MAJLIS BELIA MALAYSIA

UCAPAN DASAR PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA SEMPENA MPAT KALI KE-68 “MENGEMBALI KEPERCAYAAN MEMPOSISI HARAPAN”

14 Mei 2019 (Selasa)

Kolej Ibu Zain, Universiti Kebangsaan Malaysia

PEMBUKA BICARA

Saudara saudari sekalian,

Yang berdiri silakan duduk, Yang di tangga silakan naik,

Yang berlunjur diminta bersila, Yang di belakang sila ke depan,

Yang di luar silakan masuk ke dalam, Sebentar lagi geroda nak lalu.

Saudara saudari sekalian.

9 Mei 2019 menyaksikan perubahan bersejarah dalam landskap politik Negara. Perubahan ini menggemparkan tanahair namun transisi berlaku secara aman dan licin lebih menghairankan dunia kerana tidak banyak negara membangun berjaya apabila berlaku perubahan kuasa. Perubahan ini turut secara langsung memberikan kesan hentakan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) namun MBM terus survive menangani kesan hentakan seperti kata Presiden MBM yang ke-16 bahawa MBM sebagai sebuah organisasi akan terus utuh walaupun melalui beberapa tribulasi dan mehnah besar seperti yang berlaku pada 1974, 1998 dan yang terbaru 2018.

MBM tertegak di atas landasan kukuh di mana idealisme dijadikan paksi kepada aksi bersesuaian dengan moto perjuangan MBM iaitu, “Belia Bertindak Demi Kebenaran dan Keadilan”. Penyelewengan dan kepincangan menurut Mustaffa Kamil Ayub (2000), mantan Naib Presiden MBM akan segera berlaku jika idealisme perjuangan dilunturkan apatah lagi diketepikan sambil memetik ungkapan Bertolt Brecht dalam Three Penny-Opera, “First comes the belly, then morality” ( apa yang penting adalah mengisi tembolok dan kemudian baru moral). Justeru tambah beliau, peranan utama yang mesti dimainkan oleh Pertubuhan Belia adalah pemugaran idealisme perjuangan berteraskan nilai kebenaran dan keadilan.

Idealisme dan falsafah yang menjadi pegangan utama pertubuhan belia sekaligus memandu hala tuju menurut Profesor Emeritus Azimi Hamzah (2002), adiguru pembangunan belia Negara ialah unsur perpaduan, patriotik, keagamaan, pendidikan, ekonomi, keadilan, penggerak, pembangunan personaliti, autonomi, kesukarelawanan dan kesejagatan. Idealisme dan falsafah persatuan belia inilah yang menjadi kita semua terus utus dan kekal releven.

Idealisme dan falsafah perjuangan terbentuk apabila para pemimpin belia menghayati budaya ilmu dan mempunyai pandangan sarwa yang jelas tentang makna sebenar kehidupan. Buku nukilan Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud bertajuk Penjelasan Budaya Ilmu dan edisi terbarunya Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi Dalam Sejarah dan Masakini wajar dihadami bagi memahami makna sebenar budaya ilmu yang harus berlaku di semua peringkat termasuk di dalam pergerakan belia.

Segala ujian getir yang dilalui MBM semenjak 1948 akan mematangkan organisasi dan pemegang jawatanya, yang baik dijadikan iktibar manakala yang buruk dijadikan sempadan. Justeru wajar warna warni sejarah pergerakan belia terbesar negara ini ditoleh semula agar generasi Y dan Z memahami betapa pentingnya menggabungkan diri dengan gerakan ini agar sama-sama membangunkan belia dan nusa bangsa.

