Jufitri Bin Joha
“Melahirkan Pemimpin MBM Yang Berwibawa : Dia – Yang Tinggi Tampak Jauh, Yang Dekat Julung Bersua”
Sempena
Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MBM kali ke-70
24 Januari 2022
Hotel Tenera Bangi, Selangor
Youth [is] not a time of life but a state of mind…
– Robert F. Kennedy (1996), borrowing from Samuel Ullman, “Youth” (1934)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
MUQADDIMAH
Saudara saudari sekalian,
Persoalan kepimpinan merupakan persoalan sangat sinonim dengan misi kemanusiaan dan kehambaan. Manusia tidak diutuskan melainkan untuk menghambakan diri kepada Tuhan semesta alam, memimpin dan memakmurkan alam. Firman Allah Taala :
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi“. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?“ Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. ~ Surah al-Baqarah : Ayat 30 ~
Dalam Tafsir Ibn Kathir menyebutkan bahawa tujuan pertanyaan para malaikat adalah untuk menyingkap tabir hikmah penciptaan manusia yang sinonim melakukan kerosakan (maksiat) dan menumpahkan darah (yang tidak pada haknya) dan sesungguhnya Allah Taala maha mengetahui kepentingan umum atau maslahah (public interest) penciptaan manusia dan telah diutuskan para rasul dan golongan yang sewaktu dengannya (termasuk pemimpin).
Ternyata misi penghantaran Nabi Adam a.s dan seluruh manusia adalah mengemban amanah kepimpinan untuk memakmurkan alam ini dan amalan ini akan dinilai di akhirat kelak. Mohamad Faris (2016) ketika mengomentari ayat di atas dan saya petik “…there are two functions that God allocates to humanity:
i.) To be a slave of God;
ii.) To be a vicegerent or successive authority on earth.”
Menariknya selanjutnya Mohamad Faris menyebut bahawa dengan mengetahui tujuan dan hakikat kehidupan maka manusia akan menjadi sangat produktif. Tiga formula beliau untuk menjadikan manusia produktif iaitu i.) Purpose-led productivity, ii.) Value-driven productivity dan iii.) Soul-guided productivity. Inilah juga formula untuk menjadi pemimpin yang produktif, kreatif dan memberikan impak perubahan dalam keluarga, organisasi, masyarakat dan dunia.
Acapkali saya bertandang di mana-mana arena pengucapan awam, pastinya saya menyebut tentang pentingya makna kehidupan kerana persoalan inilah menjadi persoalan utama setiap manusia. Di Barat suatu ketika dahulu mereka taksub atau obsess dengan kejayaan fizikal semata-mata sehingga melupakan persoalan tujuan kemanusiaan dan dimensi kerohanian namun kita lihat semakin ramai masyarakat barat yang kembali kepada persoalan asas ini seperti Larry Julian God is My Ceo, Simon Sinek Start With Why dan Profesor Paul Bloom (2021) dalam The Sweet Spot menjelaskan manusia mencari makna dan kepentingan hidup dengan mengejar kejayaan yang memerlukan perjuangan, penderitaan dan kehilangan. Tanpa penderitaan dan ujian hidup akan jadi kosong dan membosankan.
Justeru, Profesor Paul Bloom telah pun membuka sedikit jawapan kepada persoalan misi ‘pendaratan’ manusia ke bumi walaupun tabiat bashariah (kemanusiaan) yang suka membuat kerosakan dan menumpahkan darah. Sebab itulah manusia perlu sentiasa diperingatkan dengan misi kemanusiaan agar tidak leka dan sombong bahawa mereka adalah asalnya daripada Nabi Adam a.s. dan Nabi Adam a.s. daripada tanah.
“Manusia asalnya daripada tanah,
Makan hasil tanah,
Berdiri atas tanah,
Akan kembali ke tanah.
Kenapa masih bersifat langit?
~Hamka~
Adam adalah yang teristimewa
Adam yang pertama menghuni syurga
Yang putih, yang hitam, semua dari Adam
Mengapa berperang kita darinya seorang?
Yang putih, yang hitam, dalam satu alam
Hayatilah hidup yang diberi Tuhan
Adam adalah bapa kita semua
Adam diturun ke bumi dari syurga
~Faizal Tahir~
SENARIO DAN KONSEP KEPIMPINAN
Saudari saudara sekalian,
Sejurus memahami dan menghadami persoalan kehambaan dan kemanusiaan, manusia amat memerlukan kepimpinan yang baik untuk memimpin mereka dan mentadbir alam ini yang telah pun didahului dengan pengutusan para rasul kepada mereka. Selepas kewafatan para rasul, amanah kepimpinan ini harus terus digalas sebaiknya bagi menjadi penghulu manusia yang Dia – yang tinggi tampak jauh, yang dekat julung bersua. Pergi tempat bertanya, pulang tempat berberita. Yang kusut harus diselesaikannya, yang keruh harus dijernihkannya. Peribahasa minang menyebut bahawa pemimpin itu “Didaulukan salangkah, ditinggikan sarantiang”.
Manusia sangat dahagakan kepimpinan yang soleh (baik) dan Dr. Tareq Suwaidan (2018) menyimpulkan bahawa persoalan kepimpinan merupakan salah satu daripada lima faktor krisis yang dihadapi oleh ummah selain daripada faktor akhlak & etika, kemunduran, keberkesanan (effectiveness) dan pemikiran & ideologi. Profesor Kamal Hassan (2021) dalam buku terbarunya Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics juga melahirkan kebimbangan akan dua fenomena politik negara yang menjijikan iaitu i.) rasuah politik & kepura-puraan dan ii.) perpecahan masyarakat dek politik yang membawa kepada titik terbawah kesurutan (lowest ebb).
Ini perkara yang harus ditekan butang kecemasan yang memerlukan perhatian, kecaknaan dan penyelesaian tuntas daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) memandangkan MBM adalah inkubator pengeraman kepimpinan belia dan negara. MBM sentiasa tidak sunyi mengeramkan kepimpinan negara di semua strata masyarakat dan hirerki kepimpinan.
Persoalan dan perbahasan kepimpinan harus disemak dan diperdebatkan semula oleh MBM bagi terus berperanan melahirkan kepimpinan yang baik. Kekacauan dan ketidakstabilan politik yang berlaku dewasa ini dalam negara kita memerlukan kepada muda yang lebih malar segar. Ramai menganggap jawatan dan kepimpinan adalah ghanimah atau harta peninggalan yang perlu direbuti sedangkan memimpin kata Pak Agus Salim (pejuang kemerdekaan Indonesia) adalah menderita atau dalam bahasa Belanda disebut Leiden is Lijden. Ia menggambarkan betapa pengabdian dan keikhlasan para pemimpin untuk rela menderita demi rakyat yang dipimpinnya. Pemimpin pejuang seperti Pak Agus Salim, Ahmad Boestamam, Rosli Dhobi dan Tan Malaka berjuang sehingga dipenjarakan sehingga Tan Malaka menyebut “Siapa ingin merdeka, ia harus rela masuk penjara.” Kita tidaklah perlu singgah di penjara tetapi cukup dengan menghayati kepimpinan adalah amanah dan bukan ghanimah. Kata pepatah Arab, “Pemimpin mereka adalah khadam rakyatnya”. Ini mengingatkan saya kepada motto Majlis Belia Hindu, Service Above Self dan konsep kepimpinan yang dipopularkan Junior Chamber International (JCI) iaitu Servant Leadership.
Saudara saudari sekalian,
Dalam buku kepimpinan terbaik nukilan Kouzes dan Posner bertajuk Credibility How Leaders Gain and Lose It, Why People Demand It menyimpulkan bahawa “credibility is the foundation of leadership” dan kredibiliti adalah berkenaan dengan kebenaran (truthfulness) dan amanah (honesty). Dalam konsep kepimpinan Islam, kedua-dua konsep ini merupakan konsep yang mandatori untuk para rasul dan sudah tentu Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ tokoh kepimpinan nombor wahid (satu) yang disenaraikan oleh Michael H. Hart (1978) dalam buku The 100 : A Ranking of the Most Influential Persons by History mendahului Jesus Christ, Buddha, Confucius dan Aristotle.
Saudari saudara sekalian,
Secara tradisi, nilai-nilai masyarakat Cina dipengaruhi oleh gabungan fahaman Konfusianisme, Buddhisme dan Taoisme. Konsep kepimpinan konfusianisme menekankan konsep “Xiu Shen, Qi Jia, Zhi Guo, Ping Tian Xia” – yang membawa maksud memupuk akhlak kendiri, mengendalikan keluarga, mentadbir negara dan membawa keamanan kepada dunia. Sifat kepimpinan harus bermula daripada pembudayaan kendiri. Seseorang pemimpin mesti mempelajari dan mengamalkan ciri-ciri keikhlasan, berpengetahuan, analitis, budi pekerti dan kelakuan mulia, barulah dia dapat menguruskan keluarga dan seterusnya mentadbir negara dengan baik serta membawa keamanan kepada dunia. Manakala dalam ajaran Taoisme, LaoTze menekankan “Dao Fa Zi Ran” – pematuhan kepada hukum semula jadi dan “Wu Wei” -tidak bertindak. “Tidak bertindak” dalam pengertian ini tidak bermakna tidak melakukan apa-apa, tetapi tidak memaksakan keinginan dan pemikiran sendiri pada perkara-perkara luaran, dan ianya bukan untuk dilakukan secara buatan atau sengaja. Tindakan perlu dilakukan dengan tepat mengikut hukum semula jadi yang sedia ada.
Menurut ajaran Buddhisme, Dasa Rāja Dhamma atau 10 Sifat-sifat Luhur pemerintah merupakan garis panduan kepada pemerintah atau pemimpin dalam pengurusan negara dan organisasi. Iaitu:
- Dana (kemurahan hati)
- Sila (bermoral)
- Paricagga (berkorban)
- Ajjava (tulus hati dan berintegriti)
- Maddava (ramah tamah dan sopan santun)
- Tapa (kesederhanaan)
- Akkodha (tidak berniat jahat, bermusuhan dan membenci)
- Avihimsa (tanpa kekerasan)
- Khanti (sabar dan rendah hati)
- Avirodhana (tidak menimbulkan atau mencari pertentangan dengan hasrat rakyat)
Oleh itu, akhlak yang mulia, kepimpinan melalui teladan, munasabah, integriti, tindakan strategik, berilmu, berkemahiran dan menepati kehendak rakyat atau pengikut merupakan ciri-ciri utama seseorang pemimpin menurut budaya kaum Cina.
Dalam tradisi Sikh, saudara Harmit daripada Gabungan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBSM) merumuskan kepimpinan sebagai,
“Sikh history is dotted with rich examples of leadership, both in character and institutional patterns. The life of Guru Hargobind (the sixth prophet of the faith) best describes the Sikh perspective, as he contributed to institutionalizing the faith while inspiring adherents. He is best known for adorning two swords (Miri and Piri), which appeared peculiar during a time when warriors in the Sikh army only wore one. However, he explained that the two swords represent the dualistic nature of leadership, comprising of temporal (Miri) and spiritual development (Piri). In this regard, a leader is someone on a quest for growth as the term ‘Sikh’ literally translates to the concept of being a student. Through this, a leader exemplifies the desire to improve one’s spiritual and material position in the manner deemed appropriate. Extrapolating this concept with Sikhism’s emphasise on community building, Miri (derived from the Arabic term ‘Ameer’) would ideally represent an individual’s effort to develop and empower one’s community. Sikhism’s communal ideology stresses the importance of adding value to humanity, for what else could better serve the purpose of life? On the other hand, Miri is complimented by Piri (derived from the Persian ‘Peer’) as it represents the lone journey ‘untuk menjadi lebih iman’. In this way, although a leader may be perceived as a shining light to one’s community, this light only shines as bright as one’s moral character. Likewise, we are required to constantly strive to improve ourselves, with the promise of becoming a better and wholesome leader. This elaborates the approach that leaders function for the purpose of progressing society and not for personal gain. In the Malaysian context, I call on the next generation of youth to continue the struggle of improving out beautiful country as we are desperate for young blood capable of seizing the opportunity to serve the rakyat”.
Begitulah keindahan kepelbagaian dan kemajmukan yang kita pelajari daripada badan gabungan MBM yang unik dan pelbagai. Tradisi mempelajari daripada satu sama lain perlu diteruskan dalam learning organization seperti MBM dengan sikap hormat kritis dan menghormati kepelbagaian dan perbezaan pendapat.
Saudara saudari sekalian,
Sebagai individu yang diamanahkan menjadi pimpinan etnik Minang di Malaysia, masyarakat Minang juga punyai konsep kepimpinan yang baik seperti sifat ulet yang bermaksud kemampuan menggunakan potensi dengan tangkas dan cekatan (cekap membuat sesuatu) seperti yang terkandung dalam pepatah :
“Capek kaki ringan tangan, Capek kaki indak panarung, Ringan tangan indah pamacah.”
Kepimpinan dalam budaya Minangkabau juga menekankan sifat adil, kreatif, kerja keras, arif, bijaksana, sopan, setia, waspada, berani, sabar, disiplin, tidak lekas puas, rajin, harga diri, percaya diri, kemauan kuat dan merakyat. Dalam sifat merakyat inilah terkandungnya pepatah Minang yang berbunyi “Didaulukan salangkah, ditinggikan sarantiang”. Djanalis (2011) menyorot bahawa yang dimaksudkan “Didaulukan salangkah” ialah “Dalam bekerja, ia memang dihormati, pendapatnya diperhatikan tetapi tidak boleh mendikte. Ia harus menganggap pendapat orang lain, bawahan, sama perlunya untuk diperhatikan karena jaraknya dengan anak buahnya hanya satu langkah. Dengan anak buah, tidak boleh menganggap enteng”. Manakala “Ditinggikan sarantiang” bermaksud “Dia memang dihormati, tapi tidak berlebihan. Oleh kerana itu, seorang pemimpin harus mencetak / mendidik kader-kadernya sehingga kemampuannya tidak banyak berbeda dengan dia. Dengan demikian, apabila ia pensiun sudah ada penggantinya yang kemampuannya hampir sama dengannya. Dalam menghormati pemimpin tidak boleh berlebihan, secukupnya saja”.
SENARIO KEPIMPINAN NEGARA
Saudari saudara sekalian,
Mengambil kira senario kepimpinan dan landskap politik negara yang disimpulkan oleh Nazir Razak (2021) perlu kepada menentukur semula sistem atau recalibrating the system daripada tiga kepala raksasa yang mendominasi kanvas politik negara iaitu identiti, wang dan pemusatan kuasa. Suka atau tidak, MBM mesti terus berperanan menyalurkan putera puteri terbaiknya untuk negara. Graduan-graduan terlatih dari sekolah kepimpinan MBM harus menempati wadah-wadah kepimpinan parti politik negara sekaligus bertanding dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 selaras dengan kempen United Nations (UN) #NotTooYoungToRun (#NTYTR) dan ketetapan Sidang Dewan Tertinggi MBM pada 14 Ogos 2020 yang mendesak agar 50 peratus muka baharu dan anak muda ditampilkan dalam PRU ke-15. Ia juga sangat selaras dengan #Undi18 dan Gerakan Undi 65 #GUN65. Kempen dan advokasi #NTYTR dan #GUN65 mesti diteruskan dan momentum calon-calon muda mula mendapat tempat. Pemimpin muda berbakat jangan dipandang sebagai ancaman tetapi aset yang harus digilap. Jangan jadi seperti Hang Nadim dalam sejarah Singapura yang dianggap sebagai ancaman sehingga dibunuh secara fizikal. Kempen Selamatkan Hang Nadim! perlu digerakkan jika perlu.
MBM bukan hanya membekalkan pemimpinnya ke hanya satu parti politik bahkan pembekal kepada semua parti-parti politik utama di persada tanahair. Wakil belia yang ada dalam parti parti ini akan membawa budaya baharu dan membentuk fikrah, persefahaman dan tindakan yang harmoni apabila berada di platform pembuatan polisi dan dasar negara. Untuk itu, dengan berbaki masa yang ada, MBM berhasrat bertemu dengan ketua-ketua parti politik bagi menawarkan saf kepimpinan belia yang sudah bersedia untuk terjun ke arena politik dan yang sudah sedia bertanding dan berkhidmat.
Saya yakin kepimpinan belia sedia ada sudah sangat matang dan rasional yang mahukan kestabilan dan budaya politik baharu. Kualiti kepimpinan yang ditawarkan mesti bersifat negarawan yang selalu memikirkan masa depan generasinya. Politician always thinking about next election but statesmen always thinking about next generation.
MBM juga berhasrat sekali sekala apalah kiranya Malaysia mempunyai Perdana Menteri yang sedikit muda seperti Jacinda Arden di New Zealand yang pastinya akan memberikan keterujaan dan semangat baharu kepada rakyat Malaysia. Jacinda Arden yang mencetuskan Arden Effect merupakan ketua kerajaan wanita termuda di dunia pada 2017 pada usia 37 tahun dan ketua kerajaan kedua selepas Benazir Bhutto yang melahirkan anak ketika menjawat jawatan Perdana Menteri. Pesan Arden sebagaimana yang tercatat dalam buku Jacinda Arden Leading with Empathy, “My message to girls and women, empathy and compassion and generosity are all important leadership traits.” Empati merupakan ramuan penting dalam kepimpinan. Empati menurut Debra Stevens (2021) sebagai “A genuine desire to understand someone else’s experience” manakala pakar psikologi Daniel Goleman membahagikan empati kepada tiga jenis iaitu dan yang paling penting ‘compassionate empathy’.
KEPIMPINAN BELIA NEGARA
Saudara saudari sekalian,
Melahirkan pemimpin negara yang baik memerlukan proses yang panjang dan bersahaja dalam gerakan belia. MBM dan badan gabungan perlu agresif mengkader dan melatih kepimpinan belia daripada peringkat asas dan sejak awal remaja dibangku sekolah. Kita tidak mahu melahirkan belia malas berfikir tentang perjuangan membina negara. Kata Soekarno : “Jika anak muda berumur 21 atau 22 tahun masih belum mahu memikirkan soal negara maka wajar digondoli kepalanya”. Kita wajar memikirkan untuk melahirkan kepimpinan anak muda hebat bertaraf dunia seperti Samantha Reed Smith, Ridhima Pandey dan Greta Thunberg yang terkenal dengan aktivisme alam sekitarnya dan mereka telah membuktikan “No One is Too Small to Make a Difference”.
Jika dulunya MBM mempunyai Projek Kepimpinan MBM in Business (MIB) 300 untuk melahirkan pelapis pasca 30 tahun ke bawah maka sudah sampai masanya kita mempunyai projek kepimpinan pasca pandemik dengan melahirkan kepimpinan yang berwibawa dan kebal masa depan (future proof) kerana masa depan sangat tidak menentu dan ekstrem sebagaimana yang disifatkan oleh Profesor James Canton Pengarah Institute for Global Futures. Selain perlu mempunyai projek kepimpinan baharu, MBM dan badan gabungan juga harus mempunyai modul kepimpinan baharu yang mengambil semangat zaman atau zeitgeist, sukatan (syllabus) bacaan kepimpinan MBM, siri-siri latihan pembinaan kapasiti kepimpinan & kepengikutan bahkan akademi kepimpinan tersendiri yang dipimpin oleh sifu-sifu belia dan tokoh-tokoh belia yang lahir hampir saban tahun. Untuk itu, wajar kita mengesyorkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melibaturuskan MBM secara serius dalam Akademi Kepimpinan Belia yang bakal dijenamakan semula nanti dan juga menginstitusikan tokoh belia negara sebagaimana resolusi Kolokium Maya Tokoh Belia Negara anjuran Citar UKM dan MBM pada 14 Januari 2022
Dengan adanya akademi kepimpinan belia seumpama ini, MBM dapat menerapkan nilai-nilai unggul kepimpinan melalui modul-modul seperti idealisme, intelektualisme, spiritualisme, aktivisme, globalisme, lokalisme dan futurisme.
MBM juga terlibat menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai projek kepimpinan termasuk Pemetaan Kepimpinan Visi 2077 Abad ke-16 Hijrah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pusat Kepimpinan Belia Hub Mizan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – UNESCO. MBM dan badan gabungan bertanggungjawab menggagas dan melahirkan Parlimen Belia, Felo Perdana & Malaysia Youth Volunteer Leader (MyCorps) dalam Makmal Transformasi Generasi Y pada 2010, Felo Ngo dan Penasihat Muda Perdana Menteri (PM2PM) serta mengusulkan penubuhan Majlis Sukarelawan Malaysia (MSM). Kepimpinan MBM sarat dengan idea-idea kepimpinan dan perlaksanaannya secara praktikal.
Saya mengimpikan keluaran akademi kepimpinan MBM ini mempunyai idealisme, nyalarasa perjuangan yang tinggi dan kualiti yang dikagumi lawan dan kawan serta menjadi rebutan parti-parti politik tanahair dan pelbagai institusi masyarakat.
Latihan memperkasakan kepimpinan bernuansakan integriti intelektual mesti diterapkan dalam modul-modul kepimpinan MBM. Mentor saya Allahyarham Datuk Jaafar Rahim memerikan integriti intelektual atau intellectual integrity merangkumi empat eleman iaitu pemikiran kritis (critical thinking), pembacaan kritis (critical reading), penulisan kritis (critical writing) dan pidato kritis (critical speaking). Empat elemen ini boleh dikembangkan dan dimodulkan dalam kalangan pemimpin belia sebaiknya di semua peringkat dengan penambahan kepada aksi kritis (critical action) dan refleksi kritis (critical reflection).
Pemimpin belia yang mahu dilahirkan bukan hanya bertaraf jaguh kampung namun bertaraf jaguh dunia seumpama Greta Thunberg dan sewajarnya MBM terus memposisikan pemimpinnya di platform-platform penting kepimpinan belia global seperti World Assembly of Youth (WAY), African-Asia Youth Government (AAYG), The Non-Aligned Movement (NAM) Youth Network, OIC Youth Forum (ICYF), D8 Youth Council (D8YC) dan lain-lain sebagai lapangan latihan global. MBM juga wajar menghantar wakilnya berlatih di program-program kepimpinan global seperti Peking Unversity Dongfang Scholarships, Asean-China Young Leaders Scholarship, Legatum Institute, Lee Kuan Yew School of Public Policy, International Visitor Leadership Programm (IVLP) dan lain-lain yang yang bertaraf dunia. Program perantisan berkuasa tinggi di United Nations (UN), agensi UN dan di perwakilan Malaysia di luar negara perlu diwujudkan semula bagi memberikan pendedahan global. Ini mampu direalisasikan melalui Youth Taskforce for International Affairs and Diplomacy hasil usahasama Wisma Putra – MBM.
Selain itu, sukacita saya turut mencadangkan program pertukaran belia diperluaskan ke negara-negara Scandinavia seperti Sweden, Denmark, Finland dan Norway bagi menyelami kualiti negara tersebut dan penduduknya yang sentiasa menempati sepuluh kedudukan terbaik dalam hampir kesemua indeks-indeks yang ada di dunia ini.
KEPIMPINAN BAHARU MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)
Saudari saudara sekalian, Majlis Belia Malaysia (MBM) sesi 2018-2020 dan 2020-2022 sedang berada di lengkok terakhir garisan penamat kepimpinan. Kurang daripada dua bulan daripada sekarang kita akan memilih kepimpinan baharu yang lebih muda dan berdaya saing. Kepimpinan yang ada sudah terlalu uzur dan kepancitan yang dahsyat memerlukan rejuvenasi kepimpinan baharu yang mampu meneruskan legasi kepimpinan yang jauh lebih baik. Kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang mampu melahirkan lebih ramai kepimpinan yang baik dan bukannya ramai pengikut.
Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai;
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.
Dalam tilikan dan renungan saya, kita sentiasa berhadapan dengan dilema antara sifat baik atau amanah dan sifat cekap atau profesional dalam kepimpinan. Sebaiknya kita mampu melahirkan gabungan kedua-dua kualiti dalam kepimpinan yang mahu dilahirkan namun malangnya kita sukar bertemu. Ada pemimpin yang baik namun tidak cekap manakala sebaliknya ada pemimpin yang cekap namun tidak amanah pula. Hal ini memerlukan kita untuk memilih mana yang terbaik antara kedua senario ini untuk memimpin organisasi jika keadaan terdesak kerana mencari kesempurnaan hampir mustahil di zaman ini. Namun yang terbaik yang menghampiri kedua-dua ciri tersebut. Firman Allah Taala :
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” ~ Surah al-Qasas : Ayat 26 ~
Saya juga suka menekankan tentang perkongsian saya tentang kualiti umum yang perlu ada kepada kepimpinan MBM yang bakal dipilih iaitu mesti ada kredibiliti (credibility), kesediaan (availability), komitmen (commitment), kapasiti (capacity) dan kemampuan (capability). Saya juga suka menekankan keseimbangan komposisi (gender, fahaman politik, lokaliti, kaum, agama, integrasi dan kelulusan) dan formulasi kepimpinan baharu MBM mestilah membayangkan kepimpinan yang inklusif dan berkualiti bagi meningkatkan imej dan wajah MBM yang segar, hebat dan disegani serta mewakili aspirasi bangsa Malaysia dan mini keluarga Malaysia.
Kepimpinan MBM mesti semuanya bersifat pemandu (driver) dan bukannya penumpang (passenger). Kepimpinan MBM juga mesti bersifat ukuran dan bukan siaran. Kepimpinan MBM bukan pimpinan yang bersifat belonan, besar kerana ditiup-tiup dan pecah apabila dicucuk. Kepimpinan MBM mesti orang perjuangan dan bukan perdagangan. Kepimpinan MBM mesti kreatif, inovatif, inklusif, agresif, proaktif dan progresif bagi memacu MBM ke genting yang jauh lebih tinggi. Kepimpinan MBM wajar terkehadapan dengan semangat profesional, proporsional (sederhana) dan pantas beradaptasi terhadap dunia digital yang sangat ligat berubah selaras dengan Revolusi Industri Keempat dan Masyarakat 5.0. Kepimpinan MBM mesti mampu menyarung jersi MBM sepenuh hati bagi membawa jenama MBM ke seluruh pelusuk negara dan seantero dunia.
Saya berharap calon-calon yang bertanding berkempen secara sihat, buktikan bahawa kita mampu menjadi contoh kepada pemilihan yang aman dan harmonis kerana sukacita saya ingatkan semula kepimpinan adalah amanah dan perkara yang akan dipersoalkan di hari kiamat. Yang menang perlu berasa sedih kerana menerima bebanan amanah dan yang kalah harus bergembira kerana terlepas beban amanah. MBM wajar menganjurkan debat calon Presiden MBM bagi memberikan ruang calon-calon mempersembahkan idea, hujah dan manifesto yang ingin ditawarkan kepada perwakilan dan ahli belia seluruh Malaysia.
PENUTUP
Saudara saudari sekalian,
3 tahun pantas berlalu Bagai sepatung mandi, Selama sepatung cebok, Selangkas betik berbuah. Saya dan kepimpinan sesi ini memohon maaf atas banyak kekurangan dan kami akan berusaha menghabiskan masa kepimpinan kami dalam keadaan terbaik dan husnul khatimah Insya Allah.
Selamat berkempen dan memilih pimpinan baharu berwibawa!
RUJUKAN
Azman Hussin, Rozhan Othman & Tareq Suwaidan, 2018. Prophet Muhammad ﷺ The Hallmark Leadership. Petaling Jaya: Dakwah Corner Bookstore (M) Sdn. Bhd.
al-Bagahwi, 2004. Tafsir al-Baghawi al-Musamma M’aalim at-Tanzil. Beirut: Dar al-Khutub al-Ilmiyyah.
Debra Stevens, 2021. Stand Out 5 Keys Skills to Advance Your Career. Harlow: Pearson Education Limited.
Djanalis Djanaid, 2011. Manajemen dan Leadership dalam Budaya Minangkabau. Malang: UB Press.
Greta Thunberg, 2019. No One Is Too Small To Make Difference. United Kingdom: Penguin Books.
Ibn Kathir, 1997. Tafsir al-Quran al-Azhim. Beirut: Dar al-Ihya’ at-Turath.
Kamal Hassan, 2021. Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics. Kuala Lumpur : Emir Research.
Mohamad Faris, 2016. The Productive Muslim. Swansea: Awakening Publications.
Muhammad Salleh, 2020. Peribahasa Melayu Pemeri Akal Budi. Pulau Pinang: USM.
Nazir Razak, 2021. What’s In A Name.
Paul Bloom, 2021. The Sweet Spot. New York: HarperCollins Publisher.