Sdr. Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia
sempena
Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-71 Majlis Belia Malaysia
5 Mac 2022
Dorsett Grand Subang, Subang Jaya, Selangor
“Memotret Memorabilia Di Medan Memacu Wagas Dua Puluh Empat Puluh Lapan (2048)”
Lukman Hakim Saifuddin: “Dipuja tak jumawa, dicerca tak nestapa “@aniesbaswedan:Saat ketelusan jadi landasan bertindak. Dipuji tak terbang, dikritik tidak tumbang”.
PENDAHULUAN
Pejam celik pejam celik begitu pantas masa berlalu bagai sepatung mandi, selama sepatung cebok, selangkas betik berbuah. Naik di Sepang dan turun di Subang, begitulah singkatnya masa berlalu seumpama menaiki pesawat daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang bagi tujuan destinasi Lapangan Terbang Subang. Kepimpinan ini naik di Sepang pada tanggal 5 Oktober 2018 dan tiba masanya untuk mendarat di Subang pada tanggal 6 Mac 2022.
Tidak banyak yang dapat dibanggakan melainkan sedikit sumbangan bagi memastikan Majlis Belia Malaysia (MBM) terus hidup berbakti untuk nusa dan bangsa walaupun cubaan membunuh MBM dibuat secara terancang. Kalau pun tidak banyak yang dapat dikenang namun memadailah dengan keupayaan memandu bersama MBM keluar daripada luruan monsun yang tidak dijangka di pertengahan navigasi penerbangan.
Kepimpinan ini bertuah kerana meninggalkan legasi yang bakal dikenang dalam sejarah lipatan gerakan belia di mana melalui tribulasi tiga Perdana Menteri, tiga Menteri Belia namun satu Presiden MBM. Kepimpinan ini juga menempa sejarah apabila diberikan diskaun satu musim tambahan tanpa perlu membuat pemilihan baharu pada tahun lepas. Ini sejarah dan legasi kita bersama, besar tidak melanda, cerdik tidak menjual. MBM bukan hanya sejarah dan legasi Presiden tetapi sejarah dan legasi kepimpinan bersama. MBM bukan perjuangan menaikkan individu tetapi perjuangan menaikkan organisasi bagi mencapai matlamat yang lebih besar untuk masa depan negara.
Pemuda Pemudi dalam Semangat Zaman
Kejayaan dan keberhasilan ini adalah warisan semangat yang diinspirasikan oleh jerih perit perjuangan anak muda yang sentiasa sinonim fitrahnya melawan kezaliman, penindasan dan kebobrokan kerana cintakan keadilan dan kebenaran.
Anak muda yang sangat mengilhamkan inspirasi seperti Jose Rizal dihukum mati pada 30 Disember 1896 pada usia 35 tahun atas tuduhan penyebab pemberontakan yang berlaku di Filipina pada tahun 1896 walhal beliau sangat gigih mengkritik tohmahan tidak berasas penjajah yang mengatakan bangsanya malas, menentang birokrat kolonial yang korup dan gigih membebaskan bangsanya daripada kolonialisme. Walaupun umurnya singkat, menurut Profesor Syed Farid Alatas (2022), Rizal merupakan pemikir dan penulis dengan ideanya tersendiri dan tidak ada yang setanding dengannya pada waktu itu. Di usia dini muda, Rizal menghasilkan dua novel berskala magnum opus iaitu Noli Me Tangere dan El Filibusterismo yang membangkitkan kemarahan penjajah haprak.
ACHA-MILLAI !
ACHA-MILLAI !
ACHAM ENBATHE ILLAYE!
Laungan ini bukan sekadar tulisan atau sajak, malah laungan ini merupakan “wake up call” atau laungan kebangkitan anak muda oleh seorang penyair muda yang digeruni oleh Penjajah British yang menjajah Negara India.
Chinnaswami Subramania Bharati merupakan seorang penulis, penyair, wartawan dan juga aktivis kemerdekaan dan reformis dari Tamil Nadu, India. Beliau terkenal dengan nama ‘Mahakavi Bharathiyar’, merupakan seorang karyawan yang mempelopori puisi moden Tamil.
Beliau dilahirkan di Ettayapuram pada tahun 1882 dan belajar di daerah Tirunelveli. Beliau pernah bekerja sebagai wartawan suratkhabar, di antaranya Swadesamitran dan India. Beliau begitu aktif dalam Kongres Nasional India. Pada tahun 1908, beliau telah dikeluarkan waran tangkap oleh Kerajaan British di India atas kesalahan melakukan aktiviti berunsurkan revolusi dan oleh kerana itu, beliau terpaksa berhijrah ke Pondicherry dan menetap di situ sehingga tahun 1918.
Beliau pernah dilihat sebagai ancaman kepada Kerajaan British yang menjajah India pada masa itu kerana syair dan pantun beliau membentuk kesedaran serta membangkitkan nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat sehingga lebih ramai anak muda terjebak dengan gerakan anti Inggeris yang dibawakan oleh Mahatma Gandhi. Beliau juga memberontak terhadap tindasan kasta serta pembangunan wanita dinegara itu yang dulunya terlalu taksub dengan tradisi kasta. Beliau juga berjaya mewujudkan kesedaran terhadap pembangunan wanita serta berjaya mematahkan minda tertawan terhadap golongan wanita (Pen Adimai) di India.
Beliau juga digelar pejuang kemerdekaan yang tegas sehigga beliau ditangkap dan dipenjarakan pada usia muda. Pada usia 38 tahun beliau meninggal dunia.
Dalam tradisi peradaban tamadun besar China, nama Laksaman Cheng Ho 鄭和 pasti meniti di bibir para sejarawan sebagai laksamana muda yang mencipta sejarah hebat mengetuai armada China sebanyak tujuh kali ke 30 buah negara termasuk ke Melaka dan sejauh Mozambique. Beliau terkenal sebagai duta keamanan dan diplomasi sebagai sumbangan yang sangat signifikan dan besar mengharumkan empayar tembok besar itu.
Jangan dilupa Leftenan Muda Adnan Saidi Pahlawan Bukit Chandu yang membuatkan Divisyen ke-18 Tentera Jepun pening kepada apabila gagal menawan Bukit Pasir Panjang mengambil masa hampir 100 hari sedangkan seluruh Malaya dapat ditawan selama hanya 54 hari. Ingat kata-kata keramat Leftenan Jeneral Renya Mutaghuci yang menyebut “…Jika terdapat sepuluh orang macam dia (Leftenan Adnan), sudah tentu Jeneral Yamashita memerlukan 10 Divisyen untuk menawan Malaya”.
Kehebatan srikandi muda di persada perjuangan wajar juga dipahat di minda pejuang-pejuang muda. Raden Kartini riwayat hidupnya pendek tidak lebih 25 tahun namun prinsip perjuangan hidupnya jelas iaitu menghormati hak dan perasaan setiap insan. Beliau berkeyakinan bahawa penyertaan wanita dalam proses pembangunan tidak boleh dientengkan bahkan wanita adalah pendukung peradaban. Beliau mengkritik tradisi mengongkong wanita sedangkan wanita sangat berperanan dalam mendidik anak bangsa bagi pembentukan budi pekerti dalam masyarakat. Khatijah Sidek, puteri kesatria muda yang perlu dikenali oleh pejuang muda sebagai pejuang kemerdekaan dan perintis gerakan sosiopolitik wanita Melayu seawal umur 30an.
Keberanian anak muda daripada kepulauan Borneo Sarawak jangan dikesampingkan. Keberanian luar biasa patriot muda Melayu Rosli Dhoby meradak perut penjajah bedebah Duncan Stewart. Apabila perjuangan aman tidak dipedulikan penjajah, akibatnya pejuang kemerdekaan melancarkan perjuangan berdarah. Walaupun Rosli dan Rukun 13 bukanlah pencetus semangat dan gagasan kemerdekaan namun mereka berperanan sebagai neksus – pautan, penyambung dan penghubung – semangat dan darah antipenjajahan (Nordi, 2018). Beliau digantung pada usia 18 tahun dan dikuburkan tanpa tanda. Firman Allah Taala:
“Di antara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)” ~ Surah al-Ahzab: Ayat 23 ~
Dalam buaian pergerakan MBM juga berjaya melahirkan anak muda hebat seperti Sardon Jubir (Tun), Presiden MBM ke-3 yang pada usia 24 tahun menjadi majistret pada zaman penjajahan Jepun yang banyak menyelamatkan nyawa melepaskan banyak orang kena tuduh (OKT) yang teraniayai dengan maksim dan dictum “one is guilty till poven innocent” ciptaan tolol penjajah Jepun. Sardon merupakan pejuang kemerdekaan yang kemudiannya menjadi Presiden MBM, Cecilia Tan (1986) mencatatkan:
“As President of UMNO Youth, Sardon still found time for involvement in youth work. Elected the first President of Malayan Youth Council in May 1958, he led the first Malayan Delegation to the World Assembly of Youth held in Delhi that year. In 1962, he led another delegation to Denmark and another in 1964 to Amhurt, Massachusetts USA. Sardon was to remain the President of the Malayan Youth Council till 1965”.
Sejarah moden juga mencatatkan seorang anak muda berbakat Exco MBM saudara Abu Qassim di bawah pemerintahan Presiden Maliki yang meninggalkan kita pada usia muda ketika masih berada dalam gelongsor perjuangan MBM. Kematian tragis beliau dilanggar lori di Pahang membuka luruan kepada saudara Jufitri Joha menjadi Naib Presiden MBM pada tahun 2015 bagi mengisi vakum kepimpinan yang ditinggalkan seterusnya diangkat sebagai Presiden MBM yang ke-22.
Ini merupakan sebahagian suri teladan yang menempa dalam fabrik sejarah perjuangan anak muda yang perjuangan mereka masih meniti di bibir pejuang-pejuang kebenaran. Kematian mereka sangat menghidupkan dan sangat menginspirasikan. Walaupun umur fizikal mereka sudah tiada tetapi umur kedua mereka masih terus mekar umpama kemboja mewangi.
MBM mesti terus berperanan menjadi inkubator melahirkan putera-puteri terbaik negara di sebalik negara dan dunia berhadapan dengan fenomena generasi yang hilang atau lost generation. Anak muda mesti diasuh berani turun ke gelanggang membuat perubahan dengan penuh kesusilaan dan kesopanan dan bukannya hanya berani menjadi panglima papan kekunci.
MBM mempunyai peranan besar menyelesaikan pelbagai permaslahan besar yang dihidapi oleh belia terutamnya yang berasa sangat kelam akan masa depan mereka dek bahana Covid-19. Save the young to secure the future of the nation. Perkara segera yang harus dilakukan oleh pemimpin MBM sebagaimana saranan Unicef (2020) ialah, “Ensure all children learn, including by closing the digital devide”.
Belia Malaysia mesti kuat seumpama pertanyaan Soekarno kepada pemuda Indonesia berapakah jumlahmu, jawablah kamu adalah satu!
Menyorot perjalanan getir
Episod getir perjuangan kepimpinan era ini ditandai seawal sewaktu pemilihan di Sepang lagi, apabila beberapa nama-nama besar pemimpin belia dinafikan hak memimpin mereka oleh aparat pemerintah yang sombong, angkuh dan penuh dengan amarah dendam. Tekanan demi tekanan yang sangat merunsingkan memerlukan ketahanan dan daya penyerapan tekanan mental yang dahsyat. Setiap detik terpaksa dilalui dengan penuh debaran yang dramatik termasuk diperlakukan sebagai sampah masyarakat yang tidak berharga dan ditendang seperti bola pancit yang tidak bernilai.
Kemuncak pertembungan adalah pada awal Julai 2018 yang menyaksikan Presiden MBM tidak dapat menjejakkan kaki ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selama hampir enam bulan dan disenaraihitamkan di banyak tempat seumpama penjenayah perang dunia kedua serta dinafikan untuk menjejak Dewan Negara yang menjadi cita-cita pejuangan pemimpin MBM terdahulu.
Kata-kata keramat Datuk Haron Idris iaitu hidup ini jangan sampai menggadai maruah dan lagu peniup semangat Never Say Never dendangan Justin Bieber dan Jaden Smith memberikan ruh kekuatan untuk terus bangkit melawan:
See I never thought that I
Could walk through fire
I never thought that I
Could take the burn
I never had the strength
To take it higher
Until I reached the point
Of no return
And there’s just no turning back
When your heart’s under attack
Gonna give everything I have
It’s my destiny
I will never say never
I will fight
I will fight ’til forever
To make it right
Whenever you knock me down
I will not stay on the ground
Pick it up, pick it up
Pick it up, pick it up, up, up
And never say never
Daripada sudut hentakan dan henyakan itulah menjadi kita terus kuat dan hari ini kita masih hidup bernafas dengan gah dengan izin Yang Maha Esa sambil kita bertanyakan di manakah sekarang yang mahu menghumban kita dahulu? Mereka tidak ke mana mana bahkan menjadi persona non grata dengan izinNya jua. Kita doakan yang baik-baik sahaja. Tapi memetik kata-kata YB Syahbuddin Hashim, Pengerusi Tetap MBM, kita maafkan tapi kita tidak boleh lupakan, forgive but cannot forget. Terima kasih Yb Din, saya hadiahkan sebuah teromba:
Sehalaman sepermainan,
Seperigi sepermandian,
Segayung sepergiliran,
Muafakat tak berubah,
Rahsia tak bertukar,
Ibarat labu menjalar ke hulu,
Ibarat kundur menjalar ke hilir,
Pangkalnya sama dipupuk,
Pucuknya sama digentis,
Buahnya sama diambil,
Ke bukit sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,
Ke laut sama di renangi
Seikat bak sireh,
Serumpun bak serai
Seciap bak ayam,
Sedencing bak besi,
Malu tak boleh diagih,
Suka tak boleh dianjak,
melompat sama patah,
Menyerudup sama bongkok
Jalan sedundun,
Selenggang seayun.
Kita berdamai dengan takdir yang menentukan kita harus melalui jalan yang susah, itu tidak sekali kali kita kesalkan namun yang kita ratapi adalah pengkhianatan, pembelotan, ketidaksetiakawanan bahkan paling teruk apabila ada yang turut sama menumbuk curi rusuk kita yang sudah tidak berdaya. Ambillah pengajaran wahai sahabat ku sekalian pemimpin yang tiada solidariti mahupun ehsan sebegini tidak layak berada dalam perjuangan suci ini. Bagi yang bakal memegang kuasa, ambil iktibar dan ambil pengajaran bahawa kuasa tidak menjanjikan anda terus berada di puncak kerana anda hanya menunggu masa ke bawah seumpama roda kehidupan yang sentiasa berputar ke atas dan ke bawah. Firman Allah:
“…Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)…” ~ Surah Ali Imran: Ayat 140 ~
Ingatlah wahai pemegang kuasa akan Firman Allah:
“…Engkau berikan kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan daripada daripasa sesiapa pun yang Engkau kehendaki…” ~ Surah Ali Imran: Ayat 26 ~
Biarlah kepahitan dan keperitan yang dilalui merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah yang dapat dibanggakan apabila bercerita dengan anak cucu kelak. Sebahagian kisah ‘inside story’ ini akan diusahakan untuk diabadikan dalam buku yang seterusnya. Namun beberapa pengajaran perlu diungkapkan buat pedoman kehadapan.
Pengajaran Pertama
Pelajaran dan pengajaran terbesar yang dipelajari sepanjang tempoh getir adalah jangan menggadai maruah dan prinsip. Idealisme yang kerap ditekankan oleh kepimpinan terdahulu sangat membaluti kecekalan dan ketekalan kita. Biar mati berkapankan cindai, jangan kain kadut. Biar mati ditangkap harimau, jangan mati digigit anjing. Biar mati di mata pedang, janganlah mati kena tendang. Biar terjual nyawa, jangan terjual nama. Persoalan fundamental ini mengingatkan kita kepada puisi Buya Hamka:
Biarkanlah saya menyebut apa yang terasa;
Kemudian tuan bebas memberi saya nama
dengan apa yang tuan sukai;
Saya adalah pemberi maaf,
dan perangai saya adalah mudah, tidak sulit.
Cuma rasa hati sanubari itu
tidaklah dapat saya menjualnya;
Katakanlah kepadaku, demi Tuhan.
Adakah rasa hati sanubari itu bisa dijual?
Prinsip dan semangat setiakawan gabungan tidak boleh digalang ganti. Sesusah mana pun perjuangan, ia membentuk karakter dan mercu tanda perjuangan kita. Inilah yang mahu diwariskan kepada generasi penerus, berada di MBM ini bukan untuk dibentangkan karpet merah tetapi dibentang dengan denai onak penuh duri. Bersabda Rasulullah ﷺ:
حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ
“Surga itu diliputi perkara-perkara yang dibenci (oleh jiwa) dan neraka itu diliputi perkara-perkara yang disukai syahwat.” ~ Hadis Riwayat Imam Muslim ~
Pengajaran Kedua
Bersikap sederhana dan meraikan kepelbagaian merupakan keunikan dan formula kekuatan MBM. Terkadang semangat melulu dalam menanggapi sesuatu isu sebenarnya tidak menguntungkan bahkan merugikan organisasi. Sejarah menyaksikan betapa ramainya pejuang-pejuang muda yang bersifat pepat di luar rencong di dalam, mereka banyak mendahulukan emosi daripada pertimbangan hikmah seumpama berjalan selangkah menghadap surut, berkata sepatah difikirkan.
Bersikap sederhana dalam pelbagai perkara termasuk dalam berpolitik sangat terpuji kerana sikap ekstrem tidak menguntungkan. Musuh kita bukannya agama-agama, kaum-kaum mahupun kelompok-kelompok tertentu tetapi adalah individu dan kumpulan yang berfikir dan bertindak ekstrem. Pembangunan belia bertujuan melahirkan belia dan pemimpin belia yang seimbang, sederhana dan harmonis yang memaksudkan kematangan. Tanda kematangan terzahir dan terjelma seperti contoh berikut:
- Small talk tidak lagi menjadi minat dan keutamaan anda;
- Sentiasa memaaf dan melupakan;
- Banyak mendengar dengan empati daripada bercakap;
- Sangat menghargai kepelbagaian dan mencintai perbezaan;
- Tidak suka dan cepat menghukum;
- Mengutamakan berdiam diri daripada terlibat dalam pertelingkahan bodoh (nonsense fight);
- Berdamai dengan takdir;
- Tidak memaksakan cinta;
- Membalas keburukan orang dengan kebaikan;
- Berfikiran terbuka.
Kepelbagaian dan kemajmukan adalah kekuatan bersama MBM kerana belia menurut Profesor Ulung Shamsul Amri merupakan kelompok heterogen atau pelbagai. Heterogen belia bukan sahaja daripada aspek etnik, kaum dan agama bahkan ideologi politik, Semenanjung-Borneo urban-luar bandar, gender, aliran pemikiran, hobi-kepentingan, generasi dan psikogeografi. Tuhan menjadi kepelbagaian ini bukan sebagai sumber perpecahan tetapi sumber perkenalan dan kerendahan hati. MBM menjadi lebih signifikan apabila bertindak sebagai melting polt bagi menyediakan pelantar interaksi.
Badan gabungan perlu mengambil peluang penggabungan bersama MBM untuk berkenalan, berinteraksi, berdialog bahkan bekerjasama bersama gabungan-gabungan yang lain dalam pelbagai subjek. Kita tidak mahu interaksi hanya berlaku ketika pemilihan untuk meraih undi tetapi ia mestinya berterusan sepanjang masa.
Interaksi melalui dialog silang budaya dan agama hatta dialog silang peradaban perlu digalakkan bagi meningkatkan persefahaman dan kerjasama ke arah mewujudkan Malaysia dan dunia yang lebih aman dan adil. Usaha ini telah pun dipelopori oleh JK Perpaduan di bawah pimpinan gandingan Ah Bok dan Md Shah dengan penubuhan Belia untuk Perpaduan atau Youth for Unity pimpinan seorang warga belia OKU iaitu saudara Ghazali
Pemimpin belia dan MBM perlu mempunyai pemikiran minoriti bagi (minority thinking) bagi turut memperjuangkan belia dalam kategori rentan seperti belia Oku, belia orang asli, belia orang asal, belia LGBT yang mahu berubah hatta belia pelarian & pencari suaka.
MBM berbangga kerana berjaya mendayaupayakan semula belia Sikh dengan pengaktifan semula Persatuan Belia Sikh Malaysia dan penubuhan Gabungan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBSM). MBM juga berusaha mengaktifkan semula Persatuan Belia Siam Malaysia namun tidak berjaya sambil mengharapkan Majlis Belia Negeri Perlis, Majlis Belia Negeri Kelantan dan Majlis Belia Negeri Kedah boleh memberikan fokus membawa suara belia Siam dan menjaga kebajikan mereka. Suatu ketika dahulu MBM juga turut dianggotai Persatuan Pemuda Kristian Kuala Lumpur (YMCA) dan usaha menyambung semula hubungan terputus harus diusahakan.
Pengajaran Ketiga
Berpegang teguh kepada nilai dan norma tradisi menjadi teras kepada perjuangan kepimpinan belia menjadi pemimpin yang baik. Nilai bersifat abstrak, tidak berubah dan tidak relatif tetapi tetap sepanjang masa dan zaman. Nilai menjadi kompas dalaman yang memandu tindakan. Nilai berfunsi sebagai :
- Pengawal dan pencorak pola tingkah laku;
- Alat mendapatkan pengertian atau makna dalam dunia sosial yang kompleks;
- Sebagai proses sosialisasi;
- Mempengaruhi sikap, pegangan, prinsip dan falsafah hidup individu;
- Pemberi kriteria pembuatan keputusan;
- Pemberi haluan kepada perubahan sosial;
- Menentukan pertimbangan moral;
- Bertindak sebagai piawai atau kriteria untuk bertindak.
Nilai-nilai seperti kepercayaan, integriti, amanah dan setia membantu untuk mempertahankan kemuliaan insan yang banyak disentuh ketika Ucapan Dasar MPAT ke-70. Almarhum Ayahanda Siddiq Fadzil, mantan Presiden ABIM mencadangkan satu set nilai yang dianggap penting untuk mengangkat sesuatu bangsa khusunya di Malaysia seperti berikut:
a.) Nilai agama b.) Nilai kemanusiaan c.) Nilai akhlak mulia d.) Nilai ilmu e.) Nilai keadilan f.) Nilai persaudaraan dan g.) Nilai ekonomi.
Dalam sejarah peradaban Islam sebagai contoh sangat banyak dilimpahi dengan pelbagai contoh agung tentang ketinggian nilai seseorang pemimpin sebagai contoh Khalifah Bani Umayyah Umar Abdul Aziz yang memadamkan lampu milik kerajaan dan menyalakan lampu milik peribadi apabila tetamu beliau mula berbicara soal peribadi dan keluarga selepas tamat perbincangan berkenaan ehwal negara.
Keunikan nilai falsafah hidup Umar Abdul Aziz mengingatkan saya kepada Mendiang Tan Kai Hee sahabat baik kepada Sasterawan Negara Usman Awang yang baru sahaja meninggalkan alam yang fana ini. Pemergian beliau diingati kerana nilai unggul yang dipegang beliau sehingga meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan bermasyarakat. Antara nilai kepercayaan yang dipegang oleh Mendiang dalam mengoperasikan syarikat Hai-O beliau ialah nilai banyak memberi. “Making huge profits is not our main goal…we would feel happier and have more self-worth by giving more to society”. Nilai memberi telah menjadi budaya dan cita sempurna kepada pengasas Hai-O ini. Nilai sebenarnya kepada beliau bukan menimbunkan harta memperkayakan diri tetapi adalah untuk memulangkan semula kepada masyarakat.
Inilah idola-idola yang sangat menginspirasikan yang meletakkan nilai sebenar dalam kehidupan dan bukannya nilai materialisme seperti pangkat, jawatan, wang mahupun pengaruh.
Nilai-nilai besar iaitu keadilan, hikmah, keberanian dan iffah (menjaga kehormatan diri dan jiwa) perlu menjadi kompas moral kepada semua belia, pemimpin belia dan masyarakat. Dengan berpegang kepada nilai-nilai unggul ini pemimpin belia tidak mudah melakukan khianat, tidak takut berdepan dengan ancaman dan tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan kerana sedikit habuan dunia. Selain norma, kepercayaan (trust) dan jaringan, nilai merupakan satu lagi elemen modal sosial yang penting bagi membentuk kepercayaan dan kebolehsandaran belia dan masyarakat kepada MBM dan paling banyak berlaku dewasa ini adalah defisit kepercayaan, trust deficit.
7 Budaya Unggul Belia Malaysia yang dicitrakan berpaksikan nilai telah dicadangkan oleh MBM. Pemimpin belia harus terus membentuk watak belia yang hebat bagi mempersiapkan mereka kepada masa hadapan yang lebih gemilang. MBM mahu belia dikenali di serata dunia dengan 7 budaya unggul ini iaitu budaya ilmu, integriti, berfikir kritis, bersih, sukarela, rajin dan ketepatan.
Pencapaian MBM 2018-2022
Kepimpinan MBM ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana Ahli Dewan Tertinggi (DT) memberikan kepercayaan dengan memberikan masa tambahan. Ini merupakan perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Tidak mudah untuk melaksanakan pelbagai agenda dan acara dalam keadaan pertarungan terbuka dengan pihak Menteri, ditambah dengan pertukaran kerajaan, ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi dan wabak halimunan yang menyeksakan.
Namun segala kesukaran ini menjadikan kita lebih kreatif dan inovatif untuk terus menggalas amanah. Banyak pencapaian-pencapaian baru yang dicapai dalam bidang penyelidikan dengan penglibatan aktif MBM dalam pelbagai aktiviti penyelidikan termasuk hubungan baik dengan Institut Penyelidikan Sains Sosial (IPSAS) UPM, Institute of Youth Research (IYRES). Saya sendiri baru sahaja menyiapkan satu kajian PhD bertajuk Amalan dan Pengalaman Kepimpinan Tertinggi MBM dalam Melaksanakan Dasar Belia Malaysia Berteraskan PYD.
MBM juga buat julung kali menghasilkan buku Panduan Pengurusan Pertubuhan Belia Malaysia yang setelah sekian lama ketiadaan literatur seumpama ini dalam arena gerakan belia setelah kali terakhir ditulis oleh Profesor Azimi, Chek Mat dan Almarhum Profesor Hussain Mohamed.
Tulisan-tulisan berkaitan sejarah gerakan belia, pengurusan organisasi belia, polisi-polisi belia dan pembangunan belia perlu diperbanyakkan bagi merekod sejarah untuk ditatap oleh generasi masa hadapan dan dirujuk sebagai panduan memimpin dan mengurus. Penulisan adalah penting kerana bak kata Pramoedya Ananta Toer Sasterawan Gadang Indonesia, mengarang adalah bekerja untuk keabadian.
Keusahawan, Ekonomi & Keusahawanan
MBM – MBM Future Enterpreneur (MFREN) atau Usahawan Masa Depan MBM kelolaan Datuk Syed Osman dan Saudari Nurliana Muhammad (Sis Liaa) telah berjaya merangka inisiatif pembudayaan belia terlibat dalam keusahawanan.
Sepanjang memegang amanah dalam portfolio ini MBM telah membuka peluang kepada belia mendapatkan pembiayaan tanpa faedah melalui insitusi perbankan seperti Pusat Kewangan Sosial Bank Islam mahupun agensi kerajaan.
Isu-isu belia niaga seperti kemudahan dana memulakan perniagaan, siri webinar pengenalan kepada platform meningkatkan ekonomi dan pasif income diperkenalkan dari masa ke masa dengan agresif dan tuntas.
MFREN mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan strategik seperti Fastrex, Go Go Pasar, PWS, dan sebagainya atas peluang bersama membudayakan keusahawanan kepada belia.
MFREN juga telah mewujudkan inisiatif big data pembangunan usahawan belia negara melalui Hub Usahawan Belia Malaysia yang menghimpunkan lebih 256,000 usahawan belia seluruh Malaysia.
Kejayaan MFREN juga mewakili negara serta mempromosi usahawan belia negara ke negara-negara ASEAN, The Commonwealth dan memenuhi jemputan mengenai forum-forum ekonomi global.
Antarabangsa
MBM juga tekal melebarkan sayap ke luar negara dengan terus aktif dengan mendampingi pelbagai platform belia di luar negara termasuk bergabung dengan inisiatif baru seperti D8 Youth Council, Asian-African Youth Government (AAYG), NAM Youth Work dan memastikan World Assembly of Youth (WAY) masih terus diterajui oleh pemimpin belia Malaysia.
MBM tidak ketinggalan membina hubungan baik dengan perwakilan asing di Malaysia seperti Kedutaan Amerika Syarikat, Singapura, Arab Saudi, Turki, Britain dan China selain MBM aktif memberikan respon terhadap pelbagai isu-isu antarabangsa yang secara langsung mahupun tidak langsung memberikan kesan kepada Malaysia.
MBM memandangkan serius akan hubungan dengan negara jiran serumpun dengan mengukuhkan hubungan dengan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) dan Majlis Belia Brunei (MBB) yang pasti menjadi pasak kekuatan Asean.
Bagi memberikan suara dan partisipasi anak muda di pentas antarabangsa, MBM telah meneruskan usaha penubuhan Youth Taskforce for International Affairs & Diplomacy untuk musim kedua bersama Wisma Putra. Seramai 13 anak muda terpilih dan bakal diumumkan sedikit masa lagi oleh YB Menteri Luar.
Junior MBM
MBM juga berbangga dengan kelahiran adik Junior MBM yang diterajui oleh adik Azman Azhim dan Emma Emmanuella Gerard yang memperlihatkan kualiti kepimpinan remaja mereka sehingga mewakili MBM ke Majlis Kanak-Kanak SUHAKAM.
Mendekati anak muda remaja seusia 15-21 tahun amat crucial kerana mereka adalah kelompok teras awal belia yang harus disantuni sebaiknya. Mereka juga akan menentukan pola pengundian baharu memilih pemimpin yang akan diterjemahkan buat kali pertamanya di Pilihanraya Negeri (PRN) Johor bulan ini.
Mereka harus dipersiapkan sebagai well-informed voter agar memilih pemimpin yang berintegriti dan mampu membawa Negara ke tampuk yang lebih baik.
Peranan Jawtankuasa Pendidikan yang diterajui gandingan Izzat-Ong sangat signifikan bagi menangani agenda ini dengan menghasilkan Sekolah Politik 2.0, Model Parlimen dan kempen #NotTooYoungToRun.
Care Helper
Tidak sekadar memikirkan perkembangan belia awal remaja, MBM juga memikirkan pasca umur belia di mana negara berhadapan dengan negara menua atau supra tua menjelang 2030. Pasca umur belia sangat genting bagi mempersiapkan sistem sokongan hari menua. Untuk itu MBM telah menjalinkan kerjasama pintar bersama pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Syarikat FixApa bagi membangunkan kerjaya Care Helper perkhidmatan menjaga warga emas yang semakin meningkat permintaannya. Ini membuktikan bahawa MBM telah melaksanakan elemen pembangunan merentas generasi seperti yang termaktub dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035.
Terlanjur menyebut UKM, MBM juga menjalinkan kerjasama membangunkan Sijil Profesional Pembangunan Belia bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM bagi memberikan ilmu dan pengiktirafan kepada pemimpin dan aktivis belia melalui kursus pendek.
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)
Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) diterima pakai oleh 193 negara sempena dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September 2015 di New York, Amerika Syarikat. SDGs yang terdiri daripada 17 matlamat yang diperhalusi dengan 169 sasaran dan lebih daripada 240 indikator menjadi hala tuju dan garis panduan pembangunan global yang mampan dan seimbang bagi tempoh 15 tahun dari 2015 hingga 2030. Matlamat tersebut disasarkan akan tercapai menjelang tahun 2030.
Idea pembangunan mampan tercetus pada pertengahan kurun ke-19 berhubung kait dengan revolusi perindustrian di negara-negara Barat yang menyedari akan impak aktiviti ekonomi dan perindustrian terhadap keseimbangan sosial dan alam sekitar. Beberapa siri krisis kewangan dan ekologi telah berlaku di dunia pada kurun ke-20. Contohnya, krisis perbankan Amerika Syarikat pada 1907, krisis ekonomi Great Depression pada 1930an, Kejutan Harga Minyak OPEC 1973, Tragedi Gas Bhopal pada 1984 dan Tragedi Nuklear Chernobyl pada 1986. Tragedi dan krisis ini telah menimbulkan kesedaran akan keperluan untuk mewujudkan suatu model pembangunan yang lebih mampan.
Definisi pembangunan mampan yang rasmi telah dibangunkan julung kalinya pada 1987 di dalam Laporan Brundtland iaitu pembangunan masyarakat yang memenuhi keperluan mereka tanpa mengkompromikan kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan mereka. Selaras dengan konsep ini, SDGs dibangunkan berdasarkan keseimbangan lima dimensi yang digelar 5P iaitu, Manusia (People), Planet (Planet), Kemakmuran (Prosperity), Keamanan (Peace) dan Perkongsian (Partnership) yang diterjemahkan kepada 17 matlamat dan diperincikan kepada ratusan sasaran dan indikator.
SDGs merupakan lanjutan dan penambahbaikan kepada Matlamat Pembangunan Alaf (MDGs) yang terdiri daripada 8 matlamat, 18 sasaran dan 48 indikator. MDGs yang dilaksanakan dari tahun 2000 hingga 2015 lebih memfokuskan kepada pembasmian kemiskinan tegar, kebuluran, pencegahan penyakit berbahaya dan peluang pendidikan untuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, keberkesanan MDGs adalah terhad akibat daripada kekurangan analisis dan justifikasi serta kelemahan pengukuran dan kemajuan yang tidak sekata. Lantaran itu, SDGs diperkenalkan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut dengan merangkumkan dimensi 5P dan perincian implementasi pelaksanaan yang melibatkan perkongsian matlamat semua pihak termasuk, kerajaan, korporat dan masyarakat sivil. Pendekatan “tiada sesiapa yang tertinggal” (Leaving no one behind) ditekan.
Di Malaysia, pelaksanaan SDGs telah diintegrasikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Majlis SDGs Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah ditubuhkan pada tahun 2016 untuk menentukan hala tuju pelaksanaan SDGs yang selaras dengan agenda nasional untuk dilaporkan kepada Forum Politik Peringkat Tinggi (HLPF) PBB. Untuk perangkaan peta perbatuan SDGs, pemantauan pelaksanaan dan pengenalpastian isu-isu, Jawatankuasa Pemandu SDGs Kebangsaan juga telah ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi dan dianggotai oleh wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil. Bagi tujuan pelaksanaan program dan pengenalpastian indikator, 5 jawatankuasa kerja telah diwujudkan mengikut kluster selaras dengan teras, bidang fokus dan strategi RMK11. Lanjutan kepada RMK11, SDGs turut ditekankan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 – 2025 yang berteraskan pendekatan keseluruhan negara untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir atau terpinggir dalam arus pembangunan.
Di peringkat masyarakat sivil, Perikatan Organisasi Masyarakat Sivil untuk SDGs (CSO-SDG Alliance) telah diasaskan bersama oleh Prof. Datuk Denison Jayasooria dan Dr. Hezri Adnan pada tahun 2016 bertujuan memupuk kerjasama dan sinergi kekuatan masyarakat sivil dalam pelaksanaan SDGs di peringkat masyarakat sivil dan akar umbi. Perikatan tersebut dianggotai oleh puluhan pertubuhan masyarakat sivil dan institusi penyelidikan untuk perkongsian sumber, kepakaran dan kerjasama strategik di antara pertubuhan.
Pada tahun 2020, Kumpulan Parlimen Rentas Parti bagi SDG (APPGM-SDG) telah ditubuhkan oleh Parlimen Malaysia yang terdiri daripada 10 ahli Parlimen yang terpilih. Projek perintis tersebut bertujuan untuk pelaksanaan SDG di kawasan setempat bagi penyelesaian masalah-masalah yang terdesak di kawasan Parlimen yang terpilih. Bilangan kawasan Parlimen yang terpilih dijangka bertambah kepada 55 pada tahun 2022. CSO-SDG Alliance telah dilantik oleh Speaker Parlimen sebagai Sekretariat APPGM-SDG dan diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria sebagai Ketua Sekretariat.
Sebagai badan induk pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat kebangsaan, Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak ketinggalan dalam arus perkembangan SDG. Susulan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) ke-65 pada 17 hingga 19 Februari 2016, Jawatankuasa Khas Pembangunan Lestari telah ditubuhkan dan diselaraskan oleh Sdr. Thai Ming Yeow khususnya untuk pengendalian urusan-urusan yang berkaitan dengan SDGs bagi sesi 2016 – 2018. Susulan MPAT ke-67 pada 4 hingga 6 Oktober 2018, portfolio tersebut telah diletakkan di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Antarabangsa & SDG yang diketuai oleh Sdr. Jufitri Joha, Presiden MBM.