SEJARAH PANJANG MBM

Sekadar menyorot penubuhan awal, pertemuan seramai 75 orang wakil-wakil pertubuhan di Victoria Institution telah membuka laluan kepada penubuhan Majlis Belia Malaya pada 23 Julai 1948. Berikutan daripada penubuhan Jawatankuasa Khas Sementara Belia ini, Tun Abdul Razak Hussein dan Tuanku Ja’afar ibni Tuanku Abdul Rahman telah mewakili Tanah Melayu di Persidangan Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) di Brussel, Belgium. Bertitik tolak daripada noktah tersebut, WAY telah mengiktiraf MBM sebagai JK Kebangsaan baginya di Tanah Melayu. Perwakilan belia yang bersidang pada Julai 1948 telah berbincang dan berusaha menubuhkan Majlis Belia Negeri (MBN) dan Settlements. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Prince Wellesley telah ditubuhkan pada 17 November 1948 dan merupakan MBN yang pertama dalam sejarah pergerakan belia Negara.

MBM terus berperanan sebagai wadah penyatu belia selepas kemerdekaan dan meraih pelbagai pencapaian sebagai pemegang taruh terpenting pembangunan belia Negara termasuk mempelopori kewujudan dasar belia. Berkat perjuangan para senior MBM telah diiktiraf sebagai badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan sebagaimana yang tercatat di dalam Akta 668 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 di mana Seksyen 49 dan 54 memperuntukkan pengiktirafan, objektif, fungsi dan peruntukkan. Seksyen 50 memerihalkan peranan fungsi badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan ialah —

(a) untuk menyalurkan suara belia kepada kerajaan;

(b) untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjalankan program dan aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan belia daripada aspek pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia; dan

(c) untuk melaksanakan apa-apa fungsi lain di bawah Akta ini.

MBM PEMBAWA SUARA BELIA

Terma yang penting di sini adalah MBM sebagai pembawa suara belia. Di dalam kertas kerja bertajuk Hala Tuju Majlis Belia Malaysia di dalam Majlis Perundingan Belia Negara Ogos 2010 jelas menyebutkan hasrat MBM untuk menjadi ‘Bottom Billion’ atau jurubicara rakyat dalam apa sahaja perkara berkaitan dengan belia baik di peringkat akar umbi, nasional mahupun antarabangsa.

Inilah peranan utama yang harus dimainkan secara serius oleh kepimpinan MBM semasa. Kami sering mempertegaskan peranan sebenar Exco MBM yang sering dialpakan iaitu membawa suara belia akar umbi ke atas; membawa peluang-peluang di atas turun ke bawah; dan mencari dana bagi disalurkan ke pertubuhan-pertubuhan belia.

Suara belia juga terkait dengan 3 peranan umum pertubuhan belia sebagaimana yang disebut oleh Presiden MBM yang ke – 16 Dato’ Saifuddin Abdullah iaitu menjalankan aktiviti; menganjurkan kebajikan; dan menggerakkan advokasi. Peranan ketiga ini iaitu menggerakkan advokasi terkait dengan kemahiran membawa suara belia akar umbi sehingga didengari dan ditangani oleh pihak Kerajaan.

Persoalan utamanya di sini jelas ialah tentang kemampuan MBM membawa suara belia akar umbi pelbagai kelompok benar benar berkesan sehingga didengari. Sejauh mana kemampuan MBM menjadi benar benar inklusif membawa suara dan membela nasib 8 kumpulan sasar belia yang termaktub di dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) iaitu belia bersekolah, belia pengajian tinggi, belia bekerjaya, perkumpulan belia, belia massa, belia Malaysia antarabangsa; belia minoriti dan terpinggir dan belia berisiko.

Pesanan para senior dan pimpinan seperti Presiden MBM ke-15 dan Presiden MBM ke-6 kepada pimpinan MBM semasa ialah MBM harus membawa suara ‘the concern of the majority’ dan rakyat marhaen yang sering diabaikan dan dipandang sepi oleh aparat pemerintah dan masyarakat.

Sejarah kegemilangan MBM memang sering terkenal membawa suara-suara belia dan rakyat yang tertindas sehingga MBM sinonim dianggap sebagai “the conscience of the society” sehingga MBM digeruni oleh lawan dan kawan. Terkadang juga MBM dikritik dan dipertikai kemampuan dan legitimasi MBM mewakili suara belia.sebagai paradoks. Kita harus buktikan bahawa ia bukannya paradoks tetapi ia adalah satu kenyataan.

STRATEGI MENJADI JURUBICARA YANG BERKESAN

Terdapat beberapa strategi dan mekanisme untuk terus memastikan relevensi MBM sebagai pembawa suara belia berkesan.

Pertama, MBM sebagaimana disarankan oleh Presiden MBM yang ke-18 untuk melakukan ‘expansion’ di mana MBM harus bekerja membawa masuk gabungan-gabungan baru yang mewakili suara-suara signifikan kelompok-kelompok belia di samping menghidupkan gabungan-gabungan yang sedia ada. MBM sedang serius memikirkan gabungan-gabungan baru seperti belia OKU, belia tahfiz, belia berkemahiran dan belia seniman. Gabungan sedia ada harus diperkasakan dan dibugarkan agar terus mengakar dan merimbun, mencair dan mencair.

Kedua, pemimpin MBM harus merapati sebanyak mungkin perkumpulan belia berdasarkan minat khusus seperti kumpulan skyrunner, pasukan payung terjun, kabbadi dan lain-lain.

Ketiga, pemimpin belia dan belia itu sendiri harus dibekalkan dengan latihan pembangunan kapasiti dan dalam konteks yang sedang kita bicarakan ialah latihan advokasi dan membuat bising sekaligus pemimpin belia harus merapati pelbagai kelompok belia untuk mendengar permasalahan dan isu-isu mereka. Mungkin buku From Dictatorship to Democracy karya Gene Sharp dan modul-modul terbitan National Youth Agency (NYA) United Kingdom sesuai untuk digunakan bagi melatih kemahiran advokasi ini. Kemahiran mendengar merupakan salah satu kemahiran yang penting menurut Jo Owen dalam bukunya How to Lead. Menurut Jo Owen (2018), “listening is much more difficult than talking”. MBM harus menjadi “listening government” persis Kerajaan Nabi Sulaiman a.s yang tidak mengabaikan suara rakyatnya hatta sekecil suara semut.

Keempat, Penerangan MBM telah mewujudkan platform-platform untuk membuat bising seperti #Cakaplah kerjasama Sinar Harian bagi membincangkan isu-isu yang dekat dengan belia dan rakyat Malaysia seperti isu PTPTN, PTPK, prestasi Kerajaan semasa dan Pilihanraya Kecil (PRK). Penerangan MBM juga mewujudkan Speaker Corner bagi memberikan pelantar bicara kepada pemimpin belia bersuara dan bercerita dan pertama telah diadakan di Putrajaya pada  4 Mei yang lalu.

Kelima, MBM melalui kenyataan-kenyataan medianya akan terus menyuarakan isu-isu utama belia. Era Malaysia baharu, walaupun Kerajaan berubah namun permasalahan tetap sama iaitu masalah berkaitan dengan ekonomi dan sara hidup. Justeru MBM akan fokus mendesak Kerajaan agar gaji minima dinaikkan segera kepada RM 1500 dan lebih realistik bagi belia yang hidup di bandar gaji minima adalah RM 1800 sebagaimana dapat kajian Belanjawanku yang dijalankan oleh Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Kita akan terus membawa suara-suara rintihan di bawah termasuk permintaan belia Kelantan khususnya di Tumpat agar Kerajaan memanjangkan jajaran landasan sehingga ke Pengkalan Kubor Tumpat kerana Tumpat menurut data E-Tegar merupakan peratusan tertinggi miskin tegar di Kelantan iaitu 26.67%. Ia juga selaras dengan agenda “Kemakmuran Bersama” yang dicanang-canangkan oleh pihak Kerajaan sempena setahun pemerintahan Kerajaan baharu.

Keenam, strategi penularan atau viral harus dimainkan oleh pemimpin MBM dan badan gabungan untuk setiap kenyataan media yang dibuat oleh MBM kerana “the currency of the world today is ideas and like”.

Ketujuh, mendokong idea Kuasa Belia atau Youth Power yang diperjuangan oleh Menteri Belia dan Sukan agar menempatkan perwakilan belia di semua sektor pembuatan dasar dan keputusan sehingga terealisasinya prinsip Hart Ladder of Participation di mana belia dan orang dewasa terlibat secara bersama membuat keputusan untuk kebaikan Negara. Justeru MBM dan badan gabungan harus bersama memperjuangkan agar wakil wakil belia berada di semua peringkat sebagai ahli majlis, lembaga pelawat hospital, majlis agama, lembaga perpustakaan dan ahli parlimen. Di Parlimen kita hanya ada 27 Ahli Parlimen di bawah umur 40 tahun yang tidak ‘reflect’ dengan jumlah populasi belia 14.7 juta jiwa. MBM juga untuk pengetahuan semua telah menggerakkan “Youth Taskforce for International Affairs and Diplomacy” di bawah naungan Menteri Luar bagi memberikan platform para belia menyumbang kepada polisi dasar luar Malaysia setelah hasrat Kerajaan melalui Wisma Putra untuk merakyatkan dasar luar dan dasar luar bermula di rumah. MBM juga dalam usaha memohon dan melobi untuk menduduki kerusi Majlis Sara Hidup Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri bagi mewakili belia menyampaikan pandangan dan idea berkenaan sara hidup belia.

Kelapan, memperkasa platform suara belia seperti Majlis Perundingan Belia Negara dan Parlimen Belia kerana ia merupakan platform yang sah menyalurkan suara belia akar umbi terus kepada Menteri Belia dan Perdana Menteri serta JK Kabinet Anak Muda yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

AMANAH MEMBAWA SUARA BELIA

Saudara saudari sekalian,

Sesungguhnya membawa suara belia adalah amanah berat yang dipikulkan kepada kita semua. Kita semua adalah pekerja upahan yang diupah oleh belia dengan harapan kita benar benar memperjuangkan harapan, aspirasi dan isu mereka. Dr. Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti dalam bukunya Fiqh Siasah mengutip kisah Abu Muslim al-Khawlani yang memberikan ucapan salam kepada Khalifah Muawiyah Abi Sufyan dengan lafaz Assalamualaikum wahai ajir! (pekerja upahan). Khalifah Muawiyah tidak memarahinya bahkan menjawab salam dengan baik kerana insaf bahawa pemimpin bukanlah sesuatu keistimewaan tetapi merupakan sesuatu bebanan amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Begitu juga kita wahai teman-teman pimpinan MBM sekalian bahawa kita ini semua merupakan pekerja upahan yang bertanggungjawab untuk membawa suara-suara mereka untuk kita perjuangkan.

FOKUS KEPADA PEMBANGUNAN BELIA  

Selain daripada suara belia yang harus dipikul, sebagai pemimpin belia mempunyai tanggungjawab asas yang lain apa yang disebutkan sebagai SOPS. SOPS seperti yang dibahaskan dalam buku Youth Development Principles and Practice in Out-of-School Time Settings di mana para belia kita memerlukan daripada kita Supports (Sokongan); Opportunities (Peluang); Programme (Program); dan Services (Perkhidmatan). Inilah fokus sebenar pembangunan belia agar pemimpin belia memahami tugasan dan fungsi keberadaan mereka sebagai pemimpin MBM dan badan gabungan.

Non partisan.

PENUTUP

Saudara saudari sekalian,

Marilah sama-sama kita bertekad untuk terus beriltizam bersama pergerakan belia agar mengembalikan kepercayaan dan memposisikan harapan agar MBM dan seluruh pergerakan belia terus kekal releven sebagai pergerakan rakyat, pergerakan ilmu dan bakti dan pergerakan massa yang berperanan membina belia dan Negara.

Selamat bersidang buat semua.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »