MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tindakan tegas terhadap penderaan remaja OKU

Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Jawatankuasa Penaja Majlis Belia OKU Malaysia menggesa siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down berusia 13 tahun dapat diselesaikan dengan segera. Hukuman yang tegas serta setimpal wajar dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah dalam kes penderaan kanak-kanak kepada pihak yang melakukan salah laku dan kecuaian kepada anak-anak baik dalam kalangan individu, penjaga mahupun ibu bapa.

Penderaan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas adalah sesuatu yang sangat-sangat tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja. Golongan OKU terutamanya kanak-kanak OKU sewajarnya diberikan perlindungan dan ruang pendidikan yang inklusif selaras dengan tuntutan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

MBM dan Jawatankuasa Penaja Majlis Belia OKU (MBOKU) melihat usaha untuk melindungi kebajikan dan hak golongan kanak-kanak serta OKU daripada sebarang unsur eksploitasi dan penderaan seharusnya dipertingkatkan melalui kesedaran berterusan kepada masyarakat terhadap pendedahan hak OKU selaras dengan United Nation Convention of Right of People with Disabilty (UNCRPD) dan Akta Orang Kurang Upaya 2009. Ianya juga bertujuan untuk terus mendidik masyarakat agar terus menghormati hak dan keperluan golongan berkeperluan khas ini. Akta Orang Kurang Upaya seharusnya ditambah baik, diperkasakan dan hukuman yang spesifik dan tegas perlu terhadap sesiapa sahaja yang mencabuli hak OKU.

Setiap individu haruslah bertanggungjawab untuk melindungi dan mendidik kanak-kanak akan keperluan mereka untuk dilindungi dan di hormati. Sikap kecaknaan masyarakat agar ambil peduli kepada isu penderaan kanak-kanak yang berlaku di sekeliling mereka, lindungi kanak-kanak dan golongan OKU. Penderaan kanak-kanak bukan sahaja berlaku dalam ruang lingkup fizikal bahkan daripada segi emosi yang membawa kepada isu kesihatan mental pada masa hadapan.

JUFITRI BIN JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia (MBM)

&

MOHD FAIZ SHUHAIMI

Pengerusi

Jawatankuasa Penaja Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU)

Bertarikh : 13 Julai 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »