Oleh:
Sdr. Abdul Hafeez Abdullah
Pengerusi Biro Pertanian dan Industri Asas Tani
merangkap Exco Majlis Belia Malaysia
Di sebalik respons positif daripada YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan (KBS) melalui aspirasi belia serta sinergi dalam pertemuan bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YB Datuk Dr. Ronald Kiandee pada 15 Jun lalu dilihat positif dalam kerjasama jangka panjang. Komitmen Menteri Belia dan Sukan dalam pembangunan program tanaman bernilai tinggi khusus untuk para belia ditegaskan di mana beliau akan mengkaji penggunaan tanah-tanah yang belum dibangunkan di 22 buah Institut Latihan Kemahiran Belia (ILKBS) milik KBS di seluruh negara agar dimanfaatkan sebagai bank tanah untuk para belia sebagaimana yang dicadangkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM).
Namun, para belia dikejutkan dengan tindakan dan pengumuman pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan semasa YB Menteri menyampaikan surat pelantikan kepada 12 Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) di mana tiada seorangpun wakil belia menganggotai majlis penasihat tersebut. Bagi MBM, keanggotaan MPPN ini penting sebagai wakil di kalangan belia agar setiap keputusan akan menguntungkan belia khususnya sebagai pewaris pengusaha sumber makanan negara.
Kerajaan sewajarnya memberikan kuota keanggotaan kepada belia untuk mewakili kepentingan suara belia sekaligus dilihat langkah bekerjasama yang erat di kalangan golongan elit dengan golongan marhaen. Jika dilihat kepada semua anggota yang dilantik, mereka hanyalah pembuat dasar dan tidak terdiri dari mereka yang berada di peringkat lapangan. Kadangkala apabila berlakunya kerenah birokrasi di kalangan pembuat dasar yang tidak selaras dengan harapan di kalangan belia akan sedikit sebanyak merugikan sumber serta modal insan itu sendiri.
Suara akar umbi dari golongan belia dalam mesyuarat MPPN dilihat sebagai langkah serius pihak kerajaan menarik golongan belia untuk bersama-sama kerajaan dalam membantu menjayakan misi kedaulatan makanan negara. Keanggotaan ini akan membolehkan wakil belia memberi cadangan serta pandangan berkenaan langkah-langkah dan strategi kerajaan yang dibincangkan nanti.
Suara golongan belia sepatutnya dipandang tinggi oleh pihak MAFI agar rantaian gerakan kedaulatan makanan ini mampu dijayakan secara bersama. Bagi golongan muda yang terlibat dalam bidang pertanian ini seringkali mempersoalkan ketetapan serta syarat-syarat di pihak kerajaan yang di lihat kebanyakannya tidak selari dengan kehendak anak muda.
Di antara contoh yang dapat dilihat pada hari ini ialah tindakan pihak kerajaan yang kadangkala dilihat terlalu berhati-hati dalam pembangunan modal insan khususnya industri pertanian dengan mengenakan syarat-syarat permohonan yang ketat untuk usahawan belia. Kekangan kemudahan pembiayaan dan pinjaman projek yang dilihat menekan anak muda untuk serius dalam bidang ini perlu diberi perhatian sewajarnya.
Walau bagaimanapun jika dilihat antara projek-projek mega yang gagal dilaksanakan bernilai ratusan juta ringgit yang diusahakan oleh pihak kerajaan bersama pelbagai pihak kebanyakannya adalah tidak berkaitan dengan golongan belia sedikitpun namun projek berskala besar ini terus dilaksanakan berbanding dana yang perlu diberikan kepada belia seolah-olah dipandang sepi. Antara kekangan kepada golongan belia seperti masalah pemasaran, sumber makanan ternakan yang melambung tinggi, pemilikan tanah yang tidak mencukupi serta kemudahan untuk mengembangkan perniagaan yang dilihat menyusahkan pengusaha. Persaingan di kalangan petani khususnya mereka yang telah lama dalam bidang ini juga kadangkala menyukarkan perjalanan usaha para belia dalam bidang pertanian.
Bidang yang memerlukan masa yang panjang untuk direalisasikan ini harus digerakkan secara bersama. Untuk menjadikan belia sebagai pewaris sektor pertanian nagara, suatu kerjasama konkrit jangka panjang di mana belia dilibatkan secara bersama dari langkah permulaan lagi bukannya hanya selepas sesuatu dasar dilaksanakan.
Ruang bidang pertanian negara kita boleh diisi oleh lebih ramai belia andaikata bidang ini diangkat dan diletakkan di tempat yang sewajarnya sebagai sumber pendapatan yang stabil dan lumayan untuk diusahakan sehingga belia merasakan sektor ini mampu untuk menampung dan memulakan keluarga baru mereka.
Akhir sekali MBM amat berharap agar keanggotaan untuk kuota belia diberikan perhatian semula. Jika dilihat kepada kerajaan sebelum ini (Pakatan Harapan) terdapat kuota yang diperuntukkan untuk golongan belia walaupun pelantikan itu melibatkan golongan ahli politik. Sesungguhnya usaha dan gerak kerja besar ini perlu dipertingkatkan dan para belia yang terlibat dalam bidang pertanian ini tidak dibiarkan terkapai-kapai kerana mereka amat memerlukan sokongan dan bantuan dari pihak kerajaan.
Bertarikh : 3 Julai 2020