Transformasi Nasional 2050 (TN50): Wawasan dan Gagasan (WAGAS) Masa Depan Malaysia
Oleh: JUFITRI JOHA
Naib Presiden MBM
Fikrah seorang Negarawan tulen bukan hanya berbicara soal pilihanraya akan datang tetapi yang lebih penting generasi masa hadapan atau dengan izin “A State man not merely talk about next general election but instead next generation”. Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2017 di Parlimen baru-baru ini merupakan aspirasi masa hadapan yang ingin melihat nasib generasi masa hadapan yang lebih gemilang di bawah lembayung sebuah Negara yang maju, berdaulat dan sejahtera. Gagasan TN 50 diungkap dan dipertegaskan kepentingannya sekali lagi oleh Dato’ Seri Najib dalam Perhimpunan Agung Tahunan UMNO 2016.
Uniknya TN50 ialah ia bukannya bersifat top-down tetapi bottom up yang ingin melihat idea, aspirasi dan wacana TN50 datangnya daripada rakyat terbanyak yang mengimpinkan masa hadapan Malaysia yang lebih baik. Ia mencarik amalan kebiasaan sebelum ini yang biasanya sesebuah wagas (wawasan dan gagasan) didatangkan dari atas dan datangnya daripada pemikir-pemikir tersohor Negara. Keunikan kedua ialah penegasan kepada generasi muda pelbagai bangsa sebagai arkitek dan jurutera kepada TN50 sambil difasilitasikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sinonim dengan core business membangun dan menyerlahkan potensi belia.
Sesungguhnya pasca Wawasan 2020 memerlukan suatu lagi lonjakan yang lebih jauh bagi memastikan Malaysia sebagai Negara maju berpendapatan tinggi mampu menjadi sebuah kuasa besar yang diistilahkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam salah satu ucapannya sebagai the middle power. Walaupun Malaysia sebagai sebuah Negara kecil tapi wajar dicitrakan pada masa hadapan sebagai sebuah kuasa besar Dunia Islam yang menawarkan keamanan sejagat untuk seluruh penduduk dunia. Ketika itu Malaysia sinonim menjadi pembela bangsa yang tertindas sambil menegakkan hukum keadilan persis ketika kegemilangan Islam memerintah 2/3 dunia dengan ni’mat rahmat dan keamanan. Dunia yang sedang sengsara dengan penindasan, kekejaman dan kebobrokan seperti yang berlaku di Arakan terhadap etnik Rohingya dan peperangan saudara yang berlaku di Syria mendambakan pembela yang mampu mengangkat harakat dan martabat mereka sebagai a man of dignity sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah al-Isra’ ayat 70,
“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan kami angkat mereka di daratan dan lautan, dan Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan sempurna.”
Kita tidak punyai masa dan pilihan yang banyak melainkan generasi muda wajib menyahut seruan dan cabaran ini. Masa hadapan itu tidak lagi jauh kerana masa hadapan itu adalah sekarang atau “the future is now”. Generasi muda belia adalah pemimpin masa sekarang dan masa hadapan. Seruan dan cabaran ini tidak cukup sekadar disambut dengan semangat dan laungan semata-mata tetapi wajar disambut dengan ilmu dan daya renung masa hadapan yang tajam atau disebut sebagai futuristic thinking. Ilmu dan futuristic thinking merupakan alat berfikir atau thinking tool yang penting bagi menggagaskan citra dan aspirasi masa hadapan secara spesifik dan tepat dengan melihat trend-trend semasa yang berlaku dan pemangkin-pemangkin atau drivers yang menjadi penentu sesuatu perkara yang bakal berlaku. Justeru persiapan memperlengkapkan generasi muda dengan dua persiapan alat ini penting bagi melahirkan idea-idea yang bernas dan terpandu.
Dengan persiapan rapi ini bakal melahirkan lebih ramai generasi muda belia yang mempunyai daya renung masa hadapan yang tajam sebagaimana Barat yang sudah jauh kehadapan pada ketika ini dengan barisan futurists yang mashyur seperti Alvin Toffler, John Naisbitt, James Canton dan Michio Kaku. Ahli falsafah Martin Heidegger sebagai contoh pada tahun 1950an pernah menjangkakan arus revolusi teknologi bakal berlaku dan memukau dan melalaikan kehidupan manusia. Dunia Islam tidak cukup dengan hanya seorang futurist seperti Sohail Inayatullah tetapi memerlukan lebih ramai pemikir masa hadapan yang mampu merubah masa depan Negara dengan izin Allah Taala. Tidak terlambat untuk kita mengejar mereka jika punyai kesungguhan dan keazaman yang tinggi serta kemahuan politik, political will yang tinggi daripada pemerintah Negara.
Sesungguhnya gagasan seperti TN50 dan Bangsa Angkasa atau The Space Nation yang turut pernah digagaskan oleh Dato’ Seri Najib sebenarnya menyatukan kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik untuk berhadapan dengan masa hadapan yang lebih mencabar. Dr. James Canton, seorang futurist tersohor menjangkakan masa hadapan yang lebih ekstrem dan mencabar bakal berlaku. Justeru kita perlu mempersiapkan generasi muda yang siap siaga berhadapan dengan masa hadapan yang ekstrem dan mencabar. TN50 mengajak kita untuk berjiwa besar, melupakan perkara-perkara remeh yang melelahkan sambil memupuk sikap optimis terhadap masa hadapan Negara.
Kita harus terus maju kehadapan tetapi tidak terlupa untuk memerhatikan masa sekarang dan menoleh sejarah untuk dijadikan bekalan dan panduan perjalanan ke hadapan seumpama kita memandu kereta di mana pemandu akan sentiasa melihat kehadapan dengan penuh kecermatan tetapi tidak lupa untuk melihat cermin sisi dan cermin sisi belakang.
Barrack Obama, Presiden Amerika ke-44 telah pun mengumumkan misi ke Marikh 2030 beberapa bulan lepas. Mereka sudah jauh ke hadapan namun tidak terlambat untuk kita terus berusaha melalui TN50 yang bakal digerakkan oleh generasi muda. 2017 kita akan menyambut ulangtahun ke-10 penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke Stesen Angkasaraya ISS, kita mahu melihat agenda menakluk angkasaraya sebagai salah satu agenda besar yang harus difikirkan secara serius oleh generasi muda dalam mengagaskan TN50.
Tradisi perbincangan dan tindakan menjangkakan masa hadapan ini telah pun digerakkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) semenjak dahulu. Ini terzahir sebagai contoh melalui tulisan mantan Naib Presiden MBM saudara Wan Liz Ozaman Wan Omar sekitar tahun 2000 dalam bukunya Mengurus Agenda Abad 21. Wan Liz menyebut,
“”Malah alaf baru akan dipenuhi dengan pelbagai perkembangan pantas dalam sains dan teknologi, persaingan ekonomi yang semakin sengit, dan senario dunia politik dunia yang tidak menentu. Justeru itu, trend-trend baru ini sudah tentunya memerlukan pendekatan yang berbeza dan corak perjuangan belia yang kedepan (forward-looking) dan futuristik sifatnya berbanding masa-masa yang lalu”.
Tugasan berat sudah pasti menanti MBM bagi menggembeling kudrat dan sama-sama KBS mengagaskan TN50. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku 30 tahun akan datang kerana limitasi kelemahan manusiawi namun kita mampu berikhtiar untuk menjangkakan masa hadapan berdasarkan senario semasa yang berlaku. Justeru MBM harus:
1. Mengenalpasti alat berfikir masa hadapan yang baik sebagai contoh seperti Zimbargo Time Perspective untuk diperlengkapkan kepada belia bagi menghasilkan jangkaan masa hadapan yang baik dan tepat;
2. Menganjur dan menyuburkan lebih banyak wacana-wacana TN50 dan masa hadapan bagi mendekati dan mendapatkan idea-idea bernas generasi muda daripada pelbagai kelompok belia khususnya 8 kelompok belia seperti termaktub dalam Dasar Belia Malaysia (DBM);
3. Memantau trend-trend semasa dan perubahan-perubahan yang berlaku di kalangan generasi muda dan di dasar bawah (groundswell) masyarakat kerana trend-trend tersebut merupakan elemen yang penting menentukan corak masa hadapan Negara;
4. Mencadangkan pelan intervensi dan pelan bertindak terhadap trend-trend buruk yang bakal merosakkan masa hadapan Negara.