MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tiga NGO bergabung tanam bakau untuk pelihara alam sekitar

DALAM usaha memelihara alam sekitar dan menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG), tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berganding bahu menjalankan program penanaman bakau di Pantai Kelanang, Banting, Selangor.

Tiga NGO tersebut ialah Majlis Belia Malaysia (MBM), JCI Kuala Lumpur Mandarin (JCIKLM) dan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengatasi kesan perubahan iklim dan melindungi habitat di kawasan pesisir pantai.

Beliau berkata, pokok bakau yang ditanam akan membantu mengurangkan hakisan pantai selain menyediakan habitat kepada pelbagai spesies marin serta menyerap karbon dioksida daripada atmosfera.

“Penanaman anak pokok bakau ini diadakan dalam satu program khas melibatkan sukarelawan dari organisasi terlibat bersama ahli komuniti setempat.

“Acara tersebut mendapat sambutan positif dan menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar di kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program yang turut disertai beberapa pertubuhan belia lain telah berlangsung pada Ahad lalu.

Hasnul Haniff berkata, program itu merupakan manifestasi komitmen MBM terhadap matlamat mampan dan kesejahteraan alam sekitar.

“Kami berharap program ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada ekosistem tetapi juga menggalakkan lebih ramai individu untuk terlibat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden JCIKLM, Jim Lee turut menyatakan kegembiraan beliau atas kejayaan program tersebut.

“Sebagai salah satu aktiviti tahunan persatuan, selepas 300 hari perancangan dan pelaksanaan yang teliti, empat rancangan penanaman dan mesyuarat penyelarasan yang tidak terkira banyaknya, ia akhirnya berjaya dengan sempurna.

“Kempen ini bukan sahaja disepadukan dengan matlamat pembangunan mampan yang lain tetapi juga mengambil kira kemampanan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang komprehensif,” katanya.

Program Penanaman Bakau di Pantai Kelanang adalah contoh kejayaan kolaborasi antara NGO, organisasi masyarakat dan sukarelawan dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Dengan lebih banyak inisiatif seperti ini diharapkan kita dapat bersama-sama memelihara bumi untuk generasi akan datang. – Edisi 9

Artikel penuh :

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »