Kota Samarinda, Kalimantan (Jumaat 21 Ogos 2015). Membangun potensi dan menyedia suasana yang kondusif kepada belia bagi menghadapi Komuniti ASEAN adalah keutamaan belia di rantau ini. Kelompok belia adalah masa depan ASEAN.
Sdr Ahmad Saparudin Yusup, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia menyatakan hal itu semasa berucap mewakili belia Malaysia dalam majlis perasmian MAPHILINDO YOUTH DIALOG di kediaman rasmi Walikota Samarinda di sini.
Usaha penubuhan MAPHILINDO yang digerakkan oleh kepimpinan tiga negara Malaysia-Philipina-Indonesia adalah satu sejarah. Walaupun cuma seketika, namun ia mempunyai nilai sejarah yang penting dalam membangun platform untuk kebaikan serantau.
Kini usaha serantau diterjemahkan dengan penubuhan ASEAN yang kini dianggotai oleh 10 negara di rantau ini. Malah usaha ini jauh lebih kehadapan dengan komitmen membina dan menjayakan gagasan KOMUNITI ASEAN.
Hal yang sama juga disentuh oleh Sdr Earl P. Saavendra, Commisioner of Philippines National Youth Council sewaktu menyingkap sejarah lalu.
Dialog yang dikendalikan oleh KNPI Kota Samarinda dengan kerjasama KNPI Provinsi Kalimantan Timur (KALTIM) berlangsung selama 2 hari bermula semalam.
Selain rombongan belia Malaysia yang terdiri daripada exco MBM dan Majlis Belia Selangor, program turut dihadiri oleh wakil belia Filipina daripada Nasional Youth Council.