PUTRAJAYA 2 Ogos – Dalam menyediakan belanjawan yang mantap dan menyeluruh, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan telah mengadakan Townhall Belanjawan 2025 Apa Belia Mahu? yang berlangsung di Bangunan Perbendaharaan di sini.
Sesi ini dihadiri Encik Muhammad Kamil Abdul Munim, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Kewangan.
Terdahulu beliau membentangkan pelan dan teras penyediaan Belanjawan 2025 sebelum membuka sesi pandangan dan idea kepada audien yang hadir.
Inisiatif ini sebagai platform kepada anak muda menyampaikan hasrat, idea dan cadangan mereka kepada kerajaan dalam merangka belanjawan yang inklusif khususnya kepada golongan belia.
Pelbagai cadangan diterima antaranya isu perumahan, insentif melibatkan kesihatan mental, percukaian serta bantuan lain untuk menceburi bidang keusahawanan.
Kementerian mengucapkan terima kasih dan cakna atas semua cadangan yang dikemukakan namun pelaksanaan kepada cadangan ini juga akhirnya perlu mengambil kira kekuatan kewangan kerajaan, ujar beliau.
Program ini disertai belia-belia dari pelbagai kelompok antaranya persatuan belia, majlis perwakilan pelajar universiti, institusi perguruan, komuniti e-hailing mahupun individu.
Sesi townhall ini dihoskan oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid, Presiden MBM.