KUALA LUMPUR 27 April – Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 (MSAM 2016) dapat meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya golongan muda tentang kepentingan pelaburan untuk masa depan mereka.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Ghadafi Jamaludin berkata, pendedahan awal tentang faedah menabung dan kesedaran berkaitan amanah saham penting untuk mereka merancang masa depan masing-masing.
“Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai peneraju amanah saham di negara kita sememangnya tidak pernah berputus asa dalam mendidik dan mengajak masyarakat menyemai budaya melabur (menyimpan).
“Saya cadangkan pada masa depan, selain menerangkan mengenai melabur dalam amanah saham, selit juga elemen takaful atau insurans,” katanya ketika ditanya mengenai MSAM 2016 yang diadakan di Stadium Tun Ahmad Sarji sejak 20 April lalu.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zamri Mohd. Isa berkata, penganjuran program seumpama itu perlu diperbanyak dan diperluas di peringkat sekolah.
“Program seperti inilah yang akan memanfaatkan masyarakat khususnya orang Melayu yang kurang sedar akan kepentingan pelaburan.
“Saya berharap program ini dapat diperluaskan kepada siri jelajah di sekolah-sekolah. Selain itu, jemput juga Bank Negara Malaysia (BNM) untuk turut serta bagi menerangkan bentuk penipuan pelaburan seperti skim cepat kaya dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba berkata, MSAM 2016 dapat membuka minda golongan muda untuk mengatur perbelanjaan dan membuat perancangan kewangan di peringkat awal.
“Kita lihat sekarang, banyak golongan muda yang disenaraikan muflis kerana tidak membayar hutang kad kredit dan sebagainya. Ini semua terjadi kerana tiada pendidikan kewangan di peringkat awal.
“Program seperti ini sedikit sebanyak memberi maklumat kepada mereka mengenai perancangan dan simpanan masa depan,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tingkatkan-kesedaran-pelaburan-generasi-muda-1.293578#sthash.okecyhCe.dpuf