root causenya tidak berlaku. Apa yang dilihat hanyalah simptom namun punca sebenar ialah kerana sudah hilang rasa sensitiviti, hormat menghormati lintas agama dan ras, kasih sayang dan suburnya rasa kebencian yang tidak ditangani secara bijaksana.

MENOLAK EXTREMISM
Begitu juga apabila munculnya kumpulan Islamic State of Iraq and Syria (IS). IS muncul kerana ketidakadilan polisi luar negara Barat yang sering kelihatan menindas negara-negara umat Islam di Asia Barat dan kezaliman pemerintah autokratik setempat. Respon penindasan di Iraq dan Syria ini menyebabkan sebahagian kecil rakyatnya mengambil keputusan untuk memberikan respon melalui keganasan sebagai mesej membalas dendam atas apa telah berlaku selama ini. Lebih malang kumpulan ini bertindak lebih ekstrim dan membunuh orang tidak sehaluan dengan mereka dan orang yang tidak berdosa.

Justeru kemunculan IS adalah respon kepada penindasan dan ideologi kumpulan itu sendiri yang berpegang kepada ideologi ekstremisme. Walaupun IS bersalah dan dikutuk, namun kesalahan IS harus dikongsi oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab memprovokasi kemunculannya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila sekumpulan rakyat Malaysia daripada 39 rakyat Malaysia yang berjuang di Syria terlibat dalam kumpulan IS. Sebahagiannya besarnya adalah belia yang kurang berilmu, tidak memahami keutamaan (aulawiyat) bahkan bertindak melulu dengan mengambil keputusan berjuang di Syria. Keutamaan belia Malaysia ialah membantu negara membangunkan kekuatan ilmu dan teknologi supaya Malaysia menjadi sebuah negara kuasa besar dunia yang membawa keamanan terhadap dunia keseluruhannya.

Walaubagaimanapun MBM mengambil kesempatan ini untuk menggesa Kerajaan Malaysia sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015-2016 menggunakan pengaruhnya bagi melobi dan mengajak masyarakat dunia agar peperangan di Syria dihentikan segera sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin dan perdamaian di Selatan Filipina. Selain itu MBM menyambut baik pembentangan Kertas Putih di Parlimen pada 26 November 2014 yang lalu bagi menangani ancaman kumpulan IS dan menyelamatkan belia Malaysia daripada terus terlibat dalam kumpulan ini. MBM yakin Malaysia mampu memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan keamanan dan kesederhanaan sehingga setiap inci bumi dunia ini serta etnik-etnik yang tertindas seperti di Palestin, Myanmar, Irian Jaya, Xinjiang, Afrika Tengah dan sebagainya.

Bagi MBM, cabaran yang menanti ialah bagaimana memperkasakan pertubuhan belia seluruh negara bagi menyediakan program-program yang menarik dan bermanfaat untuk belia Malaysia daripada terlibat dengan anasir-anasir negatif dan ganas. MBM akan terus mempromosikan elemen wasatiyyah atau kesederhanaan kepada belia Malaysia agar mereka hidup secara sihat dan seimbang serta menyumbang kepada keamanan sejagat.

BELIA DAN KOMUNITI ASEAN
Pengantarabangsaan Belia Malaysia khususnya mendepani Komuniti ASEAN menjadi gerak kerja MBM, apatah lagi ia diangkat sebagai tema Konvensyen Hari Belia Negara 2014 yang lalu. Melalui wadah Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang 3 Penggal ke-29 tahun 2011/2012, kita telah menyuarakan hal ini seterusnya diikuti oleh satu pembentangan khusus berkaitan Komuniti ASEAN oleh Arwah Abu Qassim Nor Azmi, Exco MBM. Kita menyedari bahawa pergerakan belia selain menumpu kepada memperkasa belia di akar umbi melalui program setempat, perlu juga menjangkau persoalan global sebagai satu daripada elemen pemerkasaan dalam pembangunan belia. Ternyata minat dan kecenderungan mereka kepada hal-hal antarabangsa ini merupakan satu elemen tarikan golongan belia mendekati organisasi belia.

Melalui gerak kerja Forum Belia Celik Komuniti ASEAN yang digerakkan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Luar Negara, Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) dan KBS serta agensi kerajaan lain seperti MITI, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kita mendapati usaha penyegaran isu serantau ini mendapat tempat utama dalam kalangan belia dan perlu terus digerakkan. Kesempatan kerusi Pengerusi ASEAN oleh Malaysia perlu diguna sebaik mungkin dan perlu seize the moment bagi matlamat penyegaran rasa cakna golongan belia terutamanya belia akar umbi (grass root) terhadap isu serantau ini.

Menurut kertas pembentangan Young People-Building Tommorow‟s ASEAN Today oleh H.E Alicia R. Bala, Deputy Secretary General of ASEAN for Social Cultural Community sempena 8th ASEAN Ministerial Meeting pada 23 Mei 2013 di Brunei menyatakan “around 60% of population today comprises of those under 35 years old and they are the driving force to shape our future”. Selanjutnya beliau mengungkapkan “.. represents one of ASEAN‟s greatest assets and one of the most important groups in ASEAN that will help ASEAN realise its vision of the Community by 2015”.

Bagi maksud tersebut MBM sentiasa memainkan peranan bagi memastikan golongan belia tidak tercicir daripada arus perdana ini. Penglibatan kita secara aktif di dalam CAYC sebagai organisasi yang telah diiktiraf di dalam The ASEAN Charter amat signifikan bagi memastikan idea dan semangat belia dapat diangkat ke peringkat pembuatan dasar antara negara-negara anggota ASEAN menerusi mesyuarat official peringkat ASEAN Senior Officials Meeting on Youth (SOMY) dan ASEAN Ministerial Meeting on Youth (AMMY). Selain itu CAYC juga berperanan sebagai jaringan yang menghubungkan belia Malaysia atau persatuan-persatuan belia di Malaysia dengan rangkaian hubungan CAYC di ASEAN. Menerusi Pra Persidangan Pemimpin Belia ASEAN  pada Ogos 2014 di Kuala Lumpur yang lalu, keupayaan belia Malaysia mampu diketengahkan dalam mengangkat aspirasi belia negara ASEAN yang menyentuh 5 aspek iaitu Kepimpinan, Keusahawanan, Kemahiran, Kesukarelaan dan Penguasaan Teknologi.

Masyarakat umum percaya bahawa integrasi ASEAN akan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membolehkan golongan belia bergerak dan berhubung dengan lebih bebas dan pantas dalam rantau ASEAN. Namun tidak juga menafikan bahawa masih wujud persepsi negatif yang bimbang akan integrasi ASEAN yang boleh melonjakkan jumlah migrasi tenaga kerja asing lantas menjurus kepada hilangnya peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Dalam kaitan ini MBM ingin mengajak para belia meneliti persefahaman Mutual Recognition Arrangements (MRAs) iaitu persetujuan bersama negara ASEAN dalam pergerakan secara bebas tenaga profesional dan buruh mahir yang diiktiraf dalam 8 bidang pekerjaan iaitu bidang Kejuruteraan, Arkitek, Perubatan, Pergigian, Kejururawatan, Juru Ukur Bahan dan Akauntan. Natijahnya golongan berkemahiran dan berpengetahuan yang mempunyai kemahiran pelbagai bahasa, kurang liabiliti dan pekerja sektor swasta mempunyai ruang yang besar dari manfaat integrasi ini.

PENGUPAYAAN BELIA BERKEMAHIRAN
Menyedari cabaran tersebut, faktor pengisian minda, kemahiran dan survival hidup belia adalah penting. Tidak ada bekalan yang lebih berharga daripada mengisi golongan belia dengan ilmu pengetahuan, kemahiran hidup dan kemahiran diri untuk terus bersaing di arena penghidupan. Segenap lapisan belia perlu diberikan ruang dan peluang memajukan diri melalui kesempatan berada dalam sistem pendidikan negara. Dalam konteks ini, selain memperjuangkan nasib golongan mahasiswa, MBM melihat kelompok belia berkemahiran sebagai kumpulan penting dalam memacu negara menjadi sebuah negara maju.

MBM melalui ruang MPBN dan Majlis Konsultasi Bajet Negara telah menyuarakan agar dana Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) dipertingkatkan daripada hanya RM 300 juta kepada RM 1 billion bagi memberi ruang pembiayaan. Umumnya mereka ini merupakan golongan yang kurang berjaya dalam aspek akademik tetapi mempunyai bakat dan potensi dalam aspek kemahiran. Setiap tahun sekitar 250,000 daripada 450,000 orang calon yang menduduki SPM dilihat berpotensi diberi peluang kedua untuk menjalani latihan kemahiran samada di ILKA atau di ILKS. Melalui program 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K), MBM telah berjaya membantu 4,000 orang belia mendapatkan peluang latihan kemahiran dan penempatan kerjaya. Malah ia menjadi pengantara merapati golongan pelajar dan golongan pengendali pusat latihan membawa permasalahan mereka kepada pihak berwajib khususnya dalam soal pengiktirafan.

Mengikut Laporan Tahunan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) 2013, sejak tahun 1999 usaha mendapatkan pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) telah dilakukan. Mengikut Statistik JPK pada bulan Oktober 2014, sebanyak 1,535 standard pekerjaan telah dibangunkan oleh kerajaan, pakar latihan kemahiran dan pakar industri tetapi hanya 17 bidang sahaja yang diiktiraf oleh JPA. Sesuatu yang merugikan dan malang apabila standard yang dibangunkan dan dipersijilkan oleh kerajaan tidak diiktiraf oleh pihak kerajaan sendiri. Ini secara terang dan jelas menyekat bakat belia berkemahiran yang kompeten untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mewujudkan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan di negara ini menjelang 2020. Daripada jumlah itu, sebanyak 50 % atau 1.65 juta orang pekerja mahir diperlukan. Peluang ini pastinya akan diisi oleh golongan belia yang memilih latihan kemahiran sebagai pilihan untuk membina kerjaya. Namun terdapat juga belia yang bekerja tanpa apa-apa sijil tetapi mempunyai pengalaman antara 4 tahun ke atas, perlu juga diberi pengiktirafan menerusi Sijil Kemahiran Malaysia atau Diploma Kemahiran Malaysia atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia melalui program Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT). Ini akan dapat membantu kerajaan mempercepatkan bilangan tenaga mahir negara dari kalangan mereka yang mahir berdasarkan pengalaman kerja.

MBM amat optimis terhadap sistem pembangunan kemahiran di negara ini dengan kejayaan peserta Malaysia menggondol 9 emas, 5 perak dan 4 gangsa dalam ASEAN Skills Competition di Hanoi, Vietnam pada November 2014. Ini menunjukkan transformasi Pendidikan Teknikal & Latihan Vokasional (TEVT) mula menampakkan hasilnya.

MENYONGSONG FAJAR BARU
Kehidupan harus diteruskan dengan berlandaskan semangat dan mengenggam azimat “esok lebih baik daripada hari ini”. Atas dasar anjakan pemikiran harus dibina dengan memberi lontaran hala tuju jauh ke hadapan agar horizon pemikiran dan pandangan mencapah seluasnya bagi kita mencipta laluan-laluan mencapainya. Kita bersama-sama telah sepakat dalam membuat perencanaan bahawa pergerakan belia perlu kehadapan dan benar-benar membawa suara belia pelbagai peringkat.

Sebagai asas kelangsungan ini kita telah mencernakan MBM in Business (MIB) sebagai satu plan pembangunan kehadapan MBM dan seluruh badan gabungannya. Kita bersama-sama berbincang dan menghadami pelan perancangan ini di peringkat Jawatankuasa Kerja Pusat dan seterusnya ke peringkat Dewan Tertinggi MBM sewaktu di Kota Kinabalu baru-baru ini. Menyedari bahawa kerelevenan sesebuah organisasi bukan sahaja berdasarkan atau berbangga dengan sejarah masa lalunya tetapi harus terus mencipta sejarah akan datang.

Dalam kaitan ini amat relevan pepatah arab bermaksud “bukanlah seorang pemuda itu jika berbicara kehebatan bapanya , tetapi pemuda itu adalah yang membuktikan tentang dirinya sendiri” .

Menyedari beberapa trend perubahan dapat kita jangkakan seperti perubahan demografi belia dengan populasi belia seluruh dunia telah meningkat. Ini membawa kepada perubahan penyebaran dan resapan kuasa yang kini mudah beralih kepada elemen individu dan yang mempunyai kekuatan jaringan. Natijahnya membawa kepada perubahan dalam landskap media dengan kemunculan dan pengambil alihan media baru sebagai media utama dan menarik malah amat dekat dengan belia. Semua ini dipercepatkan lagi dengan kuasa teknologi yang membuka persaingan terbuka terhadap akses sumber dan khalayak yang pelbagai.

Matlamat memastikan kelangsungan MBM sebagai badan induk persatuan belia di negara ini adalah tanggungjawab bersama. Kesinambungan akan lebih bermakna dengan pembangunan mapan melalui usaha menyeluruh dan bersepadu bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keperluan masa akan datang. Strategi perlu diatur dan dilaksanakan setepatnya melalui pemerkasaan elemen pendanaan, peruntukan sumber, kekuatan produk dan perkhidmatan, kompetensi ahli, pekerja belia dan kemantapan organisasi. Bagi maksud tersebut elemen sumber yang kita simpulkan kepada Konsep 4M iaitu Insan (Manpower), Jentera (Machines), Dana (Money) dan Alatan (Material) menjadi faktor penentu terpenting kepada kejayaan ini.

TALIAN KEPIMPINAN
Organisasi belia di akar umbi (Majlis-Majlis Belia Daerah / Jajahan / Bahagian / Kawasan / Cawangan) merupakan nukleus terpenting dalam menyediakan “leadership supply” demi kelangsungan kepimpinan MBM khususnya dan belia Malaysia secara keseluruhannya. Justeru, MBM beriltizam untuk melatih dan melahirkan sekurang-kurangnya 300 orang pemimpin belia dalam tempoh tiga tahun ini melalui proses latihan berstruktur seperti kursus-kursus kepimpinan, penyertaan sidang meja bulat, program praktikum, pertukaran belia dan pertandingan.

Manakala proses latihan tidak berstruktur turut dilaksanakan seperti penyertaan dalam misi kesukarelaan, lawatan tapak serta perhubungan media baru. Peristiwa bencana banjir yang berlaku baru-baru ini juga telah menjadi medan ujian atau “testing ground” penilaian kepada keseluruhan organisasi akar umbi kita dalam hal keupayaan kepimpinan serta urustadbir belia mengikut lokaliti. Ternyata sebahagian besar kita memiliki keupayaan yang sangat hebat untuk menggerakkan pasukan sukarelawan masing-masing. Secara langsung ia telah melahirkan individu-individu belia yang berpotensi untuk diketengahkan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

Kegagalan kita meningkatkan keupayaan kepemimpinan peringkat akar umbi sebenarnya akan mengancam kelangsungan kepimpinan negara kerana akan berlaku ketidakseimbangan pembangunan pada peringkat lokaliti. Kawasan-kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman mesti memiliki individu belia yang sanggup tinggal serta menetap di wilayah tersebut dan seterusnya menjadi catalyst yang mampu mempercepatkan proses pembangunan.

KEPIMPINAN DAN MASA DEPAN
Berat tanggungjawab kepimpinan bukan cuma menghadapi cabaran, bebanan tugas dan pelan perancangan yang ingin digerakkan. Tetapi tugas barisan kepimpinan akan menjadi lebih apabila amanahnya menuntut untuk melahirkan kepimpinan yang lebih hebat lagi daripada dirinya. Konsep kelangsungan organisasi sebagimana kata hikmah “pemimpin yang terbaik adalah yang menghasikan pemimpin yang terbaik selepasnya” perlu diserap oleh seluruh kepimpinan MBM dan badan gabungan. Kerana itu jugalah pesan Allah dalam hal ini lewat surah An Nisa Ayat 9 :
“Dan hendaklah takut orang-orang yang meninggalkan zuriat yang dhaif di belakang mereka”

Bersamalah kita berganding bahu, kekuatan dan pengalaman dalam mendidik, membina dan melahirkan sejumlah kepimpinan muda dalam tempoh 2 tahun ini sebagaimana yang kita impikan. Program latihan yang sudah dirancang dan akan dirancang perlu menjadi keutamaan kepada kepimpinan semasa kerana aspek inilah tunjang core business setiap organisasi belia. Hal ini memerlukan senergi dan gabung jalin antara MBM dengan badan gabungan dan juga intra badan gabungan sendiri.

Aspek latihan ini memerlukan kita menjadi watak pemimpin pendidik yang tabah, gigih dan tekun dalam menyediakan barisan kepimpinan muda melalui proses latihan berterusan. Juga jika kita terimbau dengan pepatah cina “Membesar sebatang pokok mengambil sepuluh tahun, makakala memupuk bakat seseorang mengambil 100 tahun”. Sebagaimana jawapan Saidina Umar Al-Khatab bila ditanya impian beliau dalam melaksanakan cita-citanya “Aku menginginkan sejumlah pemuda hebat seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim Maula Hudzaifah untuk membantuku mencapai cita-cita ini”.

Pada kesempatan ini saya menyeru kepada semua perwakilan agar memberikan sokongan yang penuh kepada pemimpin yang mampu membawa semangat keorganisasian belia yang telah kita persetujui ini. Merekalah teraju utama yang akan membawa organisasi ini ke tahap seterusnya bersama dengan para perwakilan dan belia seluruhnya.

KENANGAN TERINDAH
Pastinya sejunjung kasih kita ucapkan kepada kepimpinan utama negara YAB Perdana Menteri Malaysia yang sentiasa mengikuti dan memberikan perhatian kepada perjalanan MBM. Juga seluruh barisan kabinet atas kepercayaan kepada MBM dalam bekerjasama melaksanakan misi dan visi negara. Teman sepermainan dan rakan bersama pastinya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam usaha bersama menggerakkan misi pembangunan belia di negara ini. Agensi-agensi kerajaan serta sektor korporat yang sentiasa memberi kepercayaan terhadap keupayaan dan kredibiliti MBM.

Saya ingin merakamkan setinggi perhargaan seutuhnya kepada pimpinan semasa yang bersama memikul suka duka, gelak tawa, tangis dan air mata, tetap bersengkang mata menggarap idea bagi memberikan yang terbaik semampu mungkin kepada organisasi ini. Merekalah saudara rapat, berkongsi rasa dan harap, demi satu tujuan dan matlamat untuk digarap. Terima kasih atas perkongsian ini dan mengharapkan manfaat terbanyak untuk kita dan semua terhadap apa yang kita telah laksanakan.
Selamat bersidang.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »