Oleh :
Sdr. Ibnu Rasyeed Mat Isa
Exco Majlis Belia Malaysia
merangkap; Pengerusi Jawatankuasa Kesukarelaan dan Belia Mahir
Mendepani cabaran Monsun Timur Laut yang melanda saban tahun bermula November, negara kini sedang berhadapan dengan Fasa Peralihan Monsun sepertimana kenyataan Met Malaysia yang membawa hujan lebat beserta angin kencang yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat di kawasan pantai barat Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.
Fasa Peralihan Monsun ini menjadi satu tempoh penting bagi agensi-agensi kerajaan untuk mempersiap dan memperkukuh anggota, aset serta koordinasi antara agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menghadapi kemungkinan risiko episod banjir besar seperti yang pernah berlaku pada tahun 2014 dan 2021 yang mana risiko ini tidak lagi hanya tertumpu di kawasan pantai timur, malah Selangor dan Johor juga turut tersenarai dalam kawasan berisiko.
Semua individu digesa memainkan peranan sebagai masyarakat yang bertanggungjawab bagi bersama-sama mengurangkan kesan bencana. Sentiasa peka dengan maklumat cuaca dan akur dengan arahan berpindah ke tempat lebih selamat. Sambutlah kempen 1 Rumah 1 Beg Kecemasan sebagai persediaan diri dan keluarga untuk bertahan selama 48 jam jika terjadi bencana.
Sukalah penulis menasihatkan supaya ahli masyarakat tidak mementingkan diri sendiri apabila diminta untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sikap ini akan mendedahkan diri, keluarga dan juga pasukan menyelamat dengan risiko bahaya yang mengancam nyawa.
Terdahulu, kita hanya melihat melalui kaca televisyen tentang bencana tsunami, gempa bumi, dan ribut taufan yang melanda di luar negara. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia sudah menerima tempiasnya dengan kejadian gempa bumi di Sabah pada tahun 2015, tragedi banjir besar di Selangor pada tahun 2021 yang menenggelamkan Shah Alam dan menghanyutkan rumah-rumah di Hulu Langat, dan kesan gegaran gempa bumi di Sumatera Barat yang turut dirasai di Lembah Klang pada tahun 2022.
Perubahan iklim turut mengundang bencana alam ini kerap berlaku. Tahun 2023 sahaja telah menyaksikan bencana besar yang berlaku di seluruh dunia seperti banjir di Libya, gempa bumi di Maghribi, Banjir di China, krisis kebakaran di Amerika Utara dan gempa bumi di Turki-Syria. Kejadian bencana yang sedang berlaku di seluruh dunia ini memberi signal kepada kita rakyat Malaysia untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana pada bila-bila masa, dari segi persiapan diri, kelengkapan dan juga latihan.
Terbaru, penulis selaku wakil Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menyertai Rakan NADMA Disaster Emergency Simulation Exercise (RANDEX) 2023 pada 20 hingga 22 September 2023 bertempat di Glow Glamping Wetland, Putrajaya. Program ini merupakan salah satu inisiatif NADMA melalui platform Rakan NADMA dan Yayasan TM melibatkan 111 peserta daripada 52 organisasi terdiri daripada NGO, Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Badan Korporat.
Penulis bersama rakan-rakan NGO telah ‘diterbangkan’ ke Kadraki, Naqahn iaitu sebuah negara yang telah mengalami gempa bumi. Peserta telah didedahkan mengenai gerak kerja mengurus pasukan ke misi kemanusiaan, penyediaan surat-menyurat dan dokumen, pembelian barang sumbangan, pengurusan logistik, serta pembahagian tugas sebelum dan semasa di lapangan.
Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan berhubung konsep misi kemanusiaan dan pada masa yang sama dapat mewujudkan jaringan kerjasama semua pihak yang terlibat secara ‘whole of society approach’ dalam usaha mengurangkan risiko bencana terhadap golongan yang terdedah kepada bencana.
Penulis mencadangkan supaya NADMA mengadakan latihan simulasi bencana secara berkala melibatkan agensi, NGO dan komuniti setempat. Kerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam menganjurkan program ‘Community Based Disaster Risk Management’ dilihat dapat memperkasa peranan komuniti dalam pengurangan risiko bencana (disaster risk reduction).
Bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada bulan Oktober ini, MBM selaku badan induk pertubuhan belia menyeru golongan belia khususnya untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran bantuan asas kecemasan dan psikososial di samping melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kesukarelaan untuk menerapkan nilai berdaya tahan (resilient) semasa menghadapi bencana.
MBM juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan pihak swasta bagi membantu menggerakkan Misi Bantuan Bencana Belia Malaysia. Sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Kemanusiaan MBM 5640 2540 3782 (Maybank).
Bertarikh : 27 September 2023