MAJLIS BELIA MALAYSIA

Turun had umur kelayakan Senator antara usul MPBN

KUALA LUMPUR: Tuntutan supaya kerajaan meneliti keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan Senator dari 30 kepada 25 tahun, antara usul dikemukakan semasa persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang berlangsung hari ini.

Dua usul lain adalah untuk kerajaan memperkenalkan had penggal berturut-turut Ahli Parlimen bagi memperkukuh pembaharuan politik, akauntabiliti dan peremajaan kepemimpinan negara.

Selain memperkasa penglibatan belia dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui nuklear bagi menjamin keselamatan tenaga negara pada masa hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, satu nota akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada masa terdekat berhubung isu-isu yang dibangkitkan sepanjang persidangan kali ini.

“Kami mengambil maklum perkara tersebut dan di bawah Kementerian Belia dan Sukan kami akan melaksanakan segala perkara yang boleh kita buat perubahan dengan kadar segera.

“Bagi kementerian-kementerian lain, sudah pasti kita perlu bawa perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia, mesyuarat Kabinet secara mingguan dan juga di peringkat tertinggi di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Persidangan kali ini, kita buka ruang seluas-luasnya untuk anak muda belia menyuarakan apa juga pandangan dan pendapat.

“Ini merupakan satu langkah dan komitmen kerajaan untuk memperkasakan pembangunan belia bermula daripada peringkat akar umbi, di bawa kepada platform yang sangat teratur, kondusif dan membina. Platform inilah yang akan menjadi titik permulaan untuk kita membuat perubahan bagi masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid.

Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata, permintaan agar had umur belia dinaikkan dari umur 30 ke 35 tahun memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut.

Beliau berkata, pelaksanaan pindaan had umur belia di bawah 30 tahun baru dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan di negara ini.

“Sebarang pindaan atau perubahan yang ingin dilaksanakan, ia perlulah berdasarkan fakta dan data.

“Kalau fakta mengatakan bahawa lebih positif jika had umur belia ini kekal seperti hari ini maka kita akan kekalkan tetapi kalau fakta dan data mengatakan sebaliknya, maka kita boleh kaji semula perkara tersebut.

“Namun, saya masih menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet dan diluluskan di dalam Parlimen tetapi perbincangan tentang perkara ini perlu dilakukan secara berterusan dan boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk dikaji semula dan data itu mesti tepat.

“Kita tidak boleh menurunkan had umur belia itu hanya semata-mata disebabkan oleh sentimen ataupun cakap-cakap satu dua pihak yang mengatakan susah untuk mendapat lebih ramai pemimpin baharu,” katanya. – UTUSAN

Artikel penuh :

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »