MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tingkat kualiti hidup rakyat

KUALA LUMPUR 24 Feb. 2012 – Era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperkenalkan pelbagai ciptaan baru telah berjaya mengubah dan meningkatkan banyak aspek kehidupan rakyat negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sebagai tokoh pencipta, bekas Perdana Menteri itu sebenarnya telah berjaya mengeluarkan rakyat daripada belenggu terlalu terikat kepada perkara-perkara lama, yang menyekat kemajuan negara.

“Separuh daripada masa yang telah kita lalui telah dicorakkan oleh Dr. Mahathir sewaktu beliau memimpin negara. Kita boleh katakan beliau sebagai pencipta yang memberi ciptaan baru kepada Malaysia.

“Kita masih ingat bagaimana beliau menyamakan waktu di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Ia telah mengubah cara kehidupan kita, cara kita bekerja dan sebagainya sehinggakan negara jiran pun ikut sama,” katanya ketika berucap pada Bicara Minda Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad: Transformasi Kepimpinan Belia Meniti Cabaran Wawasan 2020 di sini hari ini.

Hadir sama kedua-dua timbalannya, Datuk Razali Ibrahim dan Senator Gan Ping Sieu.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Belia Malaysia (MBM) itu dihadiri kira-kira 1,000 kumpulan sasar terdiri daripada pelbagai pertubuhan belia, ahli akademik, sektor korporat dan belia-belia Malaysia bagi merencanakan pelbagai transformasi ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Ahmad Shabery berkata, sebagai negarawan, Dr. Mahathir juga merupakan seorang tokoh pembaharuan, modenis dan transformis namun bukan seorang dogmatis iaitu seseorang yang hanya mengikut perkara-perkara lama yang biasa diamalkan manusia.

“Tidak ramai yang sedar bahawa Dr. Mahathir bukan dogmatis yang berfikir bahawa Malaysia tidak boleh lawan negara-negara besar terutama Barat, tidak boleh sanggah negara kuasa besar. Beliau mengubah semua itu, lantang bersuara dan salah satu ciptaan paling bermakna bagi rakyat kita adalah mencipta slogan Malaysia Boleh.

“Hasil daripada itu, ia telah membangkitkan rasa yakin rakyat kita bahawa kita mampu berada setanding dengan orang lain di dunia,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia malah dunia sentiasa mengingati perubahan yang dibawa oleh Dr. Mahathir dan ia adalah bukti bahawa beliau adalah seorang negarawan yang terunggul sekali gus perlu dicontohi oleh semua golongan belia.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »