SUNGAI PETANI 9 Jan. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Sungai Petani akan menubuhkan Briged Rakan Muda GPMS bagi membolehkan ahlinya terlibat dalam aktiviti kemanusiaan seperti membantu mangsa bencana alam.
Pengerusinya, Khairul Anuar Ahmad berkata, peserta akan menjalani latihan berkaitan pertolongan cemas daripada kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Bomba dan Penyelamat serta lain-lain.
“Sejak kebelakangan ini, berbagai kes bencana mengejut kerap berlaku dan ahli GPMS perlu dibekal pelbagai ilmu mengenai pertolongan cemas,” katanya di Program Amal Sumbangan Beg Sekolah Kepada Pelajar Tahun Satu 2014 di Pejabat Gerakan Belia 4B Sungai Petani di Jalan Jerai di sini baru-baru ini.
Seramai 40 pelajar sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, Sidam dan Pantai Merdeka dipilih menerima sumbangan itu.
Sementara itu, Setiausaha Alumni Gerakan Belia 4B Kuala Muda, Basar Harun pula berkata, langkah diambil oleh GPMS untuk memberi latihan asas berkaitan bencana alam kepada belia-belia di daerah ini, adalah baik sekali.
“Perancangan dibuat itu bakal memberi manfaat kepada masyarakat di daerah Kuala Muda,” katanya.
Menurutnya, belia-belia tempatan boleh mendaftarkan diri bagi menjayakan rancangan itu dan ahli belia 4B yang berminat boleh menghubunginya di talian 012-5270579.