MARANG, 21 April – Jelajah ‘Menggerak Belia’ sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 meneruskan momentum ke checkpoint ketujuh yang berlangsung meriah di Pantai Kekabu, Terengganu bersama belia-belia Tranung yang penuh semangat.
Dalam program ini, pasukan jelajah telah menyempurnakan penyerahan Kotak HBN 2026 kepada Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Puan Nurul Afifa Sofina sebagai simbolik kesinambungan promosi sambutan HBN 2026.
Turut hadir memeriahkan suasana ialah Sdr. Mohd Izham Ahmad, Bendahari Kehormat Majlis Belia Malaysia (MBM); Sdri. Eng Chor Eng, Naib Presiden MBM; Sdr. Amar Abdul Jalil, Exco MBM; serta Sdr. Mukhri Mamat bersama barisan kepimpinan Majlis Belia Negeri Terengganu.
Pelbagai pengisian menarik telah dianjurkan oleh pihak tuan rumah, antaranya sesi Aspirasi Anak Muda, permainan tradisi seperti Titi Bola dan Simulasi Dam Ular, cabaran permainan dart serta konvoi santai bersama Majlis Belia Negeri Terengganu.
Program ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi platform yang memperkukuh perpaduan, memupuk semangat kebersamaan dan menyerlahkan kreativiti dalam kalangan belia Terengganu.