Penglibatan MBM dalam SDGs secara umumnya merangkumi pelbagai aspek yang merangkumi kesemua 5 dimensi termasuk pembangunan kapasiti, kerja komuniti, advokasi dasar, konsultasi, kempen kesedaran, pendidikan awam, pembinaan jaringan dan sebagainya. Hampir semua projek atau program yang dijalankan menyumbang kepada pelaksanaan SDGs. Walau bagaimanapun, bukan semua program dirancang dengan merujuk kepada SDGs.
Antara projek atau program yang khusus yang berkaitan dengan SDGs adalah Sidang Meja Bulat Youth Ideas – Engaging Malaysian Youth Community for SDG Project Implementation pada 17 Mac 2016, Literasi dan Bengkel Pemetaan SDG pada 25 Oktober 2016, Projek Local Agenda 21 Kawasan Keramat pada tahun 2018, Sesi Selari sempena Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 pada 6 November 2019, Program SDG MBM-Eko Pelancongan Majlis Belia Orang Asli pada Ogos hingga Oktober 2020 dan rakan strategik Persidangan Kemuncak SDG Belia Malaysia pada 6 November 2021. Berikutan penganjuran Persidangan Kemuncak SDG Belia Malaysia ini, MBM sedang membidani penubuhan Kelab Belia SDG (SDG Youth Club) bagi menghakupayakan (empower) belia meneruskan aksi dalam bentuk pergerakan Ngo belia bagi merealisasikan agenda SDG. MBM juga sangat-sangat mendokong pelbagai usaha praktikal dan inisiatif strategik yang diusahakan oleh rakan strategik MBM iaitu International Youth Centre (IYC) di bawah kepimpinan Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee. Ini termasuk projek Sekolah SDG dan Projek Bekalan Air di pedalaman Sarawak.
Dari segi penglibatan luar, MBM merupakan salah satu daripada lima organisasi masyarakat yang merupakan ahli kepada Jawatankuasa Pemandu SDG Kebangsaan di bawah Unit Perancang Ekonomi. Presiden MBM, Sdr. Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin (2016 – 2018) dan Sdr. Jufitri Joha (2018 – 2022) dilantik sebagai ahli tetap di dalam Jawatankuasa Pemandu, manakala Sdr. Thai Ming Yeow dilantik sebagai ahli ganti. MBM merupakan salah satu ahli yang terawal di dalam CSO-SDG Alliance sejak tahun 2016 dan seterusnya menjadi rakan strategik Sekretariat APPGM-SDG pada 2020. Pada tahun 2022, MBM menjadi salah satu daripada pembekal penyelesaian (solution provider) kepada APPGM-SDG bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan belia dan CSO. Selain itu, MBM turut terlibat sebagai pemegang taruh kepada Regional Center of Expertise – Greater Kuala Lumpur (RCE-GKL) yang didaftarkan di bawah United Nation University – Institute for Advanced Studiy of Sustainability, Universiti UCSI yang ditubuhkan pada Ogos 2021 dan berfokus kepada SDG 4, 13 dan 16. Sdr. Thai Ming Yeow telah dipilih sebagai Naib Pengerusi RCE tersebut.
Badan-badan gabungan MBM juga terlibat dalam pelaksanaan SDGs. Salah satu badan gabungan yang sangat aktif dalam SDGs adalah Junior Chamber International Malaysia (JCIM) yang menjadikan SDGs sebagai prinsip utama dalam perancangan program. Antara program yang terkemuka adalah Anugerah Pembangunan Mampan (JCIM Sustainable Development Awards) yang dianjurkan setiap tahun sejak tahun 2018. Wakil MBM telah diberi peluang sebagai ahli panel pengadil bagi sesi 2021.
Cabaran yang paling besar bagi MBM dalam mengarusperdanakan SDGs adalah kekurangan minat kepimpinan MBM dan badan-badan gabungan untuk memahami secara mendalam tentang matlamat dan sasaran SDGs kerana ianya merupakan suatu kerangka kerja yang besar dan luas untuk difahami dan dikuasai walaupun sebahagian besar daripada program-program yang dilaksanakan adalah berkaitan dan menyumbang kepada SDGs. Selain itu, kekangan sumber kewangan dan pengkhususan bidang fokus mengikut jawatan kuasa juga merupakan faktor rintangan yang signifikan. Situasi politik semasa dan ancaman pandemik COVID-19 juga menyumbang kepada cabaran ini. Walau bagaimanapun, sebagai organisasi induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan, cabaran tersebut harus di atasi melalui penyelarasan di peringkat pengurusan, pendidikan kepimpinan yang berterusan, kerjasama di antara biro, sinergi kepakaran, pendekatan inovatif dan perkongsian sumber.
MBM dan badan-badan gabungan harus terus memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan SDGs di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat akar umbi memandangkan ianya bukan sahaja semata-matanya agenda antarabangsa tetapi juga hala tuju perancangan pembangunan negara bagi dekad yang akan datang agar anak muda dapat dimanfaatkan dengan pembangunan yang mampan dan seimbang dengan sebaik-baiknya. Ini juga terkait dengan cabaran masa depan yang sangat tidak dapat dijangka dan sangat ekstrem yang terpaksa dihadapi generasi muda yang memerlukan intervensi dan solusi tuntas melalui agenda SDG. Masa depan generasi muda dan generasi masa depan ditentukan oleh kebijaksanaan dan tindakan kita pada saat ini.
Kerja Belia Profesional
MBM juga tekal menjuarai agenda mempromosikan kerja belia profesional semenjak 2016 bagi mengiktiraf aktivis belia di lapangan dengan penubuhan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) pada 2017 dan penglibatan bersama Commonwealth Alliance of Youth Workers’ Asscoiations (CAYWA) sebagai ahli lembaga. MBM juga turut aktif membantu KBS membangunkan ekosistem kerja belia sehingga hampir-hampir Akta Kerja Belia direalisasikan. Kerja belia profesional harus menjadi pilihan utama kepada lulusan gerakan belia yang melangkau usia 30 tahun selain wajar-wajar mantan-mantan pemimpin belia ini dilantik secara rasmi oleh KBS sebagai pembimbing dan penasihat angkat kepada persatuan-persatuan belia.
Merapati Institusi Raja-Raja Muda
Pasca PRU ke-14 juga menyaksikan penerokaan arena baharu libaturus MBM bersama institusi diraja khususnya raja-raja muda. Ini merupakan lembaran baharu yang menarik di mana MBM menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi yang apolitical ini bagi menaungi gerak kerja belia daripada sebarang ancaman politik sempit.
Lembaran baharu ini juga menyaksikan visibility ketara peranan raja-raja muda bersama gerakan belia dan pembangunan belia. Untuk itu, MBM ingin merafak sembah dan menjunjung kasih kepada raja-raja muda yang sudi menaungi gerak kerja majlis belia negeri dengan memperlihatkan hubungan erat istana dengan institusi gerakan belia.
Peristiwa besar Kongres Belia 2019 pasti paling diingati oleh semua kerana gerakan belia mendapat pembelaan dan perlindungan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Memacu Wawasan dan Gagasan (WAGAS) 2048
Bergerak kehadapan dengan berpandukan DBM 2015-2035 yang dirujuk bersama Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) 2022 yang akan dilancarkan, MBM perlu terus mara sebagai payung gerakan belia dan belia yang disegani oleh lawan dan kawan. MBM menjadi pohon besar di mana semua grup anak muda menumpang berteduh dan memakan buah-buahan yang ranum dan enak. MBM perlukan suatu dokumen masa hadapan bagi memastikan relevensi MBM sebagai pemegang taruh terbesar pembangunan belia bersama-sama KBS.
Justeru dicadangkan tawaran baharu Wawasan dan Gagasan (WAGAS) 2048 bagi memastikan MBM dipandu dan akan terus gah menjelang sambutan ulangtahun ke-100 pada 2048 dengan elemen-elemen seperti berikut. MBM harus menjadi “new power” (meminjam istilah Heimans & Timms) untuk kekal bernafas segar dan keluar daripada kepompong “old power” sekaligus memenangi hati majoriti anak muda di luar sana.
Majlis Belia Marhaen (MBM)
Saudara Dr. Maliki, Presiden MBM ke 20 suatu ketika acapkali melaungkan MBM sebagai jurucakap bottom billion iaitu masyarakat miskin terbawah. Bottom billion merujuk kepada 960 juta atau penduduk dunia fakir yang tinggal di negara-negara pendapatan sederhana termasuk di India dan China. New bottom billion menyaksikan lebih ramai penduduk dunia jatuh miskin disebabkan kemiskinan situasi angkara wabak halimunan yang melanda semenjak akhir 2019. Ini memerlukan pembelaan berterusan di mana MBM telah mengambil langkah menganjurkan diskusi Basmi Kemiskinan Bina Kesejahteraan (BKBK) sebagai manifestasi keprihatinan MBM terhadap golongan yang diuji ini. Diskusi ini bertujuan mendefinisikan semula kemiskinan yang mempunyai kepelbagaian dimensi menurut kaca mata anak muda bagi mencari solusi polisi dan praktis.
Sikap yang prihatin kepada persoalan kemiskinan, masyarakat terbawah dan nasib golongan rentan ini sinonim dengan konsep marhaenisme yang dianuti Bung Karno di mana asasnya yang mengkehendaki susunan masyarakat dan susunan negeri yang di dalam segala hal menyelamatkan kepentingan kaum Marhaen. Marhaen adalah mereka adalah mereka yang diekploitasi oleh kerana tidak menguasai faktor produksi dan marhaen adalah kemiskinan itu sendiri.
Kemarhaenan perlu didokong secara konsisten oleh MBM dan tidak menjadikan MBM kelihatan elit dan hanya menjaga kepentingan golongan kayangan mahupun aparat pemerintah walaupun tidak dinafikan kepentingan Kerajaan semasa perlu dijaga.
Marhaenisme memang dilihat sedikit ke kiri namun selama mana ia masih berada di jalan pertengahan atau radical middle way ia adalah amat dialu-alukan Anak muda sinonim dengan idea kiri dan jiwa melawan serta bukannya conformist namun ianya tidaklah menjadi mereka keluar daripada garis besar akhlak dan adab. Masyarakat Malaysia terkenal dengan kesantunan, kesopanan dan kesusilaan yang tinggi bak kata Allahyarham Sasterawan Negara, “Kurang ajarnya tetap santun, Lembutnya cukup jantan, Dajalnya masih selamba, Nakalnya bersulam jenaka, Menikam dengan pantun, Menyanggah dengan senyuman, Marahnya dalam tertawa, Merendah bukan menyembah, Meninggi bukan melonjak”.
SN Usman Awang juga mengajar kita menggunakan sifat ‘kurang ajar’ dalam membuat perubahan diri dan membawa pembaharuan masyarakat:
Kurang Ajar
Sebuah perkataan yang paling
ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu
Sekarang kata ini ku ajarkan pada
anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang
ajar
Untuk tidak mewarisi malu
ayahmu
Lihat petani-petani yang kurang
ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari
bangsanya
Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memilik sifat kurang ajar
MBM mesti menjadi Majlis Belia Marhaen yang terus merapati golongan rentan dan minoriti seperti orang asli, OKU dan belia Sikh hatta pelarian dan golongan LGBT yang ingin membuat perubahan diri. Mereka harus disantuni sebagai setaraf dengan warganegara lain yang menikmati status dan keistimewaan kewarganegaraan. MBM kesal dengan tindakan seorang penceramah agama baru-baru ini yang seolah-olah merendahkan taraf sosial masyarakat orang asli. MBM bersama-sama mendokong kenyataan Majlis Belia Orang Asli (MBOA) yang menuntut permohonan maaf daripada penceramah agama tersebut terhadap masyarakat orang asli secara amnya.
Untuk itu juga MBM sedang membidani penubuhan grup Belia Bestari iaitu golongan belia risiko yang perlu disokong proses penggabungan diri mereka ke dalam masyarakat sambil diberikan peluang kedua. MBM juga menyelaraskan secara bersahaja Gabungan Belia Tunggal bagi memperjuangkan suara dan isu persatuan belia tunggal. Belum lagi dikira penubuhan Majlis Belia Tahfiz Malaysia (MBTM), Persatuan Belia Industri Kreatif (BeKreatif) dan Persatuan Guru Muda Malaysia. MBM harus terus membidani penubuhan pelbagai lagi kelompok anak muda marhaen seperti belia pertanian dan pasukan keselamatan. MBM juga sempat memapah semula bersama-sama Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) pendaftaran semula Majlis Belia Putrajaya.
MBM berusaha sehabis baik merapati semua kelompok akar umbi anak muda, Alumni Parlimen Belia, Alumni Rakan Muda, Kalsom Movement, Kelab Remaja Udara (KRUM), Alumni MyCorps, Angkatan Belia MFLS, Majlis Belia Orang Asal, Undi 18, IDEA Belia, doktor muda dan banyak lagi.
Ini membuktikan MBM menunggal di dalam masyarakat dengan benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat. Pak Soeharto menegaskan, “Generasi muda sendiri tidak mau dimanja. Generasi muda harus menghayati penderitaan bangsanya, mereka harus manunggal dengan dan dalam kehidupan masyarakat”.
Membeliakan Politik lwn Mempolitikkan Belia
MBM perlu memacu arah baharu dengan membekal dan menyalurkan pemimpin-pemimpin belia yang lahir di bawah rahim pergerakan belia ke pelbagai parti politik dengan membawa idea segar dan nuansa baharu kepada masa depan negara. Penubuhan Parti Belia juga pada suatu ketika sangat releven bagi mengisi vakum kepimpinan berintegriti bagi memberikan pilihan yang lebih menyelerakan kepada pengundi-pengundi rakyat Malaysia.
Graduan-graduan akademi kepimpinan belia yang keluar setelah umur 35 tahun merupakan calon yang terlatih, berpengalaman dan sedia untuk memikul tanggungjawab negara yang lebih besar. Umur 35 tahun ke atas merupakan umur matang dan terbaik pada hemah MBM untuk memimpin negara.
MBM perlu tampil dengan tawaran baru kepada landskap politik negara iaitu tawaran membeliakan politik dan bukan mempolitikan belia. Perkara ini perlu dikupas dan digagaskan lanjut oleh pemimpin baharu MBM.
Profesionalisme Gerakan Belia
Relevensi gerakan belia mesti bergerak ranah profesionalisme. Gerakan belia mesti mengubah model pengurusan mereka kepada model keusahawanan sosial dan bon impak sosial yang berpaksikan khidmat masyarakat tanpa melupakan penjanaan ekonomi untuk kemampanan masa depan serta melibatkan pendanaan korporat. MBM telah memulakan langkah ini melalui Program Kemahiran Insaniah (PROKENS) yang didanai oleh pihak HSBC Bank dan Yayasan Peneraju. Gerakan belia mesti digerakkan secara sepenuh masa dan profesional sehingga tidak lagi hanya meminta-minta bahkan tampak hebat menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK) negara sebagaimana negara maju. Sebab itulah MBM mengagaskan idea Majlis Sukarelawan Malaysia (MSM).
Pemimpin belia harus dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengurusan termasuk ilmu pengurusan aset, teknologi, perubahan, kepentingan konflik, sumber manusia, harta, risiko, arkib, media sosial, bakat dan pelbagai lagi. MBM telah pun mula mengorak langkah awal mengadakan kerjasama dengan UNICEF bagi memastikan suasana kerja bebas daripada sebarang eksploitasi dan gangguan seksual.
Setiausaha dan ketua stafnya perlu diperlengkapkan dengan ilmu kerja belia profesional belia dan pengurusan bisnes (MBA).
Justeru pelan profesionalisme gerakan belia perlu digubal dan Konvensyen Majlis Belia Daerah adalah platform terbaik untuk membincang dan menggubalnya. Hutang penganjuran Konvensyen mesti dilunaskan segera sejurus selepas kepimpinan baharu mengambil alih.
MBM Sebagai Gerakan Sosial
Pendekatan MBM juga perlu berubah. MBM perlu mengadaptasi pendekatan gerakan sosial atau social movement yang mampu mengakar umbi memobilisasi massa bagi memperjuangkan pelbagai isu belia dan masyarakat sehingga didengari oleh pihak pembuat dasar dan Kerajaan.
Khoo Ying Hooi (2020) mendefinisikan gerakan sosial sebagai grup atau jaringan sosial atau individu yang hadir bersama untuk melakukan perubahan sosial dengan menggunakan taktik yang tidak bersifat institusi.
Model model gerakan sosial yang berjaya seperti Rasuah Busters dan Projek Bangsa Malaysia yang turut disertai MBM boleh dijadikan contoh, dikaji dan diadaptasi oleh MBM.
Wacana Baharu Gerakan Belia
Gerakan belia perlu mempunyai wacana baharu, tidak hanya berbicara soal-soal seputar bantuan pentadbiran mahupun had umur yang menyempitkan minda. Gerakan belia perlu kepada wacana baharu yang lebih segar dan memandu ke arah yang lebih noble dan tulen.
Jika pendidikan formal mempunyai Falsafah Pendidikan Negara, maka pendidikan informal seperti arena gerakan belia terlebih aula mempunyai Falsafah Pengislahan Belia (FPB). Ternyata gerakan belia mampu menjadi medan pendidikan informal yang ampuh terhadap kemenjadian dan kepimpinan belia.
FPB berteraskan keseimbangan pembangunan belia yang menjadi dokumen panduan utama bersama DBM bagi melahirkan belia yang berkualiti dan mampu berpencak di pentas global seperti Greta Thunberg. FPB mesti berteraskan pembinaan akhlak dan dalam masa yang sama meruntuhkan elemen-elemen yang merosakkan kemenjadian belia.
FPB perlu mengutip dan membahaskan saranan Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas agar pembangunan belia menekankan a sense of shame sebagai teras akhlak yang mampu mengelakkan belia terjerumus daripada perbuatan menjijikan seperti seks bebas, dadah, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah.
FPB juga merangsa pemimpin muda MBM mesti berminda global beraksi lokal dengan menangani pelbagai isu-isu besar seperti SDG, konflik Rusia-Ukraine, kemiskinan pelbagai dimensi, gaya hidup rendah karbon, perumahan mampu milik, biodiversiti, kepupusan dugong dan harimau Malaya, kemiskinan haid, pemerdagangan manusia dan banyak lagi isu-isu besar.
Justeru FPB perlu dikupas dan diformulasikan oleh kepimpinan generasi baru MBM agar kepimpinan berpaksikan di landasan yang paling kukuh untuk melahirkan belia dan pemimpin belia yang hebat.
Wasiatku
Di akhir anjang pertemuan ini, sukacita saya meninggalkan wasiat penting pada teman-teman budiman agar memelihara perpaduan dan setiakawan MBM. Jangan berpecah kerana perpecahan adalah azab dan perpaduan adalah rahmat. Pupuk kasih sayang dan bukan kebencian:
Hujan panas turun berderai
Guruh menyambar pohon jati;
Kasih sayang tak boleh bercerai,
Bagaikan rambut bersimpul mati.
Peliharalah imej dan nama baik MBM agar terus memperjuangkan dengan IKHLAS suara, isu-isu dan tindakan untuk belia dan rakyat Malaysia.
Sesungguhnya sesi kepimpinan ini telah sampai ke penghujung. Setiap yang bermula pasti hakikatnya akan berakhir. Menerima amanah adalah suatu beban yang menggusarkan manakala melepaskan amanah adalah suatu perkara yang sangat menggembirakan. Pemimpin yang baik melahirkan kepimpinan yang jauh lebih baik seumpama Steve Job yang digantikan oleh Tim Cook. Saya bersara bersama-sama lagenda motosikal dunia Valentino Rossi.
Kepada para perwakilan pilihlah pemimpin MBM yang dilihat benar-benar mampu membawa MBM jauh lebih hebat. Kita mahukan pemimpin muda yang kreatif, rajin, berkorban masa dan agresif. Medan ini dengan rasminya kami serahkan kepada kepimpinan baharu.
Terima kasih dan mohon maaf atas salah dan silap.
Di Medan Ini
Di medan ini zahirku layu
Jasad kaku dibelenggu
Jalur nadi masih kukuh
Janji setia tidak luntur
Di medan ini bakti disandang
Korbanku untuk maruah
Teguhkan azam nusa
Agar generasiku terbela
Jejakku tinggalkan
Untuk kau teruskan
Bangkitkanku dalam perjuanganmu
Mencantas noda
Bara semangatku
Bara semangatmu
Merintis cinta
Di medan ini gemilang persada
Hamparkan jati diri
Gemparkan pada mereka
Kita mampu teguhkan
Lambang merdeka
Laungkan semboyan
Seru gempur perwira
Walau gugur kubasahkan darah
Dengan ikhlas
Sumpah hidup wira bangsa
Juangkan cita
Bebaskan nusa
RUJUKAN:
Azhar Ibrahim (2021). Raden Adjeng Kartini Pemberdayaan Dengan Nurani. Singapura: Budi Pte Ltd.
Heimans & Timms (2018). New Power. New York: Anchor Books.
Jose Rizal (2022). Kemalasan Peribumi Filipina. Petaling Jaya: The Biblio Press.
Imam Nawawi. Kitab Riyadhusolihin.
Kahney, L. (2021) Tim Cook The Genius Who Took Apple to The Next Level. London: Penguin.
Khatijah Sidek (2010) Memoir Khatijah Sidek Puteri Kesatria Bangsa. Bangi: Penerbit UKM.
Khoo Ying Hooi (2020). The Bersih Movement and Democratisation in Malaysia. Petaling Jaya: SRID.
Kol Ramli Abu Bakar (2015). Leftenan Adnan Saidi Pahlawan Bukit Chandu. Kuala Lumpur: Penerbit UPNM.
Mohamad Faris (2016). The Productive Muslim. Swansea: Awakening Publications.
Muhammad Salleh (2020) Peribahasa Melayu Pemeri Akal Budi. Pulau Pinang: Penerbit USM.
Nordi Achie (2018). Rosli Dhoby dan Rukun 13. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Noor Hisham (2017). Makna Nilai Dalam Kehidupan. Kota Bharu: Penerbit UMK.
Soeharto (1980). Generasi Muda Jadilah Pelopor dan Bukan Pengekor. Jakarta: Pustaka Kencana.
Sukarno (2017). Pokok-Pokok Ajaran Marhaenisme Menurut Bung Karno. Yogyakarta : Media Pressindo.
Tan Yen Fong (2019). Tan Kai Hee Soaring Without Faer and Regrets. Kuala Lumpur: Kanyin Publications. UNICEF (2020). Averting a Lost Covid Generation. New York: UNICEF.